TEKAD DAN AZAM KE ARAH KECEMERLANGAN


Tekad azam ke arah kecemerlangan

Kini kita berada di tahun baru 2013 masihi, bermakna selangkah kita menambahkan usia dan semakin dekat jarak waktu untuk kita bertemu dengan Maha Pencipta. Namun, persoalannya adakah kita sudah dan sentiasa bersiap-siaga menghadapinya? Sejauh manakah persiapan dan persediaan kita untuk mempersembahkan segala amalan dan kebaktian kita kepada Allah SWT?, adakah kita yakin untuk diterima dan berada di kalangan ashabul yamin yang diredhai-Nya dan seterusnya diganjari dengan syurga? Ataupun kita bakal dihimpunkan dalam golongan ashabul syimal yang bakal dihumbankan ke dalam neraka.

Justeru, bertepatan dengan tahun baru ini, marilah bersama-sama kita menanamkan tekad dan azam kearah kecemerlangan untuk menjadi hamba Allah SWT yang beriman dengan melakukan amalan-amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala amalan yang diharamkan. Berdasarkan kepada istilah pakar motivasi, azam adalah satu impian, cita-cita dan janji kepada diri sendiri untuk melakukan sesuatu, kerana itulah dalam hidup ini kita sebagai umat Islam perlu membina tekad dan keazaman untuk menjadi insan yang cemerlang bersandarkan kepada hari ini lebih baik dari semalam sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik dari semalam dan orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam, manakala orang terpedaya adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun untuk berubah ke arah yang lebih baik dan terbaik bukan hanya dengan angan-angan semata-mata, tanpa disusuli dengan tekad dan keazaman yang jitu serta usaha dan semangat yang waja. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 69, bermaksud:

ﮠ ﮡ ﮢ ﮣ ﮤ ﮥ ﮦ ﮧ ﮨ ﮩ ﮪ

“Dan orang yang berusaha berjuang kepada agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”

Penilaian tekad dan keazaman sebenarnya merupakan tonggak untuk meningkatkan usaha ke arah kecemerlangan hidup. Mimbar ingin mengingatkan bahawa umat Islam hendaklah cemerlang dalam semua aspek samada dari segi akidah, ibadah, akhlak dan kehidupan. Malah apa yang lebih bermakna adalah kecemerlangan dalam konteks pelaksanaan kerja yang diamanahkan dan hasil (outcome) kerja yang dilakukan. Umat Islam bukan hanya berfungsi dan berperanan setakat pada ibadah khusus semata-mata, malah lebih luas daripada itu ialah peranan kita sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi. Ini bermakna kedua-dua aspek duniawi dan ukhrawi perlulah dicemerlangkan bersama. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 200-202, yang bermaksud:

ﮩ ﮪ ﮫ ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ

ﯖ ﯗ ﯘﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ

ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧﯨ ﯩ ﯪ ﯫ ﯬ ﯭ

ﯮ ﯯ ﯰ ﯱ

“Ada di antara manusia yang berdoa: Wahai Tuhan Kami! Berilah kami (kebaikan) di dunia. (Orang-orang ini diberikan kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat. Dan di antara mereka pula ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami; berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitungan-Nya.”

Kebijaksanaan melakukan perubahan dapat membantu setiap muslim dan umat Islam dalam merancang masa depan bagi menyusun strategi baru yang bersesuai dengan perubahan masa dan mampu mengurangkan kegagalan. Harus diingat bahawa perubahan dalam kehidupan mestilah membebaskan umat Islam dari belenggu kebekuan yang bercanggah dengan syariat. Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu kaum tersebut selagi kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Ra’d ayat 11, maksudnya:

ﮬ ﮭ ﮮ ﮯ ﮰ ﮱ ﯓ ﯔ ﯕ ﯖ ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ

ﯞ ﯟ ﯠ ﯡ ﯢ ﯣ ﯤ ﯥ ﯦ ﯧ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya.”

Manusia yang cemerlang sebenarnya berjiwa besar lagi kental. Mereka ini dapat dilihat melalui beberapa aspek antaranya:

Pertama: Kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat oleh sebarang kelemahan,

Kedua: Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti tamak haloba dan kedekut,

Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati, tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak terpengaruh dengan prinsip yang lain.

Kecemerlangan prestasi jika dihalakan kepada kebaikan akan membawa banyak keuntungan. Namun jika dihalakan kepada kejahatan, maka integriti dan akauntabiliti kita akan tercalar. Ingat pesan Rasulullah SAW daripada Jabir RA tentang kesungguhan iblis yang sentiasa berprestasi cemerlang untuk menyesatkan manusia dalam sabdanya, bermaksud:

“Singgahsana iblis berada di lautan. Dari sana dia mengirim pasukannya untuk membuat fitnah (mengacau atau membawa bencana untuk) umat manusia. Maka siapa yang lebih besar membuat bencana, dialah yang lebih besar jasanya (terhormat) di kalangan mereka”.

(Hadith riwayat Muslim)

Lantaran itu, setiap kita yang memegang tanggungjawab sebagai muslim perlu meletakkan tanda aras prestasi cemerlang dengan adanya tekad dan keazaman diri di samping memainkan peranan masing-masing sebagaimana berikut:

Pertama:

Sebagai pemimpin kita perlu meletakkan indeks kemantapan akidah, akhlak, ekonomi, sosial dan pembangunan negara selari dengan pemerkasaan rohani (spiritual) modal insan agar kegemilangan tamadun Islam sewaktu ketika dulu dapat diulangi.

Kedua:

Sebagai ketua rumahtangga, suami perlu meletakkan indeks keharmonian rumahtangga ibarat ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan sebagai budaya yang dapat menghindari ahli-ahli keluarga daripada gejala rosak akhlak.

Ketiga:

Sebagai individu muslim kita perlu meletakkan indeks peningkatan jati diri muslim yang berkualiti, berpotensi besar, profesional, berdaya tahan dan sentiasa menuju ke arah kemajuan agama dan ummah.

Bersempena dengan minggu pertama tahun baru ini, marilah sama-sama kita melakukan tekad dan keazaman diri dengan mengubah segala kebiasaan-kebiasaan negatif yang selama ini menjadi rutin kehidupan kita. Marilah sama-sama kita mengubah pemikiran kita ke arah yang lebih kreatif dan inovatif agar ianya selari dengan peredaran masa dan zaman. Jadikan perubahan diri kita sebagai batu asas untuk membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan bermaruah. Tanamkanlah keyakinan diri sebagai pegangan hidup, dorongan sebagai teman setia, putus asa di anggap musuh durjana dan jadikanlah usaha dan tekun sebagai tangga kejayaan. Sematkan tekad dan keazaman kita pada tahun ini dalam jiwa dan minda agar ianya tidak sia-sia dan terbuang begitu sahaja.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah at-Taubat ayat 111, maksudnya:

ﯗ ﯘ ﯙ ﯚ ﯛ ﯜ ﯝ ﯞ ﯟ ﯠ

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga .”

 

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 5, 2013.

Satu Respons to “TEKAD DAN AZAM KE ARAH KECEMERLANGAN”

  1. assalammualaikum, mohon utk gunakan ilmu diatas bg menyertai pertandingan syarahan,.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: