KALIMAH ALLAH: JANGAN SALAHKAN UMAT ISLAM


01-1-a1- KALIMAH ALLAH - JANGAN SALAHKAN UMAT ISLAM -InsideTuntutan agar kerajaan membenarkan penggantian istilah God dalam bahasa Inggeris kepada Allah dalam Bible terjemahan bahasa Malaysia oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sehari selepas hari Krismas menyebabkan masyarakat Islam kembali bangkit mempersoalkan kewajarannya.

Bantahan Tuntutan agar kerajaan membenarkan penggantian istilah God dalam bahasa Inggeris kkali ini walaupun belum menyebabkan reaksi ganas, hanya muncul dengan tindakan mengadakan demontsrasi, gesaan dan menghantar memorandum agar Lim Guan Eng menarik balik tuntutan itu nampaknya belum disambut dengan penuh tanggungjawab ataupun rasa kesal.

Lim Guan Eng terus mempertahankan gesaannya dengan penuh kesedaran kerana beliau sebenarnya memperoleh kekuatan moral daripada pengalaman sejarah bagaimana sekutunya dalam PAS berbelah bahagi mengenai perkara tersebut. Dua pemimpin utama yang “mengawal PAS” belum memberikan apa-apa komen tegas walaupun salah seorang daripadanya pernah menyatakan “adalah tidak salah penganut agama lain selain Islam menggunakan kalimah Allah kerana ia telah lama dipraktikkan oleh mereka sebelum lahirnya agama Islam.”

Kontroversi penggunaan beberapa istilah khusus yang terdapat dalam kamus akidah Islam seperti “beriman, sholat, Allah, taqwa dan sebagainya” untuk dimasukkan sama dalam konsep dan ajaran Kristian di Malaysia sebenarnya sudah bermula sejak pertengahan tahun 1980-an lagi. Misalnya, pada Disember 1986, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang penggunaan istilah “Allah, Kaabah, Baitullah, Sholat” dalam sebarang bahan penerbitan yang dikeluarkan oleh pertubuhan-pertubuhan agama bukan Islam.

Ketika itu masyarakat dihebohkan dengan kemasukan terjemahan Bible berbahasa Indonesia yang ditahan kemasukannya oleh KDN kerana menggunakan kalimah “Allah” bagi menggantikan perkataan God. Terjemahan perkataan tersebut telah lama digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan Kristian di Indonesia bagi mengelirukan umat Islam sehingga melahirkan pelbagai pendapat dan pendirian untuk menyamakan bahawa semua agama yang berdasarkan wahyu adalah dari sumber yang satu, iaitu Tuhan yang sama.

Bagi seorang pengamal agama Kristian Indonesia, Reverand Yakub Sulistyo dalam bukunya Allah Dalam Kekristianan: Apakah Salah? yang boleh diakses menerusi http://yakubsulistyo.mutilpy.com/ menulis: Kamus Theologia Kristian sangat jelas menulis bahawa: Allah itu berasal daripada bahasa Arab yang ertinya Keberadaan Tertinggi dalam agama Islam. Jadi, jika anda seorang Kristian atau Katholik (Nasrani) yang baik, anda seharusnya menghormati iman orang lain (umat Islam) dengan tidak mencampuradukkan dengan iman Nasrani sehingga menjadi Sinkretisme.

“Sebagai umat Nasrani, carilah keselamatan sesuai dengan kitab sucinya sendiri dengan tidak takut menghadapi institusi duniawi seperti Sinode. Pimpinan Gereja yang tidak memahami Firman tuhan, Gereja dan lain-lain. Jangan takut dipecat demi kebenaran hakiki. Tuhan Yahweh di dalam Nama Yeshua Ha Mashiakh memberkati anda…Kelompok BYH (Beth Yeshua Hamashiah, kelompok ini menolak penggunaan nama Allah sebagai kata gantinama Tuhan Kristian) mengungkapkan nama Tuhan yang sebenarnya adalah YAHWEH bukan ALLAH. Penggunaan nama ALLAH bagi golongan atau kelompok ini menganggapnya sebagai oposisi YAHWEH adalah satu kesalahan sejarah yang mesti diperbaiki.”

Beberapa sarjana Kristian turut tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan Allah bagi menggantikan istilah God ataupun YAHWEH kerana ia telah mencelarukan penganut Kristian dan pertelagahan dalam kalangan paderi. Presiden Liga Katolik bagi Hak Agama dan Sivil telah membantah cadangan Biskop Tiny Muskens untuk menggunakan istilah ALLAH. Cadangan Muskens turut ditolak oleh Gerrit de Fijter, Pengerusi General Synod of the Dutch Protestan Church.

Seorang lagi intelektual beragama Kristian yang melihat sumbangan besar peradaban Islam kepada dunia sejagat, Mashall GS Hodgson penulis buku The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization dalam tiga jilid (telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dalam tiga jilid dengan tajuk:Kebangkitan Islam:Gambaran dan Sejarah Dalam Tamadun Dunia, DBP, 2004): “…Baginda (Nabi Muhammad s.a.w) mendengar suatu suara dan melihat jelmaan yang menyuruh Baginda menyembah Tuhan yang telah menciptakan dunia ini, Tuhan bagi mereka yang percayakan monoteisme, kepada Allah yang dihormati oleh orang Arab biasa tetapi tidak termasuk dalam sebarang agama..(175) dan dengan tegasnya menolak penggunaan nama ALLAH oleh penganut Kristian.

Konsep God dalam kepercayaan penganut Kristian menurut Dr Ir Muhammad al-Husaini Ismail, Kebenaran Mutlak: Tuhan, Agama dan Manusia (terjemahan dari bahasa Arab, al-Haqiqah al-Muthlaqah: Allah wa ad-Din, 1997) dan mendapat persetujuan Majmai al-Buhuts al-Islamiyyah (Lembaga Kajian Islam Kebangsaan, Mesir: “Dalam kitab suci Kristian, Tuhan hanya mempunyai kemampuan terbatas. Dengan kata lain,Tuhan mempunyai kemampuan yang sama dengan kemampuan manusia yang paling lemah. Tuhan layak untuk mati dengan cara yang hina untuk tujuan hina pula, iaitu mati di tangan manusia.

“Kemudian Tuhan membiarkan iblis untuk menipu manusia agar manusia berpegang kepada Tuhan. Tuhan juga ditelanjangi hingga ketika tidak ada sehelai benang pun di tubuhnya. Tuhan dipukul di kepalanya dan disiksa serta disalib sampai mati bawah slogan bahawa Tuhan berbuat begini kerana mencintai manusia. Mathius 26:67-68; 15:15 dan 27:27-31. Tragedi berakhir setelah Tuhan menjadi domba sembelihan yang mempunyai tujuh mata dan tujuh tanduk (Wahyu 5:6). Hal ini dilakukan agar manusia jatuh ke dalam jurang pemikiran yang paling rendah sehingga mereka dapat digembalakan domba tersebut (iaitu Tuhan yang sudah berubah menjadi domba).” (hal.44).

Gambaran atau percubaan mempersonifikasikan Tuhan adalah satu bentuk pemikiran paganism dan manusia sentiasa “menghiasi pemikiran paganisme ini dengan pelbagai macam gelombang pemikiran yang diciptakannya sendiri…Ada pun gambaran tentang para nabi, dalam Bibel dinyatakan bahawa para nabi adalah seorang penzina, pembunuh dan penipu (Kejadian 38:6-30)…manusia penyembah berhala (I Raja-Raja 11:1-10)

“…Apabila penganut agama ini memperhatikan isi kitab sucinya, maka mereka akan mengetahui kalau sebenarnya kitab yang mereka terbawa-bawa ke gereja selama ini bukanlah kitab suci. Sebab perbuatan berzina, menipu, menyembah berhala dan membunuh bukanlah perbuatan yang pantas dilakukan oleh para nabi. Ini semua merupakan bukti yang sangat jelas atas terjadinya pemalsuan dan penggubahan terhadap kitab suci mereka.” (hal.45-46).

Maknanya kesucian peribadi para nabi dan sifat Tuhan itu sendiri mempunyai begitu banyak perbezaan dengan sifat-sifat Allah yang diyakini oleh orang Islam. Bagi masyarakat Islam, Allah bukanlah bersifat manusia dan mempunyai kuasa yang terhad, bahkan sebagai Pencipta yang juga Penyelaras kepada seluruh kehidupan, ALLAH Maha Berkuasa dan Maha Benar. Dalam pemahaman penganut Kristian, Tuhan terbahagi kepada tiga sifat (ognum) iaitu: Tuhan Bapa (di syurga), Anak Tuhan (Nabi Isa a.s. yang kemudiannya dikenali sebagai Jesus), dan Rahul Kudus.

Mengenai penggunaan istilah Allah bagi menggantikan perkataan Tuhan yang diterjemahkan ke bahasa Malaysia daripada God, Dr Mohd Roslan Mohd Nor, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) ia adalah tidak sesuai dalam konteks Malaysia demi menjaga kemaslahatan ummah. PUM mengambil pendirian bahawa “perkataan ALLAH tidak wajar digunakan bagi agama lain selain daripada Islam.”

Ketika ilmuan Islam bermuzakarah pada 21 Januari 2009, ketujuh-tujuh sarjana itu membuat kesimpulan bahawa penggunaan nama ALLAH sebagai kata ganti nama God di dalam Bible adalah tidak tepat. Antara yang terbabit dalam resolusi itu ialah Prof Madya Dr Kamar Oniah (UIA); Datuk Dr Abdullah Md Zain (Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri); Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS); Dr Mohd Nur Manuty (PKR); Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas mufti Perlis); Dr Mohd Sani Badron (IKIM); dan Md Asham Ahmad ( felo IKIM).

Berhubung dengan percubaan akhbar The Herald—Catholic Weekly yang cuba mencetuskan provokasi, Prof Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid (ISTAC-UIA), menjelaskan: “…akhbar The Herald- Catholic Weekly sengaja mencetuskan provokasi Islam-Melayu kita dengan menyentuh perkara paling sensitif. Ia diburukkan lagi dengan tindakan seorang menteri yang tidak menjaga sensitiviti ini. Kita sanggup bangkit mempertahankan hak ini kerana ALLAH sendiri mewajibkan kita berjuang sekiranya kesucian Islam dicemari. Jangan sentuh semangat jihad kami.”

Melihat kepada tuntutan terbaharu itu, Lim Guan Eng sebenarnya cuba menghidupkan semula bara kemarahan penganut Islam dengan cara provokasi keterlaluan bagi membolehkan beliau seterusnya membuat rumusan berdasarkan persepsi bahawa Islam sebagai sebuah agama yang tidak ada toleransi dan tidak boleh menerima agama-agama lain. Ini sebenarnya satu bentuk penyambungan pandangan Nurul Izaah mengenai kebebasan beragama dalam masyarakat Malaysia yang tidak seharusnya disekat termasuk kepada orang Melayu.

Pendirian ini menjadi “bom jangka”yang akan meletup jika ia tidak ditangani dengan berkesan, kerana dari aspek perundangan sudah jelas, keputusan menyekat penggunaan istilah itu adalah tepat sebagaimana diputuskan oleh Datuk Lau Bee Lan.Di bawah artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan jika kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam untuk menyebarkan agama kepada orang Islam, tetapi ia bukanlah menjadi kesalahan apabila bukan Islam menggunakan kalimah Allah untuk tujuan agama kepada bukan Islam.

Dalam keputusan itu juga, Datuk Lau Bee Lan merujuk kepada artikel 11dan 12 Perlembagaan Persekutuan, dengan memberikan keputusan bahawa Herald-The Catholic Weekly mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan “in respect of instruction and education of the congregation in the Christian religion.”

Bagaimanapun, apabila dibangkitkan semula ekoran tuntutan Lim Guan Eng, ia bakal menyebabkan DAP khususnya Setiausaha Agungnya yang berusaha meraih populariti dalam kalangan ahli DAP beragama Kristian, akhirnya terpaksa berhadapan pula dengan konflik para pemimpin PAS yang melihat istilah ALLAH itu adalah khusus untuk umat Islam. Kali ini, lebih ramai pemimpin muda PAS tampil bersuara agar Lim Guan Eng menarik balik tuntutan itu dan memohon maaf secara terbuka.

Kalaupun Lim Guan Eng bersedia memohon maaf, ia tidak akan dapat memulihkan kepercayaan masyarakat Islam seperti semasa beliau memperkenalkan corak pentadbiran ala Khalifah Abdul Aziz di Pulau Pinang. Lim Guan Eng kini benar-benar tersepit, kerana semakin ramai ahli DAP yang beragama Kristian,manakala masyarakat bukan Melayu tidak melihat meninggalkan agama asalnya sebagai satu kesalahan dan selaras dengan hak asasi serta prinsip kebebasan, sedangkan Islam tidak dapat menerima pertukaran agama dalam kalangan pemeluknya.

Perbezaan konsep dan roh keimanan itulah yang membezakan antara God dan ALLAH dalam penganut Islam. Bagi seluruh masyarakat Islam, mempersonifikasikan ALLAH dan merendahkan sifat-Nya adalah satu tindakan yang menghampiri kepada penolakan tauhid dan akidah. Sedangkan bagi penganut Kristian, God hanya muncul dalam ketika-ketika tertentu sahaja, yakni ketika perayaan Krismas dengan kehadiran Santa Claus walhal kasih sayang Tuhan tidak boleh digambarkan sebagaimana membahagi-bahagikan cokelat kepada kanak-kanak. Kasih sayang ALLAH tidak terbatas, bahkan hidup itu sendiri sudah termasuk dalam rahmat-Nya.

Penganut-penganut agama lain tidak sepatutnya menimbulkan semula provokasi sedemikian kerana ia bakal “membakar diri sendiri”. Api kemarahan tidak mudah dipadamkan dengan simbahan air, kerana api itu tetap membakar dan bila-bila masa boleh mencetuskan semula pergaduhan sebagaimana pernah berlaku pada tahun 2009 dan 2010.

Jika insiden sedemikian timbul kemudiannya, Lim Guan Eng tidak boleh menyalahkan kemarahan orang Islam kerana sudah terlalu banyak kes-kes seumpamanya telah berlaku tetapi pemimpin DAP dan bukan Islam “sendiri tidak mahu ingat.” Mereka berusaha membangkitkan sensitiviti umat Islam kerana berusaha membina semula tuduhan buruk dan memperbaharui imej negatif seolah-olah Islam bukanlah sebuah agama yang meletakkan pemikiran rasional, Islam sebuah agama yang sentiasa jumud dan tertutup.Bahkan kebangkitan semangat Islam tidak menyumbang kepada kesejahteraan manusia sejagat, kerana Islam tetap terkongkong dengan doktrin yang tegar dan tidak berubah sejak dilahirkan lebih 1,400 tahun lalu.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 2, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: