MODAL DUNIA MENITI AKHIRAT


Modal Dunia Meniti Akhirat - 1

Setiap detik perjalanan kehidupan adalah satu pengembaraan menuju Allah swt. Dunia yang dihidangkan di hadapan kita, adalah ruang yang dikurniakan Allah swt untuk hambaNya, mencari dan mengumpul sebanyak mungkin modal sebagai bekalan meniti kehidupan akhirat yang kekal abadi. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rahimahullah, pernah pada suatu ketika, seorang sahabat Rasulullah saw yang bernama Abdullah bin Umar r.huma, didatangi oleh Baginda saw, lalu Baginda saw memegang kedua-dua bahunya sambil bersabda dan berpesan:

“Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah kamu adalah orang asing atau pengembara”

Bukankah Allah swt telah memberikan peringatan kepada kita mengenai hakikat kehidupan dunia ini, melalui firmanNya di dalam surah Ghaafir, ayat 39 yang bermaksud:

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.”

Namun, dalam menuju kehidupan akhirat, nikmat hidup yang kita tempuhi sekarang perlulah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Sempena kehadiran tahun baru 2013 ini, saya menyeru diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita perbaharui azam, tanamkan cita-cita, berjalan mengatur langkah, tetapkan suatu sasaran yang lebih baik dalam setiap lapangan kehidupan, bukan sahaja dalam aspek kerjaya, bahkan dalam aspek kehidupan sosial dan bermasyarakat.

Perancangan yang dilakukan untuk mencapai sasaran yang dihajati, perlu berada di landasan yang selari dengan kehendak Allah swt dan RasulNya saw. Walau apa pun tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini, sama ada sebagai seorang pekerja, peniaga atau pelajar, disamping tanggungjawab sosial dalam institusi keluarga dan komuniti setempat, pastikan nilai taqwa dalam diri menjadi tunjang dalam setiap tindakan, agar cita-cita yang dihajati tidak menjadi asbab untuk kita mendapat murka dari Allah swt. Wanau’zubillah.

Antara elemen penting yang perlu diperhatikan, bagi mendapat keberkatan dalam setiap perancangan, tindakan dan hasil yang kita usahakan ialah:

Pertama: Elemen jiwa

Jiwa yang kuat dan semangat yang cekal untuk berjaya, memerlukan pertalian yang hebat bersama Allah swt. Ikhlas dalam setiap usaha yang dilakukan, bukan mengharapkan sebarang pulangan material, kedudukan atau pujian apabila berjaya mencapai sesuatu matlamat. Bagi anak-anak yang sedang belajar, hidupkan jiwa dengan mencari redha Allah dalam setiap ilmu yang dipelajari. Mohonlah agar Allah swt menjadikan ilmu yang kita pelajari sebagai asbab untuk meninggikan syiar dan agama Islam.

Kedua: Elemen Fizikal dan Jasmani

Setiap tindakan yang dilakukan bagi mencapai natijah cemerlang, perlu dijauhkan perkara-perkara yang haram dan syubhah seperti rasuah dan pecah amanah. Tekun, amanah dan berdedikasi dalam bertindak adalah kunci kepada kejayaan yang dicitakan. Lihatlah bagaimana para sahabat Rasulullah saw, yang berusaha keras mempertahankan Kota Madinah dari diserang kaum musyrik pada peperangan khandak. Mereka tekun dan berdedikasi menggali parit yang amat dalam untuk menghalang kemaraan tentera musyrik. Begitulah sikap yang perlu ada pada setiap individu muslim hari ini, semoga Allah swt memberi taufiq dan inayah agar kita dan generasi akan datang dapat mencontohi sikap para sahabat r.hum ajma’en, amin ya rabbal alameen.

Ketiga: Elemen Minda dan Cara Berfikir

Sentiasalah berfikiran positif dalam setiap cabaran yang ditempuhi, serta menjadikan matlamat yang dihajati adalah untuk kebaikan semua. Pesan Baginda saw kepada umatnya melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah, daripada Abu Hurairah RA, Baginda saw bersabda yang bermaksud:

“Siapa yang mencari dunia dengan cara yang haram, mengumpulkannya, membangga-banggakannya dan pamer, maka dia akan menjumpai Allah dan Allah marah kepadanya. Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan jirannya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”

Seorang muslim akan cemerlang di dunia dan bahagia di akhirat, bila mana ia menggabungkan ketiga-tiga elemen yang dinyatakan tadi dalam menuju matlamat yang dihajati. Hati, akal dan nafsu yang dipimpin oleh petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah akan melahirkan jiwa yang hebat dan sikap yang positif untuk menempuh kehidupan yang penuh dengan ujian. Disamping itu, muhasabah dan sentiasa perbaiki kelemahan diri adalah di antara tanda-tanda orang yang beriman dan berjaya. Renungilah panduan Allah swt dalam surah al-Hasyr, ayat 18, bermaksud:

“Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah, hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukan untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat menyeluruh pengetahuanNya akan segala yang kamu lakukan.”

Jelaslah antara sifat Mukmin adalah sentiasa memperhatikan hari esok, mempersiapkan diri untuk bertemu hari esok, serta menghitung kekuatan dan kelemahan diri agar siap siaga apabila datang cabaran dan ujian kelak. Nilai kembali kualiti ibadah kita kepada Allah, pertalian kasih sayang sesama ahli keluarga, dan hubungan ukhuwah bersama jiran tetangga.

Perhatikan perkembangan anak-anak kita melalui sudut pandang agama, adakah yang sudah baligh memahami dan menjalankan tanggungjawab seperti yang digariskan dalam Islam? Adakah kita telah menunaikan tanggungjawab kepada orang tua kita yang amat memerlukan perhatian anak-anak dikala usia semakin uzur? Adakah solat, sedekah dan banyak lagi syariat Allah swt telah kita laksanakan dengan sebaiknya? Inilah antara perkara yang perlu kita nilai dan muhasabah kembali, kerana ikatan cinta bersama Pencipta dan jalinan kasih sesama manusia, akan menyuburkan suasana rahmat dan positif, untuk memacu tindakan mencapai cita-cita. Kehidupan manusia yang saling memerlukan antara satu sama lain adalah hikmah yang sangat agung oleh Allah swt, bagi membuktikan nilai hamba disisiNya, dan kebersamaan dalam hidup akan memberi impak yang sangat hebat kepada seluruh alam.

Ingatlah, dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Justeru, Islam telah memberikan panduan kepada kita, apakah tujuan kepada kehidupan manusia dan bagaimana untuk mencapai tujuan kehidupan ini. Manfaatkanlah sebaik-baiknya kesempatan kita di dunia ini dengan mendapatkan modal dan bekalan semaksima mungkin, untuk menuju kepada Allah swt sebagai tujuan utama kehidupan kita, sebagaimana Firman Allah swt dalam surah al-Zariyat, ayat 56, bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu.”

Bekalan yang terbaik untuk mencapai tujuan hidup ini adalah taqwa, dan cara yang paling utama untuk mendapat nilai taqwa yang mantap ialah dengan mendirikan solat. Justeru muhasabah dan koreksi solat kita sentiasa. Ikutilah cara solat Baginda saw dan para Sahabat r.hum ajma’een agar kita memperolehi kekuatan rohani dan jasmani seperti mereka. Berwudhuklah dengan sempurna, kerana rahsia dan hikmah disebalik wudhuk amatlah istimewa, seperti salah seorang sahabat Baginda saw, Bilal Bin Rabah r.hu yang sentiasa dalam keadaan berwudhuk, sehingga Baginda saw. mendengar tapak kaki Bilal di dalam syurga Allah swt.

Merancanglah dengan bijak, bukan sahaja untuk mencapai sasaran hidup di dunia, bahkan untuk mencapai kebahagiaan hakiki di akhirat. Sempena kehadiran tahun baru ini, bermakna Allah swt masih memberi kita ruang untuk merebut redha Allah swt melalui khidmat bakti yang dilakukan di dunia ini. Hayatilah nikmat hidup ini dengan kasih dan sayang sesama saudara, suburkan jiwa dengan zikrullah dan bersedekah. Ingatlah, erti hidup kita adalah pada memberi, semakin banyak kita memberi, semakin kaya jiwa kita dengan kebesaran Allah swt.

Marilah kita hayati bersama beberapa mutiara sebagai bekalan meneruskan kehidupan:

Pertama:

Kehidupan kita adalah sebenarnya seorang pengembara, maka bekalkanlah diri dengan modal yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

Kedua:

Elemen jiwa, fizikal dan minda dalam diri harus disepadukan dengan tunjang Al-Quran dan As-Sunnah bagi mendapat redha Ilahi dalam setiap gerak kerja kita.

Ketiga:

Binalah nilai taqwa dalam diri kita melalui solat, kerana untuk memperbaiki hati manusia, perlu diperbaiki dahulu solatnya.

Firman Allah swt dalam surah al-Qasas ayat yang bermaksud:

“Dan carilah apa yang dikurniakan oleh Allah kepadamu akan kebahagiaan di akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada dunia ini serta berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu, dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan.”

Sumber: Teks Khutbah Jumaat terbitan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 5, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: