CELIK DI DUNIA BUTA DI AKHIRAT


Celik Didunia Buta Diakhirat - Inside

Ramai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik, tidak buta, mata boleh melihat dengan sempurna, boleh melihat ciptaan Allah SWT, boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi. Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan menjadi buta. Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan dalam keadaan sedemikian? Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan-aturan Allah, melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya digunakan untuk melihat kebatilan akibatnya hidup di dunia akan disempitkan, tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan keengkaran semasa di dunia. Firman Allah SWT di dalam Surah Taha ayat 124-125 :

Celik Didunia Buta Diakhirat 3 - Surah Taha ayat 124-125

Maksudnya:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu celik?.”

Bayangkan betapa azabnya golongan ahli neraka yang diseksa fizikalnya dengan seksaan yang dahsyat, ditambah pula dengan mata yang dibutakan, tidak melihat kawasan sekeliling. Ini adalah satu bentuk seksaan spritual yang amat dahsyat daripada Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ingkar. Firman Allah SWT di dalam Surah al Hud ayat 106-107:

Celik Didunia Buta Diakhirat 4 - Surah al Hud ayat 106-107

Maksudnya:

“Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (sepaerti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi, kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

Ingatlah, sebagai seorang Islam kita mestilah bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Bukannya mengikut hawa nafsu atau kepentingan diri dan lebih malang lagi jika sanggup tunduk dan mengikut kehendak musuh Islam. Ingatlah bahawa dalam menuju ke akhirat maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di dunia.

Renungilah pesan Saidina Ali ini: “Seharusnya manusia yang berakal tidak bersungguh-sungguh melainkan dalam tiga perkara: Berusaha untuk keperluan hidupnya, beramal untuk hari kemudian dan bersuka-suka di dalam perkara yang tidak haram.”

Adalah diingatkan bahawa perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya. Jika kita benar benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT , maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita. Seorang sahabat Nabi yang bernama Samurah bin Jundab pernah berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barangsiapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”

Satu riwayat menceritakan bahawa suatu hari tiga orang lelaki berjalan di depan masjid ketika Rasulullah SAW sedang berceramah menyampaikan wahyu Allah SWT kepada manusia. Salah seorang daripada tiga orang itu berjalan begitu sahaja, ia tidak tertarik untuk mendengar apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, sementara dua daripadanya memutuskan untuk singgah, mendatangi majlis Nabi SAW, salah seorang memilih tempat kosong di celah-celah majlis dan seorang lagi memilih untuk duduk di belakang. Apabila selesai daripada ceramah, Rasulullah SAW bersabda: “mahukah aku beritahu perihal ketiga-tiga orang ini? Salah satu daripada mereka datang kepada Allah SWT, maka Allah SWT menyambutnya. Salah seorang merasa malu-malu, maka Allah pun malu kepadanya. Adapun seorang yang berpaling daripada Allah SWT, maka Allah berpaling daripadanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatlah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian. Janganlah demi untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati, kita sanggup melakukan tindakan yang ternyata boleh mendatangkan musibah pada bangsa dan agama serta mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:

Celik Didunia Buta Diakhirat 5 - surah al-Kahfi ayat 49

Maksudnya:

“Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda. Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan ianya akan mendatangkan kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan seseorang itu menerima azab di akhirat. Hujatul Islam Imam al-Ghazali pernah berkata: menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan. Percayalah, walaupun sewarak mana seseorang itu, banyak solat, puasa, akan tetapi apabila tidak mampu menjaga lidah dan akhlaknya dari memfitnah, berbohong, hasad dengki dan dendam, pasti dia akan tergolong dalam golongan orang yang rugi.

Marilah kita berpesan pada diri kita untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibat keadaan menjadi huru hara dan kacau bilau. Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian walaupun ianya sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika kita sebagai pemimpin kerana ianya mengambarkan pendirian dan sikap kita sebagai seorang yang beriman. Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.

Akhir kata marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang celik di dunia tapi buta di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:

Celik Didunia Buta Diakhirat 6 - surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8

Bermaksud:

“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! .”

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Februari 22, 2013.

Satu Respons to “CELIK DI DUNIA BUTA DI AKHIRAT”

  1. Reblogged this on Inspirasi dotCom.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: