SYURGA BUKAN UNTUK ORANG TAKBUR


2. Syurga Bukan Untuk Orang Takbur

Orang yang bertakwa memiliki darjat yang sangat tinggi di sisi Allah s.w.t. Kerana itu, orang yang bertakwa memperoleh berbagai-bagai keistimewaan. Di akhirat nanti, ia dijanjikan tempat kembali yang terbaik, iaitu syurga. Ini adalah janji Allah, namun bukan suatu jaminan daripada-Nya. Bagaimanapun, perlu diingat, janji Allah itu tetap benar.

Sesungguhnya sesiapa yang merasai dirinya terjamin masuk syurga, maka awal-awal lagi ia telah terpesong dari landasan agama yang maha suci. Begitu juga sesiapa yang berputus asa daripada rahmat-Nya, ia juga terpesong daripada petunjuk agama yang lurus.

Ini ditegas oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.” (Al-Hijr: 56)

Ingatlah, kita diajar supaya menaruh harapan yang tinggi kepada-Nya agar kita semua dimasukkan ke dalam syurga-Nya, dsemata-mata disebabkan rahmat-Nya, bukan bermegah-megah dengan amal dan perbuatan kumpulan dan fahaman kita sendiri.

4. Syurga Bukan Untuk Orang Takbur

– Gambar hiasan. –

Sejak akhir-akhir ini, timbul pula dakwaan sebuah ‘parti Islam’ yang menuduh ahli-ahli parti lain yang tidak sehaluan dengannya tidak akan masuk syurga. Sedangkan hakikatnya syurga Allah s.w.t itu tidak ada sesiapa yang berani mengaku bahawa dia akan dapat memasukinya dengan selamat.

Sedangkan anggapan bahawa tidak ada kaitannya antara masuk syurga dan amal perbuatan, didasarkan pada hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Seseorang di antara kamu tidak akan masuk syurga kerana amalnya. Mereka bertanya, ”Termasuk engkau, wahai Rasulullah”? Rasulullah menjawab,”Ya, termasuk saya.” (Riwayat Tabrani)

Maksud hadis ini jelas bahawa seseorang masuk syurga disebabkan kurnia dan kemurahan Allah s.w.t semata-mata, bukan kerana perbuatannya. Meskipun seseorang itu sudah menjalankan segala perintah dan menjauhi larangan, tetapi amal perbuatannya itu tidak akan sepadan dengan syurga yang diberikan oleh Allah s.w.t kepadanya. Justeru itu, janganlah kita berasa amat yakin bahawa kita ini akan selamat dan masuk ke syurga Allah s.w.t.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya apabila Allah berkeinginan mengazab makhluk-Nya yang ada di langit dan di bumi, maka pastilah Allah melakukannnya. Dan tidaklah berlaku zalim dengan perbuatannya. Sedangkan apabila Dia memberikan rahmat-Nya, maka sebenarnya hal itu semata-mata demi kebaikan bagi mereka yang disebabkan perbuatan mereka.” (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, dan Ahmad)

Dalam Islam, tidak ada ajaran yang boleh menjamin pengikutnya masuk syurga, manakala mereka yang di luar dari kumpulannya akan masuk neraka. Sebenarnya mereka yang mengaku sedemikian adalah orang yang takbur, rugi, dan sesat.

Ingatlah firman-Nya yang bermaksud: “Tidak ada mereka yang merasai aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah kerana sebenarnya tidak adase siapa yang merasai aman daripada rancangan buruk (balasan azab)yang diatur oleh Allah s.w.t, melainkan orang-orang yang rugi”. (Al- Araaf: 99)

Apa yang perlu diambil perhatian oleh mereka ini di samping firman-Nya itu ialah sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tidak masuk syurga mereka yang ada dalam hatinya seberat zarah dari perasaan takbur (sombong ) dan bangga diri.” (Riwayat

Tirmidzi)

Mereka berasa angkuh dengan kumpulan mereka yang di anggap lebih islamik dari orang lain dan dengan rasa bangga mengiktiraf mereka sebagai ahli syurga. Malah ada di kalangan penceramahnya yang mendabik dada, sombong dan mengaku bahawa mereka adalah orang yang memperjuangkan agama Islam yang sebenar.

Dalam satu kisah sahabat, diceritakan bahawa Saidina Umar adalah antara sepuluh orang sahabat yang telah dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w akan syurga, pernah mengatakan bahawa manusia yang paling akhir dikeluarkan daripada neraka itu ialah dirinya sendiri. Lihatlah bagaimana tawaduk dan kerendahan diri Umar, salah seorang Khalifah Al-Rasydin itu. Inikan pula kita manusia biasa yang tidak pernah mendapat jaminan daripada sesiapa pun.

Hakikatnya mereka sebenarnya amat hina, jahat pada pandangan agama sendiri sepertimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan menguatkan agama ini (Islam) dengan orang yang jahat.” (Riwayat Syaikhan)

Oleh hal yang demikian itu, umat Islam seharusnya tidak terperangkap dengan ‘kumpulan jahat’ ini yang menjual dan menjaja syurga kerana perbuatan ini hanya dilakukan oleh Dajjal sahaja.

Sejarah Islam mencatat bahawa terdapat sepuluh orang sahabat Nabi s.a.w dijamin masuk syurga. Mereka terdiri daripada empat Kkhalifah al-Rasyidin, iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan diikuti Talhah bin Ubaidillah, Al-Zubair bin Al-Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Zaid, Abu Ubaidiah al-Jarrah, Abdul Rahman bin Auf. Demikian juga para sahabat yang terlibat dalam Perang Badar, juga Fatimah Az-Zahra, Hassan bin Ali, Hussin bin Ali, Tsabit bin Qais, Bilal bin Rabah dan kemudian disusul pula para sahabat yang menghadiri Bait Ar-Ridhwan yang berjumlah 1400 sahabat r.a.

Dalam perjuangan mempertahankan agama Islam, keutamaan mereka adalah berbeza dengan kaum Muslim yang lain dan ketinggian darjat mereka ditentukan oleh siapa di antara mereka yang paling dahulu memeluk Islam.

Pengetahuan Nabi s.a.w ke atas keistimewaan sahabat-sahabat yang dijamin syurga ini berasaskan kepada wahyu Ilahi, bukan sekadar meneka-neka atau tafsiran nafsu semata-mata.

Apatah lagi kita manusia biasa atau yang memperoleh ilmu laduni sekalipun tidak mampu untuk menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka kerana hak ini dalam pengetahuan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat walaupun sudah dijamin syurga, namun hakikatnya mereka sentiasa menangis siang malam memikirkan permasalahan umat. Malah dari segi ibadat ritual, mereka cukup hebat jika hendak dibandingkan dengan kita – amat jauh sekali. Malam mereka beribadah, siang mereka berperang.

Sikap takwa dan kerendahan hati mencegah mereka daripada menyatakan bahawa merekalah yang paling benar dan orang lain semua salah. Kita dituntut agar mempunyai seperti sikap mengalah dalam batin, misalnya mungkin orang itu yang benar. Dari mana kita tahu bahawa orang itu jelas beriman. Tentunya dilihat dari segi lahiriah kerana persoalan batin bukan urusan kita.

Kita tidak dapat membaca isi hati manusia kerana lahirnya ia beriman, maka kita harus terima sebagai orang beriman. Justeru, gelaran-gelaran yang stigmatik yang kurang baik terhadap orang yang kita tidak setujui, tidak wajar diluahkan.

Sumber: KETUA EDITOR, ummatanwasatan.net

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 18, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: