CERMIN PERIBADI YANG TIDAK PERNAH RETAK


Cermin Peribadi Yang Tidak Pernah Retak

Junjungan Besar yang dilahirkan pada 12 Rabiulawal Tahun Gajah adalah manusia agung dan suci (ma’sum), yang membawa makna hidup dan kehidupan sejati dalam sejarah peradaban manusia. Keagungan yang dimiliki itu terbentuk menerusi keharmonian antara nilai rububiyyah Ilahi dengan semangat pembelaan terhadap kemanusiaan dan alam.

Nabi Muhammad s.a.w adalah pemimpin yang ditaati kerana cinta. Namun itu bukan bererti baginda tidak berwibawa. Baginda berwibawa bukan kerana menggunakan cara kekerasan atau melalui kekuasaan atau kekayaan. Baginda berwibawa kerana dicintai oleh umatnya.

Dalam konteks kehidupan berpolitik, ekonomi, dan sosial, kita lihat masyarakat Islam telah kehilangan arah dan panduan. Mereka bercakaran sesama sendiri, memutuskan silaturahim, hidup diselubungi dengan rasuah dan ketamakan, mengutamakan kepentingan diri dan keluarga serta gila kuasa.

Amalan kehidupan Rasulullah s.a.w atau puji-pujian ke atas Nabi s.a.w sekadar laungan di bibir dalam majlis-majlis rasmi agama, bukan untuk dijadikan contoh teladan dan pengamalan dalam diri, keluarga, masyarakat, dan negara.

Muhammad adalah suatu sosok peribadi yang istimewa. Dalam dirinya ada segala-galanya: negarawan, sufi, aktivis sosial, dan sebagainya. Baginda tidak dapat dibandingkan dengan tokoh-tokoh besar yang pernah hadir di dalam atlas peradaban manusia.

Muhammad adalah manusia istimewa yang berjaya menunjukkan teladan sebagaimana ucapan dari bibirnya, sesuai dengan tindakannya. Ucapan yang penuh suci dan jujur kerana ia bersumber daripada Allah, sudah tentu juga melahirkan tindakan yang penuh kesucian. Jika Rasulullah s.a.w tidak memilih dalam menegur orang yang berbuat salah, semestinya pemimpin kita juga harus menegur meskpun yang bersalah itu adalah saudaranya, anaknya sendiri atau kawannya.

Keperibadian Rasulullah s.a.w telah menghuraikan segala persoalan yang berlegar dalam kehidupan manusia sejagat. Kehidupan Nabi s.a.w hakikatnya adalah contoh teladan dan suatu jalan selamat menuju Allah s.w.t. Maka penampilan, ucapan dan tindakan Nabi s.a.w menjadi fokus gerak umatnya. Hidup Nabi s.a.w adalah refleksi lengkap penghambaan yang darinya alam semesta mendapat rahmat. Ia mewakili seluruh nama Tuhan yang memperlihatkan secara langsung, ibarat “al-Quran yang berjalan”.

Allah memuji Nabi s.a.w dengan pelbagai pujian kerana keluhuran akhlaknya (al-Qalam: 4), sifat kasih sayangnya kepada umat manusia (at-Taubah: 128) dan pengorbanan diri, tidak mementingkan diri demi kebahagiaan orang lain (Taha: 2-3).

Sesiapa sahaja yang berhadapan dengan Nabi s.a.w, maka berhadapan dengan Allah s.w.t , sebaliknya sesiapa sahaja yang membelanya, Allah berada di belakangnya (at-Taubah: 61). Pada kesempatan lain, Allah bahkan mengancam kedua-dua isteri Rasulullah sendiri, Aisyah dan Hafsah, kerana mengkhianatinya dalam soal rahsia yang disampaikannya kepada mereka. Jika mereka tidak bertaubat dan masih melawan Rasulullah, maka Allah sendiri akan menghadapi mereka (at-Tahriim: 4).

Allah s.a.w akan memberikan apa saja demi menyenangkan hati Nabi s.a.w dan salah satu anugerah Allah yang paling besar kepada Nabi ialah memberi syafaat kepada umatnya yang berdosa. Bukan sahaja di akhirat, tetapi juga di dunia, iaitu dalam bentuk mengabulkan doa yang disampaikan oleh Nabi s.a.w untuk umatnya, baik ketika Nabi masih hidup mahupun sesudah wafatnya Baginda s.a.w.

Maka, masalah umat Islam hari ini tidak mungkin dapat diselesaikan jika kita tidak mempunyai pemimpin yang bersifat Al-Amin, dapat dipercayai. Nabi s.a.w merupakan manusia yang dalam kehidupannya diberi gelaran Al-Amin. Gelaran ini tidak hanya diakui oleh umatnya tetapi seluruh masyarakat Arab waktu itu. Inilah buktinya bahawa kepimpinan hari ini adalah berwibawa jika ada kejujuran dan ketegasan terhadap perkara kebenaran. Dalam konteks negara kita, usaha kerajaan untuk membasmi gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa merupakan manifestasi daripada intipati sifat Al-Amin dalam konteks kepimpinan yag diredai Allah s.w.t.

Dalam usaha mengaplikasi semangat keperibadian mulia itu, maka dasar kerajaan memerangi gejala rasuah tersebut bertepatan dengan kaedah dan ajaran yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam harus diciptakan menjadi umat yang mempunyai semangat jihad untuk melawan apa jua bentuk gejala rasuah. Pengajaran penting: untuk melahirkan semangat jihad memerangi rasuah. Dan yang terpenting, orang yang memimpin itu adalah orang yang dipercayai dan jujur.

Persoalannya, mengapa sesetengah ahli masyarakat kita ada kecenderungan untuk melakukan rasuah? Jawapannya, sudah tentu kerana tidak ada kejujuran, iaitu tidak berani untuk melihat kelemahan diri sendiri serta kekayaan yang dimiliki. Golongan ini sebenarnya takut kepada bayang-bayang sendiri walhal ketakutan itu berpunca dari dalam dirinya. Inilah penyakit yang dihinggapi oleh bangsa Melayu.

Integriti adalah satu kejujuran. Integriti tidak pernah berbohong dan integriti adalah kesesuaian antara kata-kata dan perbuatan yang menghasilkan kepercayaan. Ketika pertama kali Nabi s.a.w menerima wahyu daripada Allah s.w.t, baginda berasa bingung – “Siapakah yang akan kuajak? Dan siapakah pula yang akan mendengarnya?”

Sudah sewajarnya apabila Khadijah percaya dan yakin kepada baginda. Selama hidupnya, Baginda s.a.w adalah seorang lelaki yang jujur. Lalu Khadijah menyatakan keimanannya atas kenabian itu. Inilah hadiah sebuah kepercayaan daripada orang lain yang diperoleh kerana sikap kejujuran Nabi s.a.w yang digelar Al-Amin. Ketika itu ternyata baginda sudah mempunyai seorang pengikut.

Inilah contoh seorang pemimpin sejati, pemimpin yang memiliki prinsip. Prinsip inilah yang akan menciptakan kepercayaan dan pengaruh yang luar biasa daripada pengikutnya kelak. Pernah suatu ketika Utbah berbicara kepada Nabi s.a.w. Ia kemudian menawarkan harta, pangkat, bahkan kedudukan sebagai raja. Baginda menjawab dengan membacakan surah as-Sajdah. Utbah melihat yang berdiri di hadapannya itu bukanlah lelaki yang didorong oleh hasrat memiliki harta, inginkan kedudukan atau kekuasaan, melainkan orang yang mahu menunjukkan kebenaran, mengajak orang kepada kebaikan. Baginda mempertahankan sesuatu dengan cara yang baik dengan kata-kata yang penuh berhemah. Inilah contoh pemimpin yang dapat diyakini dan dipercayai. Baginda memegang teguh prinsip, tidak tergoda oleh rayuan harta atau kedudukan yang akan menghancurkan serta menarik kepercayaan yang telah diperolehnya daripada para pengikutnya. Bahkan Nabi s.a.w. mampu menolak tawaran tersebut dengan cara yang lembut dan berhemah.

Kita harus ingat bahawa Nabi s.a.w tidak pernah menyatakan dirinya memiliki sifat-sifat manusiawi yang terhebat. Menerima wahyu itulah yang membezakan manusia ini dengan manusia yang lain. Akan tetapi, perlu diingat bahawa Muhammad s.a.w mendapat wahyu kerana baginda adalah manusia agung dan berbudi pekerti yang luhur.

Ketika Rasululah s.a.w ditanya tentang hak terhadap jiran tetangga, Nabi s.a.w berkata: “Tolonglah dia ketika ia meminta pertolongan kepadamu. Kunjungilah dia apabila sakit, ucapkan selamat apabila ia memperolehi kebaikan, sampaikan takziah apabila mendapat kemalangan, hantarkan jenazahnya apabila mati, jangan kamu tinggikan bangunanmu sehingga menghalangi udara ke rumahnya kecuali dengan izinnya, dan janganlah kamu sakiti jiranmu dengan bau masakanmu kecuali engkau berikan sebahagian daripadanya. Janganlah anakmu keluar menbawa makanan yang membuat anaknya kecewa.”

Seorang sarjana Jerman, Annemarie Schimmel dalam bukunya And Muhammad is His Messenger (Dan Muhammad adalah Utusan Allah) menyatakan, dalam keadaan darurat, seseorang Muslim mungkin menyangkal keyakinannya kepada Allah, tetapi sekali-kali ia tidak akan bersedia mengutarakan kata-kata yang tidak baik apalagi penghinaan terhadap Nabinya. (lihat surah al-Hujuraat ayat 2-3).
Muhammad s.a.w dengan syariat yang dibawa telah membuktikan diri baginda sebagai potret teladan yang mampu menyatukan umat manusia bangsa Arab, khususnya pada waktu itu dalam suatu wadah dan panji kebenaran Islam.

Kecantikan lahiriah terserlah pada wajah Muhammad s.a.w. Namun, kecantikan lahiriah baginda itu tidak lain adalah cermin keindahan dan kemuliaan batinnya, sebab Allah telah menciptakannya sempurna dalam akhlak dan moralnya. Ketika Aisyah, isteri kesayangan baginda yang masih muda, ditanya tentang akhlak Nabi, dia hanya berkata: “Akhlaknya adalah al-Quran; dia menyukai apa yang disukai al-Quran, dan menjadi marah apabila al-Quran marah.”

Bagi Aisyah, seluruh perilaku Nabi s.a.w amat mempesonakan. Begitu tinggi dan mulianya sehingga baginda terlebih dahulu meminta izin isteri baginda itu untuk beibadat di tengah-tengah malam. Bagi Aisyah, permintaan izin itu menggambarkan satu penghormatan, perhatian, dan kemesraan. Apa lagi yang lebih indah yang diperoleh seseorang isteri daripada suaminya selain itu?
Masyarakat Barat, yang dibesarkan dalam tradisi yang telah tertanam berabad-abad untuk membenci Muhammad, barangkali akan terkejut apabila mengetahui bahawa dalam semua catatan, akhlak yang terutama ditekan dalam diri Nabi s.a.w adalah kerendahan hati dan kebaikannya.

Semua catatan membicarakan tentang sikap Muhammad yang ramah, baik hati, tetapi serius, dan menunjukkan bahawa baginda tidak selalu ketawa. Sebuah hadis Nabi yang terkenal menyatakan: “Jika kamu tahu apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa.” Bagaimanapun, baginda juga dikatakan mempunyai senyuman yang paling memikat yang sentiasa menarik hati para pengikutnya. Malah Al-Ghazali menyebutkan tentang kecenderungan Nabi s.a.w untuk ketawa. Jenaka baginda yang lembut tergambar daripada beberapa kisah. Contohnya seperti berikut: “Suatu hari seorang wanita tua bertubuh kecil dan dalam keadaan kesedihan datang kepada baginda dan menanyakan apakah wanita tua seperti dirinya itu juga akan masuk syurga. Tidak, kata Nabi, Tidak akan ada wanita tua di syurga! Apabila, melihat kesedihan di wajahnya, Nabi meneruskan ucapannya sambil tersenyum: Mereka akan diubah semuanya di syurga, sebab di sana hanya akan ada usia muda untuk semua penghuninya!”

Sikap Muhammad s.a.w terhadap kaum yang lemah dan kebaikannya itu selalu ditonjolkan. Menurut sebuah hadis, baginda tidak pernah memukul pembantu baginda, apa lagi pembantu wanita, atau salah seorang isteri baginda. Kehidupan Rasulullah s.a.w dengan para isteri baginda pada umumnya serasi dan penuh dengan kasih sayang dan kelembutan.

Anas bin Malik menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w menyuruh kaum Muslimin melayan pembantu mereka dengan baik. Mereka harus makan makanan yang sama dengan apa yang dimakan oleh tuan mereka.

Baginda akrab dengan kesedihan, banyak berfikir, sedikit beristirahat, tidak berkata-kata untuk waktu yang lama, dan tidak berbicara tanpa sebab. Baginda memulai dengan mengakhiri pembicaraannya dengan kata-kata: “Dengan nama Allah.” Pembicaraannya ringkas, tidak terlalu panjang dan juga tidak terlalu pendek, tidak kasar tetapi juga tidak main-main. Baginda menghormati setiap tanda kurniaan Allah meskipun hanya kecil dan sedikit, dan tidak pernah menyalahkan apa-apa pun.

Nasihat kepada umatnya terlalu banyak. Ketika seorang Badui menanyakan kepada baginda, apakah kerana percaya kepada Allah dan perlindungan-Nya, dia boleh membiarkan untanya memakan rumput dengan bebas, Nabi menjawab ringkas, Iqilha wa tawakkal. Pertama-tama tambatkanlah unta itu dulu, lalu yakin dan percaya kepada Allah.

Jika seseorang datang dengan suatu permintaan, dia tidak akan disuruh pergi sebelum permintaannya dikabulkan, atau sebelum dia setidak-tidaknya menerima jawapan yang menggembirakan. Keramahan dan pemberian Nabi s.a.w sama rata kepada semua orang; baginda bagaikan seorang ayah bagi para sahabat. Para sahabat pernah menemui Nabi s.a.w sedang memperbaiki sepatu anak yatim dan pada hari yang lain pula menjahit pakaian milik orang tua yang miskin.

Sesungguhnya Muhammad s.a.w adalah cermin peribadi yang tidak pernah retak, apatah lagi pecah. Justeru, cermin itulah yang sepatutnya menjadi tatapan manusia Muslim saban waktu. Namun, dalam hidup dan kehidupan masa kini yang ditujahi seribu satu macam dugaan dan cabaran, berapa ramai yang sedar dan insaf serta mahu kembali menatap cermin peribadi itu?

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 1, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: