HIJRAH KE ARAH KEHIDUPAN LEBIH BERADAB


4. PictureTahun 1434 Hijrah baru saja bertamu ke “rumah kehidupan” kita. Jika diambil kira dari segi sejarah, bermakna kewujudan Islam sudah memasuki fasa yang lebih mantap kerana laluan sejarah yang panjang itu telah menghasilkan kaedah hidup berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara yang lebih baik.

Bagaimanapun, kerana sifat kehidupan itu adalah dinamik, maka kedinamikan itu turut mencabar peraturan atau sistem yang sudah mantap atas alasan manusia sentiasa kreatif mencipta ruang untuk mengelak ataupun melakukan perubahan. Akibatnya kehidupan itu sendiri tidak dapat dipisahkan dari ciri-ciri kebengisan, konflik, persengketaan dan dominasi.

Konflik dan peperangan berlaku di mana-mana dalam skala yang berbeza. Setiap hari ada sahaja yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian, pertumpahan darah dan kemusnahan. Malaysia tidak terkecuali daripada kebiadapan itu kerana semakin hari semakin ramai rakyat di negara ini mula lupa untuk menjadikan kehidupan lebih beradab dan mencapai kesepakatan agar masyarakat dan negara mempunyai kesepaduan yang kental.

Amat mendukacitakan ialah apabila dalam masyarakat Islam sendiri sudah tidak boleh dibendung lagi perpecahan dan sebahagian besarnya disebabkan oleh masalah politik. Oleh kerana penganut Islam merupakan kumpulan terbesar, dan sebahagiannya membawa aliran pemikiran politik yang berbeza, menyebabkan ada pihak yang mendakwa bahawa pendirian dan sikap mereka sahajalah yang paling mendekati kebenaran.

Sultan SelangorTeguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap ahli politik yang cenderung menyalahgunakan hukum agama dan tafsiran al-Quran sebagai modal politik bagi meraih sokongan kena pada tempatnya setelah ada segelintir daripada mereka yang menyalutkan pemikiran liberal dan pluralisme agama berani mempertahankan seorang lagi ahli politik yang jelas salah mengambil pendirian.

Maksud pengertian ayat al-Quran dari Surah al-Baqarah ayat ke-256, “..tiada paksaan dalam beragama..” turut terpakai kepada orang Melayu walaupun secara sinisnya menyebut “tidak menyokong keputusan murtad” membawa satu bentuk pemikiran yang paling tidak budiman kerana tidak memahami sejarah dan ketepatan penggunaannya.

Ayat tersebut hanya terpakai dalam keadaan berdakwah untuk bukan Islam. Ini bermakna setelah seseorang itu memeluk Islam, sama ada secara mewarisi agama tersebut dari keluarga ataupun pilihan sendiri, adalah menjadi mandatori untuk mentaati setiap prinsip dan rukun-rukun iman yang ditetapkan, memperkemaskan keyakinan bertauhid atas landasan Hanya Allah SWT Tuhan Yang Disembah dan Nabi Muhammad SAW adalah Pesuruh Allah.

Perjuangan menegakkan akidah umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa Allah SWT sentiasa bersama dengan kita. Ini bukan bererti Allah bertempat sebagaimana fahaman satu kumpulan bidaah. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika saat hijrah Rasulullah ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.

Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. – (Surah al-Taubah ayat 40).

Keteguhan akidah atau agama seseorang itu diukur ketika saat ditimpa musibah bukan di saat suasana kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah apabila melihat kejayaan, namun belum tentu demikian apabila mengalami penderitaan.

Dalam Islam, akidah yang berunsur ketakwaan yang akan melahirkan amalan yang benar-benar ikhlas, di mana amalan seseorang tidak akan diterima Allah kecuali yang dilakukan oleh orang yang tidak menyekutukan atau menyerupakan Tuhannya dengan sesuatu yang lain.

Anggaran keseluruhan penduduk dunia beragama Islam ialah sekitar 1.8 bilion, yakni hampir satu perempat daripada ke seluruh penduduk dunia yang melebihi 7 bilion. Bilangan penganut Islam bertambah setiap hari dan pada masa kini menduduki tangga kedua selepas Kristian.

Bagaimanapun, disebabkan berlakunya pertambahan yang begitu pesat berdasarkan kadar pertumbuhan semula jadi dan penerimaan masyarakat bukan Islam, maka ada anggaran bahawa dalam tempoh kurang 50 tahun lagi, jumlah penduduk dunia yang beragama Islam akan mengambil alih tempat teratas daripada keseluruhan penduduk beragama Kristian.Perkembangan itu membimbangkan sebahagian pendokong agama Kristian kerana semakin ramai golongan terpelajar masyarakat Barat mula memperoleh semangat baharu setelah menganut Islam. Penganut Kristian menganggap inilah cabaran terbesar yang terpaksa mereka hadapi, maka pelbagai usaha dilakukan untuk memperlekehkan Islam termasuk memperhebatkan dakwaan Islam adalah agama keganasan, menghina Nabi Muhammad sebagai manusia yang “gila seks” dan Islam ditegakkan menerusi peperangan.

Semakin Islam ditekan, semakin ramai cerdik pandai Barat berpihak kepada Islam. Persoalan ini menggambarkan berlakunya perulangan sejarah awal Islam di mana ketika berhadapan dengan ancaman dan serangan penduduk kota Mekah, Islam tidak juga berjaya dilumpuhkan sebaliknya, kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW menerima pelawaan penduduk Madinah untuk berhijrah telah menggandakan kekuatan Islam dan akhirnya hampir keseluruhan penduduk kota Mekah menerima agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW yang pada awalnya dilihat tidak masuk akal dan hanya rekaan Baginda.

Islam berusaha mewujudkan perseimbangan antara kehidupan secara fizikal dan kehidupan batin atau spiritual. Bila keseimbangan antaranya berlaku, maka seluruh kehidupan akan menjadi lebih baik dan sengketa dan permusuhan dapat dielakkan. Keseimbangan itu juga memberikan manusia semangat toleransi dan kerjasama, kerana prinsipnya adalah sejagat, yang lemah dibantu dan yang kuat membantu.
Disebabkan berlakunya pemesongan asas falsafah, maka pengaruh sekularisme dan kapitalisme menjadikan manusia semacam menafikan tanggungjawabnya untuk bertoleransi, bekerjasama dan seterusnya saling membantu.

Ketika semangat dan kepentingan merenung kembali kisah hijrah ini sedang hangat diperkatakan, adalah lebih baik setiap daripada kita memulakan semula langkah untuk bersatu dalam kesepakatan atas kepentingan agama. Sesungguhnya masalah akidah tidak ada ruang kompromi bagi umat Islam. Ia sudah jelas dan terang. Benar bahawa kebebasan agama adalah dijamin dan diakui dalam Islam. Islam mengiktiraf dan menghormati kedudukan dan status bukan Islam di kehidupan dunia ini. Namun demikian, jika seseorang itu sudah menyatakan dirinya memeluk agama Islam, maka Islam ada peraturan dan hukum tersendiri bagi melindungi umat Islam daripada gangguan dan dakyah pihak lain.

Dan semangat hijrah yang berlandaskan Wasatiyyah Tonggak Kesepaduan Ummah adalah wajar untuk kita melakukan perubahan agar kehidupan menjadi lebih beradab. Kita singkirkan apa sahaja tindakan yang menampakkan unsur-unsur kebiadapan, kerana kita sebenarnya sedang membina semula peradaban Islam yang sudah dihancurkan oleh proses pembaratan menerusi ilmu pengetahuan dan globalisasi.

Peradaban Barat sudah menampakkan kehancurannya dan kapitalisme semakin lumpuh. Inilah peluang untuk kita bersatu atas semangat dan roh hijrah yang dilaksanakan oleh baginda Rasullullah SAW 1,400 tahun lalu, atas puing-puing sejarah, kita binakan semula sejarah tamadun besar yang berlandaskan Islam bermula di sini, iaitu Malaysia.

Kita singkirkan segala nilai-nilai buruk dan kita mulakan dengan iltizam membangun semangat dinamik dan psikologi kendiri yang melihat masa depan kita sebenarnya kitalah yang menentukannya, dan bukan orang lain.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 13, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: