LIDAH BERCABANG BERTENTANGAN PERIBADI ULAMA


bahayalidahKeputusan Majlis Syura Ulama tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan God atau Lord menjadikan segelintir ulama yang berusaha mempertahankan pendirian pendapat yang berbeza, bagai cacing kepanasan. Oleh kerana pendirian itu lebih bersifat politik, maka ulama berkenaan begitu cepat menyejukkan kepanasan. Situasi itu menjadikan segelintir ulama tetap dipandang sinis dan hilang krebilitinya sebagai orang yang berilmu dan boleh dijadikan teladan.

“Cakap tidak serupa bikin” menjadi budaya yang kian membengkak sehingga menimbulkan pelbagai masalah dalam kehidupan. Apatah lagi jika budaya tersebut berlaku dalam kalangan pemimpin ataupun ulama. Kesannya jelas, pengikut berkecamuk dan keliru.

Dalam Islam, orang berpengetahuan atau berilmu dipanggil ulama. Dengan ilmu pengetahuan yang dimilikinya, seorang ulama memiliki rasa takwa, takut dan tunduk kepada Allah SWT. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: “Sesunggunnya yang takut kepada Allah daripada hambanya ialah ulama.” (Surah Fathir, ayat 26).

Allah SWT mengecam mereka yang memiliki ilmu (ulama) tetapi ucapan dan tindakannya tidak sesuai dengan tahap pengetahuannya. Dari segi realiti, ucapan yang bersifat kemunafikan bukanlah teladan yang diwarisi dari Rasulullah SAW. Bahkan, sepanjang menyampaikan dakwah, Rasullullah SAW sangat menekankan kesantunan berbahasa, berbentuk nasihat dan menggunakan hujah yang jelas (Surah al-Nahl, ayat 125).

Rasulullah SAW tidak pernah mencerca kaum musyrik secara kasar dan angkuh. Sebaliknya baginda sering memohon keampunan dan kebaikan bagi mereka, justeru mereka sebenarnya tidak tahu. Tahap keimanan seseorang itu ditentukan dengan pemakaian bahasa yang berkesan dan tidak menimbulkan kesan-kesan negatif kepada khalayak sasaran.

Sebagai orang yang berilmu, ulama sepatutnya dapat membendung diri daripada menggunakan kata-kata yang boleh meyebabkan pendengarnya sakit hati. Hakikat dakwah ialah mengajak manusia mengerjakan kebaikan dan menjauhi sifat-sifat yang keji. Tetapi disebabkan nafsu menguasai minda yang sihat, ada segelintir ulama sanggup mencerca dan menggunakan bahasa yang salah terhadap orang lain yang tidak sehaluan pendirian atau pendapat.

Tanggungjawab keilmuan seseorang ulama, yang disinambungkan sebagai pewaris nabi sepatutnya memberi contoh atau teladan dalam semua aspek kehidupan, termasuk kaedah bermasyarakat dan bersosialisasi. Nabi Muhammad SAW dicipta Allah sebagai insane teladan (surah al-Ahzab ayat 21). Bahkan daripada riwayat Aisyah r.a. ada petunjuk jelas bahawa Rasullullah SAW adalah “al-Qur’an berjalan.”

Sebagai pewaris nabi, ulama dituntut menampilkan peribadi yang baik, jujur dan santun dalam tutur katanya. Bahasa kesat dan berbelit-belit dilarang keras, kerana hasilnya akan menyebabkan khalayak kebingungan.

Tugas ulama adalah untuk menyebarkan dan menterjemahkan firman Allah kepada manusia agar mereka terbimbing untuk hidup dengan penuh keberkatan dan harmoni. Tutur kata dan perilaku yang membimbing akan melahirkan nilai-nilai kerjasama dan persefahaman sehingga setiap diri manusia disaluti kasih sayang dan berjiwa pemaaf.

Itulah akhlak mulia yang dimaksudkan oleh al-Quran: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf dan meninggalkan mungkar dan berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Al-A’raf ayat 199)

Sebagai bukti kesempurnaan iman seseorang atau seorang yang bergelar ulama dapat dilihat sejauh mana dia memelihara lidah dan perkataannya daripada suatu hal yang tidak patut menurut agama.

Nabi SAW sering kali mengingatkan agar menjaga lidah (mulut) kerana ia sesungguhnya paling berpotensi untuk mencelakakan kita. Ingatlah bahawa luka yang diakibatkan oleh lidah hakikatnya lebih parah daripada yang diakibatkan oleh pisau.

Demikianlah sejarah mencatat dengan sikap mereka yang terbuka itu menyebabkan umat Islam berada dalam keharmonian dan kestabilan sehingga hari ini. Lantaran itulah kita memandang sinis terhadap mereka yang bergelar ulama tetapi bersikap terlalu kasar dan bengis atau memandang rendah terhadap orang awam.

Tidak layak digelar sebagai ulama kerana jiwanya belum dapat mencapai tingkatan khsyah yang benar-benar takut kepada Allah. Sedangkan ulama yang berilmu tetapi tidak ada perdirian dalam sesuatu isu dan selalu berdolak dalih dalam percakapan adalah ulama lidah bercabang. Pendirian mereka sentiasa berubah-ubah, kerana perubahan itu adalah perlu demi memenuhi kepentingan diri atau kumpulan tertentu.

Mereka ini sentiasa berperilaku sombong dan bongkak, lupa diri kerana ilmu yang dimilikinya tidak disusuli dengan amalan. Ilmu hanya untuk mencari kedudukan dan memuaskan nafsu, bukan berusaha meredah belantara kebenaran dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Situasi sedemikian sebenarnya tidak akan kekal. Bila-bila sahaja pemberian itu boleh ditarik balik, seperti maksud firman Allah SWT: Allah menentukan dengan rahmat-Nya siapa yang dikehandaki-Nya. Dialah Maha mempunyai limpah kemurahan yang besar”.(Maksud Surah Al- Baqarah Ayat 105)

Rasulullah SAW bersabda: “Pokok amal itu adalah Islam, tiangnya adalah solat, puncaknya adalah jihad. Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: mahukah aku beritahukan kepadamu tentang kuncinya semua perkara itu? Saya menjawab: “baik ya Rasulullah.” Kemudian baginda memeganglidahnya seraya berkata “jagalah ini”. Saya bertanya: “Wahai Rasulullah apakah kami dituntut (diseksa) kerana apa yang kami katakan?” Baginda menjawab: “Celaka kamu, bukankah orang yang menjerumuskan terhadap mukanya (atau pada batang hidungnya) ke dalam neraka, melainkan buah ucapan lidah mereka.” (HR. At-Tarmizi)

Oleh:

DATO’ DR MASHITAH IBRAHIM, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Sumber: http://ummatanwasatan.net

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 16, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: