FITNAH HANCURKAN ORGANISASI


01-1A. Fitnah Hancurkan Organisasi

Setiap manusia normal sangat mengharapkan orang lain akan bersikap jujur, ikhlas, santun, saling percaya, mesra dan dermawan. Manusia yang normal turut bencikan sifat-sifat buruk seperti bohong, khianat, kedekut, dendam, pemarah dan jika sifat-sifat itu berkembang dalam sesebuah organisasi, lambat laun organisasi itu akan runtuh.

Organisasi dibina berdasarkan keperluan dan ia bukan sahaja perlu dikembangkan dengan baik agar sesuai dengan kehendak semasa. Organisasi yang tidak dapat memenuhi perubahan persekitaran dan hanya bertekad mencapai matlamatnya berdasarkan kaedah lama, juga akan mengalami kemunduran dan seterusnya mungkin ditutup.

Dr Jeff Iorg
Penulis buku kepimpinan spiritual dan pemimpin sebuah gereja di Amerika Syarikat.

Seorang penulis buku kepimpinan spiritual dan juga sebagai pemimpin sebuah gereja di Amerika Syarikat, Dr Jeff lorg menulis situasi keinginan besarnya dalam buku The Character of Leadership: Nine Qualities that Defines Great Leaders (2007) begitu nostalgia: Ketika berumur dua puluhan, saya berhasrat mengubah dunia. Semasa berumur tiga puluhan, saya cuba menyusun semula gereja. Ketika berusia awal empat puluhan, saya sedar saya telah mencetuskan masalah. Itu adalah hari yang sukar.

Selanjutnya, Dr Jeff Iorg menulis: Like most young leaders, my early ministry was marked by a passion to change something. My decision to change the world obviously didn’t work. Then I decided the church was the problem. So I started the new one/ While it grew into strong healthy church, something was not right. No matter how hard I tried to restructure the people and circumstances around me, I still was deeply frustrated.”

Tun Dr. Mahathir Mohammad
Mantan Perdana Menteri Malaysia

Hal yang sama juga pernah diakui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir walaupun banyak pembaharuan dilaksanakan sepanjang dua puluh tahun memegang kuasa. Sebelum beliau bertegas dengan keputusannya bersara, Dr Mahathir seolah-olah kecewa, dalam banyak pembaharuan yang dilaksanakannya, hanya satu sahaja yang boleh dikatakan gagal ialah mengubah minda rakyat Malaysia, iaitu menjauhi prasangka buruk dan menghapuskan iri hati kepada orang lain.

Prasangka buruk dan iri hati menyebabkan seseorang mempraktikkan perangai buruk ke atas orang, termasuk melakukan fitnah tanpa memikirkan fitnah itu adalah dosa terbesar dalam pandangan agama. Fitnah dalam mana-mana agama tetap dianggap lebih kejam daripada pembunuhan.

Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), fitnah bermaksud: tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan lain-lain (hal.412). Makna perkataan fitnah, sekurang-kurangnya mempunyai dua perkara, iaitu tuduhan dan untuk memburukkan. Tuduhan, berasal dari perkata tuduh, yang bermaksud: (1) menunjuk dan mengatakan seseorang melakukan kejahatan (kecurangan dan lain-lain); (2) mengataka seseorang itu melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang; mendakwa. Tuduhan pula ialah “hasil menuduh, hal yang dituduhkan, dakwaan.” (hal. 1721).

Ini bermakna tujuan seuatu fitnah itu dibuat ialah untuk memburuk-burukkan (membencanakan) seseorang. Andaikan ia berlaku dalam sebuah organisasi, maka organisasi berkenaan bukan sahaja berhadapan dengan krisis keyakinan bahkan menjuruskan kepada konflik yang besar apabila orang yang tertentu dalam organisasi itu turut menyebarkan fitnah keluar.

Sebabnya adalah mudah, orang yang menyebarkan fitnah itu sebenarnya mempunyai keinginan yang tersangat besar kerana melihat dirinya lebih layak dan berusaha membina populariti. Populariti biasanya dilakukan dengan membodek ataupun melobi. Awalnya, tidak berjaya dan kegagalan itu seterusnya dijadikan dendam.

Dendam itu dijadikan motivasi secara halus bagi menjatuhkan orang lain yang berada di tempat yang diinginkan. Si pembodek bukanlah seorang yang tumpul akal, ia memulakan strategi yang lain dengan mempengaruhi rakan-rakannya yang berada di dalam atau di luar organisasi.

Bila tembelang itu terbongkar, seseorang pemimpin akan membuat keputusan yang berkemungkinan berlakulah pemecatannya. Sekali lagi ia menyimpan dendam yang lebih besar, kerana sudah dipecat maka tidak ada sebab orang yang memecatnya perlu kekal dalam organisasi terbabit. Maka digunakan segala rangkaian dan sahabat-sahabat untuk meraih simpati dengan kaedah yang lebih buruk dan tidak beretika berpandukan peribahasa: menang jadi arang, kalah jadi abu; biar sama-sama tahu siapakah sebenarnya yang lebih hebat.

Fitnah bukan sahaja memberikan kesan buruk kepada individu atas kepalsuan fakta yang disebarkan, bahkan akan menyebabkan organisasi tidak lagi mendapat kepercayaan dan bakal menghancurkan peluang orang lain yang jujur dan bekerja dengan dedikasi. Bagi orang yang difitnah, ia akan mendapat aib yang besar dan akhirnya berlakunya permusuhan. Reputasinya bukan sahaja terjejas, moralnya terhakis pesonanya.

Disebabkan kesan buruk itulah Allah SWT menegaskan sebanyak 34 kali dalam al-Qur’an. Walaupun perkataan fitnah membawa erti yang berbeza-beza, Allah SWT memberikan ingatan kepada manusia bahawa berpunca daripada fitnahlah akan menyebabkan umat Islam berpecah belah, lunturnya keimanan seseorang dan boleh menyebabkan malapetaka yang lebih besar.

Mereka yang menaburkan fitnah merupakan orang yang zalim, sebagaimana dijelaskan menerusi surah al-Anfal ayat 25: Dan peliharalah daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu.Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”

Allah SWT turut memerintah agar fitnah itu bukan sahaja wajib dihindar, bahkan diperang berdasarkan kemudaratannya kepada agama: Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi.”(surah al-Baqarah:193).

Dalam hal ini Allah juga berfirman yang bermaksud: “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” (surah an-Nur : 15)

Dalam ayat yang lain Allah juga berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian”) Surah an-nur : 19

Syed Abdul Hassan Ali Nadwi
Ulama terkenal dari India

Fitnah yang berleluasa akan menyebabkan manusia akhirnya diselubungi kesesatan dan sanggup pula menjual agama bagi meraih kesenangan kebendaan. Syed Abul Hassan Ali Nadwi (1914-1999), seorang ulama terkenal dari India ketika mengulas dan menterjemahkan surah al-Kahfi berpendirian: ciri terpenting yang membentuk peradaban kebendaan hari ini adalah penipuan dan penafian yang angkuh yang menampakkan dominasinya dalam semua aspek kehidupan. Tidak ada satu sudut kehidupan hari ini yang bebas daripada pengaruh yang merosakkan.”(Baca, Faith versus Materialism: The Message of Surat al-Kahfi (IBT, K.Lumpur: 2005).

Surah al-Kahfi merupakan sebuah surah yang amat digalakkan oleh Rasullullah SAW untuk dibaca dan difahami sedalam-dalam maksudnya. Menurut ulama dari India itu lagi, ia “sebagai pelindung daripada fitnah Dajjal.”

Dalam pengertian seterusnya, Syed Hassan Ali Nadwi yang menjadi terkenal dengan buku tulisan mengenai sebab-sebab kemunduran umat Islam (Maza Khasiral Alam be Inhitat al-Muslim, yang telah diterjemahkan ke bahasa Melayu, Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam), al-Dajjal atau antichrist (bagi penganut Kristian) adalah perkataan Arab yang “menyediakan petunjuk kepada kefahaman tentang sifat-sifat, ciri dan watak sebuah konsep yang wajahnya mewakili kejahatan, kerosakan, kemurtadan dan permusuhan terhadap Tuhan.”

Sesuatu yang boleh dipanggil al-Dajjal ialah apabila “wajah luarannya jarang sekali mempunyai apa-apa kaitan dengan apa-apa jua isi yang terkandung di dalam; sama ada permulaan atau penghujungnya, objektif yang menjadi tujuan, kaedah yang digunakan bagi menghasilkannya atau ideal dan konsep indah yang diketengahkan; dan perilaku pendokongnya adalah berlawanan sama sekali dengan apa-apa yang dinyatakan.”

Mereka yang meminjam atau berlagak seperti al-Dajjal sentiasa berusaha membenarkan pendirian dan menolak semua pertimbangan nilai orang lain walaupun skala nilai tersebut adalah sesuatu yang boleh mempertahankan perpaduan dalam sesebuah organisasi. Disebabkan oleh dendam kesumat dan hati yang kecewa, tuduhan demi tuduhan dibuat sehingga imej yang disebarkan itu seolah-olah hampir benar.

Dalam mengatasi masalah sedemikianlah Syed Abul Hasan Nadwi memperpanjangkan tradisi dan amalan yang dilakukan oleh Rasullullah SAW dengan mengupas dengan baiknya kisah mengenai tujuh pemuda yang berselindung di sebuah gua. Kisah yang sama dikatakan bermual ketika tujuh pemuda itu terpaksa melarikan diri daripada hukuman pihak berkuasa kerana menjadi pengikut Nabi Isa a.s. Kemudian, kisah itu diulangi semula dalam al-Qur’an dan dinamakan surah al-Kahfi.

Surah al-Kahfi menjadi kisah pertentangan dua ideologi atau konsep yang tidak pernah berkesuduhan. Konsep pertama ialah mengenai ideologi kebendaan, yang berasaskan kehidupan materialistic dan lahiriah manakala ideologi kedua ialah kewujudan reality yang berada di luar tanggapan manusia, yakni rahmat Allah SWT. Dalam pertentangan itulah manusia lebih terpesona dengan ideologi kebendaan atau lahiriah sehingga sanggup menyebarkan pelbagai fitnah dan membodek. Orang yang menyebarkan fitnah itu tidak pernah bersyukur dengan apa yang diterima sebagai pemberian rezeki, bahkan disebabkan dendam kesumat, dia sanggup pula “memasukkan pasir dalam periuk nasinya sendiri.”

Tentunya ketika emosi pilihan raya semakin dekat, maka semakin banyaklah fitnah disebarkan bagi memusnahkan seseorang termasuk pemimpin. Fitnah lebih kerap berlaku apabila orang yang terlalu mengharapkan dirinya dipilih tiba-tiba tidak terpilih dan ketika proses pemilihan calon sedang giat dilakukan, lobi dan pembodek memainkan peranan kononnya calon tertentu sahajalah yang paling layak, popular dan boleh menang.

Jika pembodek disifatkan sebagai parasit dalam sesebuah organisasi, maka pemfitnah akan mempercepatkan proses kemusnahannya. Hakikat kemusnahan dan memecahbelahkan perpaduan merupakan matlamat al-Dajjal, kerana al-Dajjal bukan hanya hadir sebagai bangsa, ia hadir juga dalam diri manusia.

Fitnah dan bodek adalah dua kecenderungan terbesar al-Dajjal kerana dua tindakan itulah yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara beretika, berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara. Hakikat berpolitik menjadi semakin kritikal dan kaedah mendapat kuasa semakin tidak terarah, kerana apa sahaja situasi mungkin boleh berlaku. Setiap orang semacam terasuk dan terhasut. Dalam keghairahan itulah macam-macam ada: fitnah, bodek, surat layang, video palsu, karikatur dan kata-kata kesat sehingga mengakibatkan maki hamun, pergaduhan dan pertumpahan darah.

Bunga-bunga fitnah dan bibit pergaduhan sudah mula dirasai kerana mereka yang terlalu kemaruk kuasa sanggup lakukan apa sahaja sehingga lupa peringatan agama. Mereka lupa, dalam keghairahan berpolitik, kita hendaklah sentiasa waspada. Dalam kepanasan suhunya, ia boleh membakar apa sahaja termasuk diri sendiri. Dalam keadaan terdesak, agama diketepikan manakala kuasa menjadi taruhannya. Itulah bayangan etika politik yang tidak lagi menjadikan nilai-nilai buruk sebagai sempadan, fitnah bersemarak dan bodek bermaharajalela.

Rasullullah SAW bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya tidak ada fitnah yang lebih besar di muka bumi ini sejak dari penciptaan Adam yang melebihi dari fitnah Dajjal. Dan, bahawasanya tidak ada stu Nabi pun yang diutus oleh Allah yang tidak mengingatkan umatnya tentang fitnah Dajjal, sedangkan aku Nabi yang paling akhir dan kamu adalah umat yang akhir. Ingatlah tidak dapat diragukan lagi Dajjal itu pasti datang di kalangan kamu…” (riwayat Ibn Majah dan Ibn Khuzaimah dari Abu Umamah).

Mengingati dan memahami makna dalam surah al-Kahfi boleh memberikan kita perlindungan untuk menghindari dari segala perbuatan yang gemari oleh al-Dajjal. Dengan membacanya di setiap hari Jumaat, ia akan menghindari kita daripada fitnah dan tentunya menjauhkan diri dari menjadi pembodek.

Sabda Rasullullah SAW: Barangsiapa yang menghafat sepuluh ayat dari awal surah al-Kahfi, maka dia akan dipelihara daripada fitnah Dajjal.” (Riwayat Abu Darda’). Sebagai orang Islam, yang percayakan bahawa apa yang dilakukan ketika hidup sebagai pelaburan saham akhirat, maka wajib kita menjauhi menyebarkan fitnah dan tidak juga menjadi pembodek. Pembodek adalah sifat orang munafik dan pemfitnah adalah “pembunuh” kehidupan budiman.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 25, 2013.

Satu Respons to “FITNAH HANCURKAN ORGANISASI”

  1. Reblogged this on .

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: