MARILAH KITA SAMA-SAMA MENGHARGAI NYAWA KITA


 

Nyawa adalah tanda hidupnya manusia.  Selagi seseorang itu masih bernyawa maka selagi itulah ia berpeluang meneruskan kehidupan di dunia ini. Tetapi apabila nyawa telah tiada lagi maka berakhirlah episod kehidupan manusia. Memberi nyawa dan mencabut nyawa adalah hak mutlak Allah SWT yang tiada sesiapapun boleh mempertikaikannya.

Lantaran itu Allah SWT boleh memendekkan umur seseorang dengan kehendak dan kuasanya dan dengan kehendak dan kuasanya jugalah ia boleh memanjangkan umur seseorang. Firman Allah SWT dalam surah al- Nahl ayat 70:

 

Kita hendaklah bersyukur kepada Allah SWT kerana menghidupkan kita melalui nyawa yang diberikannya dan dengan nyawa itulah kita dapat menikmati indahnya kehidupan, menikmati keindahan alam, merasai sedapnya makanan dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah SWT kepada kita. Apabila nyawa telah terpisah daripada badan semua itu tidak berguna lagi.

Oleh yang demikian, kita wajib menghargai nyawa sendiri atau nyawa orang lain. Menghargai nyawa bermaksud memelihara dan menjaganya dengan sebaik mungkin dengan mengelakkan diri daripada terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan perbuatan atau tindakan yang boleh menghilangkan nyawa atau dengan kata lain menyebabkan kematian.

Kebelakangan ini,  isu kemalangan jalan raya adalah penyebab yang terbesar kepada kematian. Menurut laporan Jabatan keselamatan Jalanraya bahawa lebih daripada 6 ribu orang mati akibat kemalangan jalan raya dengan purata 18 kematian sehari atau 1 kematian setiap 1 jam 20 minit. Kajian oleh Kementerian Kesihatan, kemalangan jalan raya adalah punca keempat kematian di negara kita dan sekiranya ianya tidak dibendung, kemalangan jalan raya boleh menjadi punca utama kematian menjelang tahun 2020. Pada tahun 2010, sebanyak 6,872 kematian akibat kemalangan jalanraya, yang mana 4,036 kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.  Kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia atau MIROS, bahawa 30% daripada kematian yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah golongan berumur 16 ke 25 tahun berbangsa Melayu, dan daripada jumlah tersebut 40% daripadanya tidak mempunyai lesen memandu.

Saya ingin menegaskan bahawa perbuatan-perbuatan yang menimbulkan mudharat dan merbahaya yang boleh membawa kepada kematian seperti  menunggang motosikal secara merbahaya, tidak mematuhi peraturan jalanraya, tidak memiliki lesen memandu adalah tindakan-tindakan yang tidak menghargai nyawa.  Walaupun tindakan seperti itu tidak menyebabkan kehilangan nyawa secara langsung tetapi lama kelamaan atau silap percaturan boleh menyebabkan kematian atau sekurang-kurangnya memusnahkan keselesaan dan kesempurnaan hidup.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195:

Jalanraya merupakan satu kemudahan awam yang menjadi penghubung kepada kita dari satu tempat ke satu tempat samada dari bandar ke desa atau sebaliknya. Ianya bukanlah tempat untuk kita menunjukkan kehebatan atau keberanian didalam kita memandu kenderaan, kerana itulah menjadi tanggungjawab kepada kita semua sebagai pengguna menjaga dan memelihara kemudahan ini dan menjadikannya sebagai satu tempat selamat dan bukannya tempat kecelakaan. Adalah tidak dapat dinafikan dan diakui bahawa punca utama kemalangan jalanraya di negara ini adalah disebabkan perilaku pengguna itu sendiri yang menyebabkan kerugian harta benda, kecederaan, kecacatan anggota badan, bahkan boleh membawa kepada kematian.

Satu perkara lagi yang menjadi antara punca utama kehilangan nyawa di negara kita pada masa kini ialah kebakaran. Menurut laporan Jabatan Bomba dan PenyelamatMalaysiapada tahun 2010 jumlah kebakaran mengikut jenis bangunan adalah sebanyak 5,240 kes yang berlaku. Mimbar ingin mengingatkan bahawa keselamatan kebakaran hendaklah diambil perhatian yang serius oleh kita semua kerana  kebakaran itu boleh membunuh. Api semasa kecil menjadi kawan, tetapi setelah besar ia menjadi lawan. Pelbagai cerita telah dipaparkan oleh media berkaitan kebakaran, apa yang menyedihkan apabila kebakaran bukan sahaja memusnahkan harta benda, tetapi juga menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak boleh ditukar ganti. Apa yang menyedihkan lagi kehilangan orang yang tersayang, tempat tinggal dan kehilangan punca mata pencarian.

Disini saya ingin mengingatkan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya, itulah ungkapan yang sewajarnya difikirkan bersama-sama bagi mengambil langkah keselamatan secara berterusan, pemeriksaan ke atas semua kelengkapan keselamatan kebakaran perlulah dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan alat keselamatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan. Kesedaran masyarakat terhadap bahaya  kebakaran  dan  aspek  keselamatan perlu dipertingkatkan sama ada di rumah, di pejabat, di sekolah, di pusat membeli-belah, di hotel dan sebagainya.

Mengambil kesempatan bersempena Hari Anggota Bomba tahun 2011, marilah sama-sama kita menyatakan kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana telah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya, dengan menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita. Sedarkah kita bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat tidak dapat kita kecapi tanpa pengorbanan dan ketabahan setiap anggota-anggota penyelamat khasnya dari Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia. Pengorbanan yang mereka curahkan tanpa mengira masa, tempat dan keadaan tidak pernah mengharapkan penghargaan dan pujian dari kita, namun sebagai umat yang bersyukur, kita hendaklah menghargai mereka sebagai tanda terima kasih dan syukur kita kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian marilah sama-sama kita menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah SWT dengan mengelak diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan dan memudratkan kehidupan. Marilah sama-sama kita mendidik anak-anak kita agar mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.  Janganlah kita membiarkan anak-anak kita memandu kenderaan tanpa lesen dan menunggang motosikal dengan bebas dan tanpa menggunakan topi keledar kerana itu semua mengundang kepada kecelakaan. Adalah diingatkan bahawa  tanggungjawab menjaga keselamatan kebakaran dan menyelamat  adalah tanggungjawab bersama dan bukanlah tanggungjawab Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama menjadikan budaya menjaga keselamatan kebakaran ini amalan hidup kita, InsyaAllah kejadian yang tidak diingini akan dijauhi oleh Allah SWT.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 17:

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 15, 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: