ADALAH KUFUR MENGKUFURKAN SESEORANG ISLAM


Menghukum orang Islam sebagai kafir kerana berbeza pendirian politik bukanlah satu perkara baharu malah sudah berakar umbi sejak munculnya sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai platform ideologinya. Hal ini dapat dibaca menerusi pelbagai tulisan sama ada yang ditulis oleh sarjana tempatan mahupun luar negara yang mengkaji politik orang Melayu di Kelantan untuk tempoh 1960-an hinggalah masa kini.

Profesor William Roff misalnya menghimpunkan beberapa rencana yang ditulis oleh pengkaji dan budaya tempatan Kelantan dalam naskhah Kelantan: Religion, Society and Politic in Malay States (1974); Profesor Clive Kessler yang melakukan kajian beberapa tahun mengenai politik Kelantan dalam Islam and Politics in a Malay State, Kelantan 1838-1969 (1978); Profesor N John Funston dalam Malay Politics in Malaysia: A Study of the Malays United Organisation and Party Islam (1980); Profesor Hussin Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics (1990); Profesor Firdaus Abdullah dalam Radical Malay Politics: It Origins and Early Development (1985); dan beberapa orang lagi telah menemukan bahawa pertembungan politik yang beteraskan nasionalisme dan ideologi Islam telah menyebabkan berlakunya persoalan kafir mengkafir sesama Islam.

Bagaimanapun, menghukum sesama Islam yang tidak sehaluan pendirian politik menjadi semakin serius apabila seorang yang dianggap radikal dalam PAS mengeluarkan fatwa pada tahun 1981 dan kemudiannya diulang serta dicetak secara meluas untuk dijadikan “doktrin politik” dan “kehendak agama” bagi menghadapi pilihan raya umum pada tahun 1982 ekoran kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO dan kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai “ultra Malay.”

Kemuncaknya dapat disaksikan berlakunya perpecahan masyarakat yang lebih kritikal di beberapa buah kampung di Terengganu dan Kelantan sehingga insiden pulau memulau jiran tetangga dan sekampung, haram memakan sembelihan, sembahyang dua iman, haram menziarahi kematian orang kelainan sokongan politik, penceraian akibat berbeza parti, dan tidak kurang juga pergaduhan sehingga terputusnya saliturrahim walaupun sedarah, seagama, seketurunan ataupun dilahirkan oleh ayah dan ibu yang sama.

Konflik politik itu masih belum berakhir hingga sekarang meskipun tahap keseriusannya tidaklah sehebat situasi pada tahun 1980-an dan 1990-an. Isu ini kembali menyengat ialah apabila Presiden PAS, Haji Hadi Awang beberapa hari lalu memohon maaf semasa berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri atas kesilapan politik dan tindakannya selama ini walaupun beliau tidak pernah mengakui bahawa fatwa yang dibuatnya sejak lebih tiga dekad menjadi faktor terbesar berlakunya perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.

Permohonan maaf tersebut tidak dapat diterima oleh sebahagian masyarakat Islam disebabkan tidak menampakkan keikhlasan dan usaha untuk menarik balik fatwa yang bercanggah itu. Misalnya dalam persoalan hubungan sesama Islam, meskipun dari segi prinsipnya setiap orang adalah bersaudara, ulama politik berkenaan telah melabelkan sempadan pendirian politik sebagai garis pemisah untuk menentukan sama ada ia seorang musuh atau saudara.

Isu tersebut sebenarnya sentiasa bergema setiap kali menjelang pilihan raya kerana ulama politik amat yakin, dengan menghidupkan “doktrin” berkenaan jangkaan adalah besar, parti itu boleh menang besar. Apa pun, kerana parti berkenaan dilihat semakin terdesak, angin perubahan golongan muda untuk tidak mempercayai kepimpinan mereka yang dilihat semakin tidak relevan, maka adalah lebih manis membuat permohonan maaf meskipun ia lebih bersifat politik berbanding permohonan maaf berdasarkan kesedaran sebenar untuk mengulangi kesilapan.

Barangkali adalah lebih baik jika kita membaca semula sebuah buku kecil yang pernah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung dengan tuduhan kafir mengkafir sesama Islam. Adalah lebih baik kita cuba memahami apa yang dijelaskan dalam buku kecil yang bertajuk Penjelasan Mengenai Isu Mengkafirkan Orang Islam, Jihad dan Mati Syahid yang diterbitkan pada tahun 2002, kerana ia ditulis berdasarkan pendapat dan tafsiran ulama muktabar dan bukannya ulama politik.

Tuduhan bahawa pemimpin dan penyokong UMNO adalah kafir adalah terkeluar daripada penjelasan Allah s.w.t dalam surah al-Maidah, ayat 44 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah), menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah); sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) maka mereka itulah orang-orang yang kafir.”

Dalam ayat 47 surah yang sama, Allah s.w.t menjelaskan: “ Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Ayat-ayat itulah yang menjadi sandaran atau hujah untuk melabelkan seseorang itu sebagai kafir walaupun tafsiran ulama yang muktabar membuktikan berlaku salah tafsiran (orang-orang Pas) dan menepati maksud sebenar.

Maksud sebenar ayat-ayat tersebut (Surah al-Maidah ayat 44 dan 45) ialah:

(1) Dalam kitab Tafsir Ruhul Ma’ani Juzuk 6 halaman 130, ialah ”Golongan Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang-orang fasik (yang melakukan dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin.” Pendapat golongan Khawarij ini dijawab oleh ulama Islam dengan beberapa jawapan antaranya:

a) Ayat tersebut tidak dimaksudkan dengan makna zahir kerana menghukum itu meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi yang dimaksudkan ialah amalan hati itu sendiri, iaitu ”mempercayai” atau ”tidak mempercayai” hukum Allah.

Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika ia tidak mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah; tetapi ia tidak kafir sekiranya ia tidak mengamalkan atau melaksanakan hukum Allah.

b) Dalam tafsir Ruhul Ma’ani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa ‘sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45, 47 Surah al-Maidah) hanya mengenai orang-orang Yahudi, semata-mata” (tidak dimaksudkan kepada orang-orang mukmin (Islam).

c) Seterusnya Tafsir Ruhul Ma’ani menerangkan bahawa Abi Salleh telah berkata: ”Tiga ayat dalam Surah al-Maidah tersebut tidak kena-mengena dengan orang Islam, ayat tersebut adalah mengenai orang-orang kafir’.

2) Dalam kitab Tafsir Al-Kabir karangan Imam Fakhruddin al-Razi juzuk 12, muka surat 5 dan 6 mengenai ayat-ayat tersebut terdapat dua pendapat, iaitu:

Pertama, maksud ayat ini ialah untuk menakutkan kaum Yahudi kerana mereka itu berani mengubah-ubahkan hukum Allah, termasuk hukum hudud ke atas orang yang melakukan zina. Apabila mereka mengingkari hukum Allah yang termaktub dalam kitab Taurat, mereka berkata hukum itu tidak wajib. Sebab sebab itulah mereka secara jelasnya menjadi kafir mutlak, tidak berhak dianggap beriman sama ada kepada Nabi Musa dan Taurat ataupun kepada Nabi Muhammad dan al-Quran.

Kedua: Ayat di atas telah ditafsirkan oleh golongan Khawarij bahawa tiap-tiap orang yang melakukan penderhakaan kepada Allah adalah kafir; setiap orang yang mengerjakan dosa termasuklah mereka yang menghukumkan selain daripada apa yang diturunkan oleh Allah, mereka adalah kafir. Mengikut pendapat ulama tafsir bahawa maksud ayat tersebut bukanlah demikian.

Kata Akrimah, ”Firman Allah dalam ayat di atas hanya bagi mereka yang ingkar dengan hati dan membantah dengan lidah akan hukum Allah, orang-orang yang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Allah tetapi masih beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka tidaklah termasuk di dalam maksud ayat tersebut. Inilah jawapan yang sahih mengikut al-Fakhrur Razi.

3. Mengikut pendapat yang muktamad dalam Tafsir al-Qurtubi Jilid 6 halaman 190; ”Ayat-ayat di atas keseluruhannya diturunkan kepada orang-orang kafir di mana tsabitnya yang demikian itu di dalam hadis sahih Muslim daripada seorang sahabat bernama Al-Barra bin Azib bahawa orang-orang Islam tidaklah sekali-kali menjadi kafir walaupun ia melakukan dosa besar. Ada pendapat yang mengatakan firman Allah tersebut mengandungi maksud tersembunyi iaitu: Barang siapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah kerana ia menolak al-Quran dan tidak mengakui ajaran rasul maka ia menjadi kafir”.

4. Dalam Tafsir al-Tabari jilid 6 muka surat 257, terdapat satu pendapat yang paling muktamad tentang huraian ayat di atas: ”Dan yang paling tepat dalam segala pendapat yang tersebut ini ialah pendapat golongan yang mengatakan: Bahawa ayat ini diturunkan kepada orang kafir Ahli pada Kitab (Yahudi) kerana kenyataan sebelumnya (sebelum ayat ini), juga kenyataan sesudahnya, adalah ditunjukkan kepada mereka (Yahudi). Jadi merekalah yang dimaksudkan oleh ayat tersebut. Oleh kerana ayat tersebut mengisahkan perilaku mereka, maka sudah tentu ia merujuk kepada peristiwa yang melibatkan orang Yahudi dan bukannya orang Islam.

Sekiranya ada orang yang berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah menyebutkan dalam bentuk am (mengenai keseluruhan orang yang tidak menghukum dengan hukum Allah) maka kenapa pula kamu menjadikannya bermaksud khusus’ (yakni kepada orang Yahudi sahaja), maka dijawab: ”Sesungguhnya Allah s.w.t telah menyebut dalam bentuk am kerana ia berita mengenai kaum di mana mereka itu ingkar (tidak beriman atau menolak) akan hukum-hukum Allah yang terdapat di dalam kitabnya. Maka diceritakan tentang cara mereka meninggalkan hukum Allah (ertinya secara ingkar/tidak percaya) itulah yang menjadikan mereka kafir”.

Begitu juga kepada mereka tidak menghukum dengan ajaran yang diturunkan oleh Allah secara ingkar, maka kafirlah mereka terhadap Allah, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas r.a., kerana keingkaran mereka terhadap hukum Allah setelah diketahui bahawa hukum itu telah diturunkan oleh Allah di dalamnya kitab-Nya (kitab suci mereka), maka ini samalah halnya dengan keingkaran terhadap kenabian nabi-Nya setelah mereka mengetahui bahawa dia itu adalah Nabi”.

Maka apakah dalam konteks ini ada orang Islam khususnya orang UMNO menafikan atau tidak mempercayai hukum Allah? Atau sekadar ia tidak mengamalkan sebahagian ajarannya atau tidak melaksanakan sebahagian hukum?

Dalam Islam jika seseorang mukmin, melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Islam ia adalah berdosa. Orang yang murtad ialah orang Islam yang menolak sama sekali asas-asas Islam – umpamanya mempersekutukan Allah, atau menidakkan kerasulan Nabi Muhammad atau mendakwa ada nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Setiap hari ada orang Islam yang membuat atau berkata sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti memfitnah, tidak sembahyang atau tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menghormati ibu bapa dan ulil amri dan lain-lain kerana mereka bukan maksum (terpelihara daripada dosa). Walaupun demikian mereka tidaklah terkeluar daripada Islam tetapi berdosa kerana perbuatan mereka.

Inilah pegangan jumhur ulama khasnya Ahli Sunnah wal Jamaah. Orang yang berdosa menerima balasan yang setimpal bergantung kepada besar kecil dosa yang dilakukan. Orang Islam juga diberi peluang bertaubat dan Allah berkuasa melepaskan seseorang dari seksa di akhirat, jika dikehendaki-Nya. Tentulah jelas bahawa tidaklah mudah bagi seseorang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan pada Hari Akhirat, menjadi kafir.

Jika benarlah tiap sesuatu yang dilakukan yang bertentangan dengan hukum Islam akan menjadikan seorang Islam itu kafir, maka mungkin 99.9 peratus daripada orang Islam sudah menjadi kafir selama ini (peratusan ini sebagai gambaran yang manusia tidak maksum). Mereka tetap sebagai orang Islam walaupun mereka berkali-kali membuat dosa.

Seseorang yang murtad ialah mereka yang menolak agama Islam selepas ia memeluk Islam dan orang Islam yang mengkafirkan orang Islam yang lain tanpa usul periksa sedangkan orang Islam itu masih berpegang kepada ajaran Islam dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Oleh itu, mana-mana pemerintahan Islam di dunia ini adalah bertanggungjawab memastikan perkara ini supaya tidak menjejaskan kekuatan umat Islam. Jawapan sudahlah jelas bahawa orang-orang UMNO tidaklah kafir kerana orang-orang UMNO, mereka tetap beriman dengan al-Quran serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kedudukan Islam di negara ini.

Mengenai isu dan hukum Takfir (mengkafirkan orang Islam) ini, Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 27 – 28 Mei, 1963 telah mengeluarkan pendapat seperti berikut: ”…Adalah kufur mengkufurkan seseorang Islam itu satu daripada perkara yang dipandang tersangat berat di dalam agama Islam. Kiranya orang yang dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak tepat sifat-sifat yang menjadikan dia murtad, maka kembalilah hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu pula”.

* ”…Mengikut kitab karangan Syarwani dalam juzu’ 9 muka surat 88 ada mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terburu-buru mengatakan kufur kepada seseorang Islam, apatah lagi bagi orang-orang awam sangat tidak digemari mengeluarkan perkataan kufur kepada saudara-saudaranya yang lain.”

* ”…Ahli-Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja menasihatkan setiap orang Islam bahawa kalimah kufur mengkufurkan sesama Islam itu hendaklah dipelihara dari lidah masing-masing sama ada di dalam kempen-kempen atau perbualan hari-hari atau lainnya.”

* Ayat 44 Surah al-Maidah adalah ditunjukkan kepada orang kafir Yahudi kerana mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan mereka sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya kitab Taurat yang dikaitkan dengan orang-orang Yahudi.

* Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang datang dari Allah; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh untuk berbuat demikian.

* Pas mengkafirkan UMNO semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana kedua-duanya merebut pengundi Islam, khasnya orang Melayu.

Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya yang menolak serta memutarbelitkan al-Quran dan al-Sunah? Siapakah yang sebenarnya kafir?

Ingatlah firman Allah yang bermaksud: ”Jangan engkau menurut hawa nafsu kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.” (Surah Sad: 26)

Maka wajarlah Presiden PAS itu mengambil pendirian memohon maaf secara terbuka kepada semua umat Islam di Malaysia dan dengan hati penuh ikhlas menarik balik fatwa yang telah banyak meninggalkan kesan negatif sehingga mengakibatkan pecah belah masyarakat dan suasana persaudaraan yang dibingkaikan oleh tafsiran politik matlamat menghalalkan cara.

Sumber: Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Disember 26, 2012.

2 Respons to “ADALAH KUFUR MENGKUFURKAN SESEORANG ISLAM”

  1. Reblogged this on Khazanah Minda Politik Melayu.

  2. Reblogged this on Oviruses 65.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: