FITNAH SIBER


1. Fitnah Siber“Fitnah Siber” diertikan sebagai penyalahgunaan atau menggunakan teknologi komputer dan telekomunikasi tidak sebagaimana yang sepatutnya dan bertentangan dengan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat. Selain itu, “Fitnah Siber” turut diertikan sebagai penyebaran fitnah iaitu kata dusta, tuduhan dan berita palsu bertujuan memburukkan atau mengaibkan seseorang atau sesebuah institusi.

Pada zaman moden era teknologi dan globalisasi ini, “Fitnah Siber” berlaku dan tersebar dalam pelbagai saluran media massa dan elektronik, bahkan ianya semakin berleluasa melalui laman-laman sesawang atau blog serta laman-laman sosial seperti facebook dan twitter. Fitnah yang dicetuskan tersebar dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang sekatan yang akhirnya mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan dalam masyarakat.

Mengapa “Fitnah Siber” berlaku dan apakah puncanya? Ia berlaku kerana maklumat dari internet dan sistem telekomunikasi seperti khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dijadikan sebagai sumber informasi utama masyarakat kita pada hari ini. Seterusnya, sikap mudah menerima berita dan menyebarkannya tanpa usul periksa samaada maklumat yang diterima benar atau sebaliknya. Inilah sikap yang amat ditegah oleh Islam.

Setiap Muslim seharusnya menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang informasi yang diterima mestilah terlebih dahulu dipastikan kesahihannya terutama yang disampaikan oleh mereka yang tidak mempedulikan perintah Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Fitnah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Pembuat dan penyebar fitnah adalah sekeji-keji manusia. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat al-Bukhari Rahimahullah daripada Huzaifah RA, yang bermaksud:

“Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.”

Selain itu, “Fitnah Siber” turut membawa banyak keburukan dalam kehidupan bermasyarakat. Di antara kesan negatif “Fitnah Siber” terhadap individu, masyarakat dan negara ialah:

Pertama: Dosa fitnah disifatkan sebagai dosa manusia sesama manusia. Allah SWT tidak akan mengampun dosa pembuat dan penyebar fitnah kecuali orang yang difitnah telah memberikan kemaafan.

Kedua: Penyebaran fitnah akan mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu, tokoh atau perkumpulan tertentu.

Ketiga: Fitnah merosakan persaudaraan, meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat. Bermula dengan fitnah, hubungan adik-beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akhirnya hancur dan bakal membawa kepada permusuhan yang berkekalan.

Keempat: Penyebaran fitnah boleh menimbulkan huru-hara dan mengganggu kestabilan serta keamanan Negara.

Gejala yang merosakkan individu, masyarakat dan negara ini boleh di atasi jika adab-adab Islam dipraktikkan ketika berinteraksi dengan siber dan teknologi maklumat. Di antara adab-adab Islam yang perlu diamalkan ialah:

Pertama: Menulis atau memperkatakan sesuatu perkara yang terbukti kesahihannya. Apa-apa isu yang hanya khabar angin tanpa bukti yang jelas perlu dielakkan. Bayangkan jika kesan negatif dari khabar angin itu terpalit ke muka kita sendiri atau ahli keluarga, apakah perasaan kita? Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, maksudnya:

“Tanda orang munafik itu ada tiga iaitu jikalau berkata dia dusta, jikalau berjanji dia menyalahinya, dan jika diberi amanah dia mengkhianatinya.”

Kedua: : Sentiasa merujuk segala perkara kepada ahlinya terutamanya permasalahan yang tidak dapat dipastikan fakta kebenarannya. Sekiranya sikap ini diamalkan, segala fahaman dan pengamalan yang menyesatkan dapat dielakkan.

Ketiga : Mengamalkan sikap hormat-menghormati, adil, bertanggungjawab dan amanah walaupun berhadapan dengan musuh sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 8, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Keempat: Bersikap merendah diri, bertolak-ansur dan saling memaafkan terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya. Inilah sikap Rasulullah SAW yang harus kita teladani bersama. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat 199, bermaksud:

“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

Kesimpulannya:

Pertama: Fitnah bukan sahaja banyak membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat bahkan ianya merupakan dosa besar. Pembuat dan penyebar fitnah disifatkan Islam sebagai sekeji-keji manusia.

Kedua: Setiap informasi yang sampai kepada kita wajib diperhalusi dan diselidiki kesahihannya.

Ketiga: Amalkanlah adab-adab Islam ketika berinteraksi dengan siber dan teknologi maklumat.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 58, bermaksud:

“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.”

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 21, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: