SUNNAH YANG DILUPAKAN


1. SUNNAH YANG DILUPAKANRasulullah Muhammad SAW adalah insan agung yang dilantik oleh Allah SWT sebagai pesuruhNya. Segala bentuk percakapan, perbuatan, tingkah laku, pengakuan dan sifat-sifat baginda SAW menjadi ikutan bagi setiap muslim yang mengaku sebagai umat yang mencintainya.

Namun, realiti pada hari ini, amalan sunnah yang disarankan oleh Rasulullah SAW bukan lagi menjadi perkara utama yang dianggap penting dalam kehidupan seharian. Ada yang menggangap memberi salam, mengukir senyuman, memakai wangian, memotong kuku dan bersugi adalah amalan biasa yang tiada nilainya. Sedangkan perkara-perkara yang dianggap kecil itu sebenarnya menjanjikan pahala yang besar disisi Allah SWT.

Mengapakah sunnah pada hari ini dipandang remeh? Berapa ramai di kalangan kita yang istiqomah dalam mengamalkan sunnah-sunnah ini? Antara faktor-faktor yang membawa kelalaian menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan untuk dihayati dalam kehidupan seharian adalah :

Pertama: Kurang ilmu tentang amalan-amalan sunnah disebabkan tiada usaha untuk mencari ilmu. Inilah yang menyebabkan sunnah tidak “hidup” dalam diri kita. Malah, amalan sunnah itu dipandang sebagai pekerjaan atau amalan biasa yang tiada nilainya.

Kedua: Tiada kesedaran terhadap kepentingan pengamalan sunnah dalam kehidupan harian. Hal ini bermaksud kita memandang bahawa tiada perbezaan antara melakukan amalan sunnah dengan amalan harian biasa. Contohnya, menganggap serban atau jubah itu adalah pakaian orang-orang Arab sahaja. Tidak kurang juga yang merasa malu dan janggal memakainya. Sedangkan memakai pakaian seperti serban dan jubah ini adalah antara amalan sunnah daripada Rasulullah SAW.

Ketiga: Kesibukan terhadap perkara keduniaan melebihi perhatian kepada hal akhirat sehingga tidak melihat amalan sunnah itu sebagai “bekalan” untuk akhirat. Sebaliknya masa dan tenaga digunakan sepenuhnya hanya untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu semata-mata. Memiliki rumah besar, kereta mewah, pakaian berjenama dan sebagainya sehingga lupa untuk bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

Keempat: Memandang bahawa Rasulullah SAW bukan ikutan sebenar dalam kehidupan sehingga menjadikan manusia lain sebagai idola. Pada hari ini, artis itu dan artis ini lebih dikenali dan lebih diikuti perangai dan perwatakannya berbanding Rasulullah SAW.

Hadith sahih dalam Sunan Ibn Majah, daripada al-‘Irbad bin Sariyah RA, sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:

“Hendaklah kamu (beramal) dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin.”

Imam al-Tabari Rahimahullah dalam tafsinya menyatakan bahawa sesiapa yang mengharapkan pahala dan rahmat Allah, tidak boleh bergantung kepada dirinya semata-mata, tetapi hendaklah dia mempunyai ikutan atau contoh yang dapat memimpin dirinya. Justeru, ikutan terbaik adalah Rasulullah SAW sahaja.

Amalan-amalan sunnah yang sering kita lupakan antaranya ialah :

Pertama : Mendoakan orang yang bersin ketika kita mendengarnya bersin. Kebanyakan daripada kita, jarang mengamalkannya. Bukankah terdapat hadith sahih, riwayat al-Bukhari dan Muslim Rahimahumallah, daripada Abi Hurairah RA berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:

“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima iaitu: menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan orang yang bersin.”

Kedua : Mendahulukan anggota sebelah kanan daripada sebelah kiri. Amalan ini sekalipun nampak remeh, tetapi ia merupakan satu sunnah Rasulullah SAW. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim Rahimahumallah, daripada Abi Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:

“Apabila seseorang daripada kamu memakai kasut, maka mulakan dengan sebelah kanan, apabila hendak mencabutnya mulakan dengan sebelah kiri. Jadikan kaki kanan itu permulaan ketika memakai kasut dan yang akhir ketika menanggalkannya.”

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa dalam konteks mendahulukan sebelah kanan adalah ditujukan kepada setiap perkara yang termasuk di dalam bab dihormati dan dimuliakan seperti memakai baju, seluar, memasuki masjid, bersugi, memakai celak, memotong kuku, memendekkan misai, menyikat rambut, keluar tandas dan sebagainya. Sebaliknya apa yang berlawanan dengan perkara-perkara tersebut memulakannya dengan sebelah kiri. Semua ini kerana disebabkan oleh kemuliaan kanan dan hanya Allah yang lebih mengetahui perkara itu.

Ketiga : Memberi dan menyebarkan salam. Lihatlah kepada para sahabat. Sebaik sahaja Rasulullah SAW menyarankan agar memberi salam ketika bertemu sesama muslim. Amalan tersebut, terus disebar luaskan sehingga wujudnya hubungan yang erat dan bertambah kasih sayang antara mereka. Jadi, menyebarkan salam itu bukan sahaja menuruti sunnah, namun matlamat yang lebih jauh adalah untuk mewujudkan hubungan silaturrahim dan membina ukhuwah yang kuat sesama muslim. Gambaran yang diberikan oleh Rasulullah SAW tentang hubungan erat sesama muslim adalah seperti bangunan yang dibina kukuh dan saling menyokong antara satu sama lain.

Keempat : Memakai wangi-wangian. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya memakai wangi-wangian teritama apabila hendak beribadah kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW menggalakkan umatnya memakai wangi-wangian terutama apabila hendak beribadah kepada Allah SWT. Bahkan ianya juga menjadi perkara sunat kepada kaum lelaki ketika hendak menunaikan solat fardhu Jumaat. Bukankah dengan memakai wangi-wangian dapat menenangkan hati kita dan masyarakat di sekeliling. Bayangkan jika pakaian yang kita pakai untuk solat berjemaah di masjid berbau busuk, adakah orang lain akan selesa dengan kita? Renungkan bersama sabda Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, yang bermaksud:

“sesiapa yang diberi harum-haruman, maka janganlah ia menolaknya, kerana sesungguhnya ia ringan bebannya (ringan dibawa) dan harum baunya”.

Selain daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas, sebenarnya sama ada kita sedar ataupun tidak, banyak lagi perkara-perkara yang menjadi sunnah Rasulullah SAW, tetapi kurang diamalkan oleh kita. Semuanya bergantung kepada kita untuk beramal dengannya ataupun tidak. Rasulullah SAW telah mengajar kita daripada sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar hal.

Para Sahabat, ketika Rasulullah SAW menyarankan sesuatu, tanpa banyak bicara, tanpa banyak soal, mereka terus beramal dengan sunnah tersebut. Jika dibandingkan dengan situasi kita pada hari ini, bak kata pepatah “jauh panggang dari api”, maksudnya sekalipun diketahui sesuatu amalan itu adalah sunnah, belum tentu berusaha untuk mengamalkannya.

Apa sahaja perkara yang disarankan oleh Rasulullah SAW bukanlah sesuatu yang sia-sia. Bahkan apa jua yang keluar daripada mulut dan perilaku baginda tidak lain melainkan wahyu daripada Allah SWT jua. Perkara ini jelas daripada penegasan Allah SWT pada ayat 3 dan 4 surah al-Najm, yang bermaksud:

“Dan tiadalah yang diucapkannya itu (al-Qur’an) menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).”

Justeru, lapangkanlah dada kita untuk menerima dan menjadikan sunnah itu dekat dengan diri kita. Lihatnya bagaimana baginda berhadapan dengan variasi umat manusia dalam misi. Tidak pernah sama sekali baginda menarik muka masam, jauh sekali untuk melemparkan kata-kata kesat. Segala kejahatan dan penolakkan dakwah baginda dihadapi dengan senyuman sehingga mencairkan hati-hati mad‘u baginda SAW.

Hidupnya sunnah dalam diri seseorang apabila pengetahuan tentang sunnah yang dimiliki terus diamalkan sepertimana para sahabat. Apabila mendengar suatu ajaran Rasulullah terus diamalkan sehingga ia hidup dalam diri mereka. Apa yang lebih utama adalah istiqamah dan konsisten untuk beramal dengan sunnah itu. Oleh itu, bagaimana untuk kita mengembalikan semula penghayatan terhadap sunnah itu? Antara solusi dalam menghidupkannya kembali adalah:

Pertama : Kesedaran diri terhadap kepentingan sunnah untuk dihayati sepanjang hidup. Kita perlu meletakkan bahawa amalan sunnah Rasulullah SAW adalah amalan yang terbaik untuk diikuti sepanjang masa.

Kedua  : Berusaha untuk mendalami ilmu-ilmu tentang sunnah. Berusahalah untuk mengikuti majlis-majlis ilmu.

Ketiga  : Beramal dengan ilmu yang dipelajari dan difahami.

Amat beruntunglah bagi orang-orang yang menghidupkan sunnah pada dirinya. Pastinya Allah SWT akan memberikan ganjaran terhadap orang-orang yang menjunjung perintah kekasihnya, Rasulullah Muhammad SAW. Setiap amalan sunnah yang disarankan mempunyai kadar pahala yang berbeza. Semoga dengan amalan tersebut, bukan sahaja mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT, tetapi turut mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.

Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Jabir bin ‘Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:

“Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada para Rasulullah sebelumku, iaitu aku digeruni di dalam medan perang sejauh sebelum perjalanan; dijadikan bagiku bumi ini tempat sujud lagi suci, sesiapa sahaja yang mahu melaksanakan solat, maka solatlah (di mana-mana sahaja); dihalalkan bagiku (daging) binatang ternakan; keseluruhan para Rasulullah sebelumku diutuskan untuk berdakwah kepada kaumnya secara khusus, sedangkan aku kepada semua manusia; dan aku boleh memberi syafaat.”

Antara intipati khutbah penting yang dapat diambil sebagai pengajaran pada minggu ini ialah :

Pertama : Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang terbaik dalam setiap aspek kehidupan.

Kedua : Berusahalah untuk mendekati majlis ilmu agar kita dapat memahami dan menghayati sunnah Rasulullah SAW.

Ketiga : Allah SWT menjanjikan pahala terhadap orang-orang yang menghidupkan sunnah Rasulullah SAW.

Keempat : Elakkan dari menggunakan sunnah Rasulullah SAW hanya untuk kepentingan peribadi, politik atau kumpulan tertentu.

Kelima : Amalkanlah sunnah Rasulullah SAW secara keseluruhan. Bukan hanya pada perkara – perkara yang tertentu. Janganlah hanya berpakaian mengikut sunnah namun peribadi dan perbuatan sangat menyimpang jauh dari sifat Rasulullah SAW. Fitnah dan caci maki menjadi amalan harian. Elakkanlah perbuatan yang sebegini demi memilhara sunnah Rasulullah SAW.

Inilah masanya untuk umat Islam sedar dan menolak sepenuhnya pihak – pihak yang hanya menggunakan sunnah Rasulullah SAW demi untuk kepentingan peribadi.

Ingatlah, semua umat Islam bertanggungjawab sepenuhnya untuk memelihara sunnah Rasulullah SAW dan mesti menentang sekeras – kerasnya mana – mana pihak yang cuba menyalahgunakannya.

Bayangkan apakah akibatnya pada masa hadapan umat Islam jika ada golongan yang berlindung di sebalik sunnah Rasulullah SAW namun pada masa sama melakukan fitnah dan caci maki sesama Islam sehinga boleh mengancam kestabilan negara dan keharmonian umat?

Firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran ayat 144, yang bermaksud:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan ni’mat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”

Sumber: Teks Khutbah Jumaat  terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 17, 2013.

Satu Respons to “SUNNAH YANG DILUPAKAN”

  1. Reblogged this on Myblog's Blog and commented:
    Sebagai renungan kita bersama…selamat membaca dan mengambil ikhtibar darinya…Salam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: