MENUJU WILAYAH GEMILANG


01-1-a-hari-wilayah-persekutuanAlhamdulillah, marilah kita Warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT, kerana dengan limpah kurniaNya, kita sama-sama dapat menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini. Kesyukuran yang tidak terhingga juga kerana Wilayah Persekutuan berjaya menjadi sebuah pusat pentadbiran dan pembangunan ekonomi yang unggul, sesuai dengan objektif penubuhannya 39 tahun yang lalu.

Diimbas kembali, pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Labuan pula dimasukkan ke dalam Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Februari 2001. Ketiga-tiga wilayah ini diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab menyelaras dan merancang pembangunan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Kuala Lumpur merupakan ibu negara, Labuan pula merupakan Pusat Perniagaan Dan Kewangan Antarabangsa, manakala Putrajaya telah dijadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan.

Pada hari yang penuh bersejarah ini, marilah bersama-sama kita bersatu hati dan berusaha dalam membangunkan wilayah bertuah ini, agar menjadi wilayah yang gemilang dan diberkati oleh Allah SWT. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Saba’ ayat 15, bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; Negeri yang baik dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Sayyid Qutb Rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini di dalam ‘Fi Zilalil Quran’ menyatakan; negeri Saba’ adalah sebuah negeri di Selatan Yaman, merupakan sebuah negeri yang subur, mewah dan makmur, kebun-kebun tumbuh subur di kiri dan kanan penempatan mereka. Ia juga merupakan bukti yang mengingatkan bahawa Allah Maha Memberi Kurnia dan Maha Pemurah. Kaum Saba’ kemudiannya telah disuruh mensyukuri rezeki-rezeki yang dikurniakan Allah itu. Justeru, negeri mereka adalah sebuah negeri yang mendapat ni’mat kema’muran di bumi dan mendapat keampunan di langit. Inilah balasan bagi umat yang sentiasa bersyukur.

Percayalah, sekiranya kita memerlukan model untuk membina sebuah wilayah gemilang, maka model terbaik yang boleh kita contohi ialah negara Islam Madinah yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri. Antara ciri-cirinya ialah:

Pertama : Agama menjadi teras pembangunan negara.

Setibanya Rasulullah SAW di Madinah, langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah membina sebuah masjid. Ianya bukan hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan solat, tetapi turut berperanan sebagai tempat perlindungan golongan dhaif, menuntut ilmu, menyambut utusan luar negara dan tempat pertemuan pemimpin dengan kaum Muslimin. Hal ini menunjukkan bahawa agama menjadi teras dalam segala urusan pembinaan negara.

Hitunglah, berapa banyak masjid yang telah dibina oleh pemerintah negara semenjak kemerdekaan? Inilah bukti bahawa agama Islam telah menjadi teras dalam pembangunan negara dan sentiasa diberi keutamaan.

Kedua : Perpaduan dalam masyarakat

Rasulullah SAW telah memperkenalkan budaya persaudaraan sesama muslimin di mana setiap Muhajirin mempunyai saudara angkat di kalangan Ansar di Madinah. Melalui budaya persaudaraan ini, terjalinlah hubungan kasih sayang dan persaudaraan yang sangat erat di antara mereka. Malah semangat perpaduan, saling bekerjasama, tolong menolong di antara satu sama lain atas dasar ukhuwah Islamiyah berjaya dipupuk. Semangat perpaduan ini perlu kita contohi. Dengan perpaduan yang dibina, proses membangunkan Wilayah Persekutuan yang gemilang dapat dicapai. Renungkanlah sabda Rasulullah SAW ini sebagaimana yang diriwasyatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, bermaksud :

“Janganlah kamu dengki-mendengki, dan jangan kamu tipu-menipu, dan jangan benci-membenci, dan jangan musuh-memusuhi, dan jangan kamu menjual barang yang telah dijual kepada orang lain, dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah bersaudara sesama Muslim, tidak boleh menganiayanya, tidak boleh membiarkannya tertindas, tidak boleh mendustakannya dan tidak boleh menghinanya. Taqwa itu berpunca dari sini – sambil Nabi SAW menunjukkan ke dadanya tiga kali. Sudah memadailah kejahatan seorang itu jika ia menghina saudaranya yang Islam. Seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain diharamkan darahnya, harta bendanya dan kehormatannya.”

Bayangkan, apakah nasib yang akan menimpa umat islam jika kita tidak berusaha untuk mencari titik pertemuan dan saling bermusuhan? Pasti umat islam akan menjadi lemah dan mudah ditindas. Yakin dan percayalah, hanya dengan bersatu hati, pasti umat islam akan menjadi kuat, dihormati, cemerlang dan berjaya.

Ketiga : Kedaulatan perlembagaan

Setelah Rasulullah SAW mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, baginda SAW seterusnya merangka sebuah perlembagaan. Perlembagaan ini dinamakan sebagai Sahifah Madinah yang juga merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Perlembagaan ini mengandungi 47 perkara yang melibatkan seluruh penduduk Madinah. Ia telah membicarakan hubungan sesama umat Islam dan hubungan di antara umat Islam dengan Yahudi.

Keempat : Penguasaan ekonomi

Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, sistem ekonomi Madinah dikuasai oleh bangsa Yahudi. Mereka mengamalkan sistem ekonomi riba yang menindas bangsa Arab. Bagi membebaskan mereka dari sistem ini, Rasulullah SAW telah membina sebuah pasar baru yang dinamakan Pasar Ansar. Dengan kewujudan pasar baru ini, umat Islam di Madinah tidak lagi perlu bergantung kepada bangsa Yahudi dari segi ekonomi. Secara tidak langsung, ia melatih sifat berdikari umat Islam dan menggalakkan umat Islam membangunkan ekonomi mereka sendiri di Madinah.

Rasailah limpahan ekonomi dan rezeki yang kita nikmati saat ini dibandingkan dengan zaman dahulu, inilah hasil kejayaan pihak pemerintah yang membangunkan ekonomi bercirikan Islam dan mengutamakan masyarakat.

Persoalannya, apakah yang menjadi tunjang pembinaan sebuah wilayah yang gemilang? Sebenarnya, untuk membina sebuah wilayah yang gemilang memerlukan insan-insan yang gemilang. Insan-insan yang gemilang ialah mereka yang memiliki keperibadian yang tinggi, keyakinan diri yang tinggi, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai ciri-ciri insan cemerlang.

Marilah kita sama-sama mengambil langkah berikut agar hasrat kita menjadikan Wilayah Persekutuan yang kita cintai ini, sebagai sebuah wilayah yang gemilang dan dirahmati Allah SWT menjadi kenyataan:

Pertama : Meningkatkan penghayatan Islam dalam kehidupan.

Yakinlah, menghayati Islam bermaksud mengamalkan syariat Islam dalam kehidupan. Pengamalan Islam perlu diterapkan dalam segenap aspek dan lapangan. Ia merangkumi cara kita menguruskan diri, berkeluarga, bekerja dan bermasyarakat, semuanya mesti mengikut tatacara yang digariskan oleh Syariat. Renungkan bersama pesanan Allah SWT menerusi firmanNya di dalam surah al-Baqarah ayat 256, bermaksud :

“Tidak ada paksaan dalam agama, kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (islam) dari kesesatan (kekufuran). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Kedua : Penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang.

Sebagai umat Islam kita seharusnya menguasai semua ilmu asas syariat yang merangkumi ibadah, muamalat dan seluruh aspek kehidupan. Penguasaan ilmu ini tidak terhad kepada ilmu-ilmu yang bersifat fardu ain, tetapi turut merangkumi ilmu-ilmu fardu kifayah seperti kejuruteraan, perubatan, kemasyarakatan dan selainnya. Oleh itu, masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan mestilah berusaha mencari ilmu dengan menghidupkan budaya membaca dan menghadiri kuliah-kuliah pengajian ilmu.

Ketiga : Kerjasama dan bersatu padu dalam mencapai matlamat.

Pembinaan sesebuah wilayah berciri Islam bukanlah satu kerja yang mudah. Ia memerlukan penyertaan seluruh masyarakat dalam menjayakan matlamat pembinaan wilayah yang gemilang. Ia bukanlah tugas seseorang individu atau sekumpulan manusia. Ia juga bukan semata-mata tugas pihak pemerintah, tetapi ia merupakan tanggungjawab seluruh anggota masyarakat. Dengan bersatu padu, nescaya cabaran pembinaan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah wilayah yang gemilang akan lebih mudah dicapai.

Janganlah kita impikan untuk memiliki wilayah yang gemilang dan menikmati kebahagiaan di dalamnya jika ada antara kita yang masih lagi menolak perpaduan dan sanggup memutuskan silaturrahim hanya kerana agenda peribadi. Ingatlah, Wilayah Persekutuan perlu terus dimajukan demi kebaikan penduduknya dan sebab itulah semua rakyat mesti terus mendokong kepimpinan negara.

Kesimpulannya:

01-1-b- Menuju Wilayah Gemilang

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 16 yang bermaksud:

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang-orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka layaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 1, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: