SIKAP POSITIF PENENTU KEJAYAAN


ImejDalam menempuh kehidupan seharian yang penuh dengan cabaran, dugaan dan rintangan. Kita sebagai umat Islam dituntut untuk sentiasa bersikap positif dengan bersabar, bersemangat waja dan tidak mudah berputus asa. Ini kerana segala dugaan kehidupan tersebut merupakan fitrah atau lumrah di dalam kehidupan dan juga merupakan ujian daripada Allah SWT untuk mengenal pasti siapakah di kalangan hamba-Nya yang terbaik dari segi amal ibadah mereka di dunia. Firman Allah SWT  di dalam surah Al-Mulk ayat 2, yang bermaksud:

Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.

Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menghiasi diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam hidupnya adalah dengan bersikap dan berfikiran positif. Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan berfikiran positif?, Secara ringkasnya berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap apa jua keadaan yang menimpa dirinya atau dengan kata lain berprasangka baik.

Agama Islam amat menganjurkan umatnya supaya bersifat dan berfikiran positif di dalam kehidupan berbanding dengan sikap berprasangka buruk yang jelas sekali tercela. Sikap prasangka baik memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang manusia. Amatlah tepat dengan pesanan Rasulullah SAW yang menyanjungi seorang mukmin yang berfikiran positif dalam segala aspek kehidupannya. Bahkan itulah sikap dan ciri mukmin yang sejati sebagaimana sabda Rasulullah SAW, maksudnya:

Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.(Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di ini tergambar dengan jelas tentang ciri-ciri mukmin yang sebenar. Bukan sahaja dia sabar dan tabah menghadapi segala mehnah dan tribulasi, bahkan dia juga dianggap kalis dengan segala cabaran demi cabaran serta terus fokus dengan matlamat utamanya dalam kehidupan iaitu mencari keredhaan Allah SWT kerana redha Allah Taala yang didambakan dan dihajati dalam hidupnya.

Seandainya setiap daripada diri kita menghayati dan mengamalkan seruan Rasulullah SAW  ini, insya Allah segala permasalahan di dalam hidup kita akan kita lalui dan hadapi dengan tenang dan mudah. Tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan. Umat Islam akan terus menuju kepada matlamat untuk mencapai sebanyak mungkin kejayaan demi kejayaan. Justeru, mimbar pada hari ini menyeru kepada sidang jumaat sekalian supaya bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jatidiri yang positif yang wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam.  Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 11, yang bermaksud:

Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.

Jika tiada lagi sifat berprasangka buruk sesama kita dan tiada lagi perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan, umat Islam akan terus menerajui tamadun dunia. Sehubungan dengan itu, kita perlu mempelajari sikap positif dari para sahabat Rasulullah, antaranya ialah:

1. Jelas matlamat hidup dan kehidupan ini adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

2. Tegas berpegang dengan prinsip akidah dan syariah. Tetapi tidak melampau dan melulu yang dirangsang oleh emosi.

3. Memiliki semangat juang yang tinggi dan berani menghadapi risiko melalui perjuangan misi sebagai mukmin.

4. Tidak melupakan dunia, namun tidak pula hanyut dengan keindahannya.

5. Berakhlak mulia dan beristiqamah walaupun diuji.

6. Berani membuat perubahan ke atas diri sendiri apabila ia mendapatkan kebaikan.

Marilah bersama-sama kita menanamkan azam yang tinggi untuk mengukuhkan jati diri yang positif yang sememangnya wujud di dalam diri kita sebagai umat Islam. Sama-samalah kita berusaha untuk memajukan umat dan bangsa kita. Ingatlah kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan ini. Ini kerana kita adalah sebaik baik umat yang diutuskan oleh Allah SWT kepada manusia dengan syarat, kita memiliki ciri-ciri yang disebutkan oleh Allah Taala di dalam al-Quran.

Di kesempatan ini juga, mimbar menyeru semua jemaah dan umat Islam yang sememangnya sayangkan agama dan Negara, marilah bersama-sama mengekalkan perpaduan dan keamanan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT terutamanya ke arah perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan pentadbiran negara. Oleh itu, jauhilah segala perkara dan perbuatan yang boleh menjerumuskan diri kita ke arah kebinasaan. Bersyukurlah dengan nikmat keamanan dan keharmonian Negara yang kita kecapi di sepanjang kehidupan ini. Renungilah bersama firman Allah SWT  di dalam surah Ali-Imran  ayat 110, bermaksud:

Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 12, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: