RASULULLAH TIDAK MEWARISI DOA’ KEMUSNAHAN


Rasulullah Tidak Mewarisi Doa Kemusnahan

Doa adalah wahana untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah SWT sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.

Antara lain firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (al-A’raf: 55)

Impak dari doa ini akan munculnya proses tunduk secara tulus dalam erti kata melenyapkan ‘ego’ atau individualisme dalam diri kita. Semakin kita sering berdoa maka semakin dalam pula proses pelenyapan ego dan individualisme dalam diri kita.

Sejak memperoleh sedikit kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, ada dalam kalangan pembangkang sanggup menggunakan apa sahaja kaedah bagi merealisasikan politik matlamat menghalalkan cara. Bermula dengan kempen memburuk-burukkan personaliti pemimpin dan parti yang menang, menggalakkan tunjuk perasaan, melancarkan serangan saraf hinggalah menyalahgunakan kepentingan doa.

Penyalahgunaan hakikat dan erti penting doa bermula pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008, ketika beberapa orang ulama memimpin munajat, sembahyang hajat dan berdoa untuk membutakan mata beberapa orang pemimpin kerajaan, termasuk bekas Ketua Polis Negara dalam majlis di Masjid Bandar Baharu Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Setahun berikutnya, berlaku sekali lagi seorang yang dianggap Tok guru meminta agar rakyat melakukan sembahyang hajat dan berdoa secara berjemaah untuk melaknatkan kepimpinan dan barisan pemerintah sedia ada kerana mahukan pembayaran royalti minyak diberikan kepada kerajaan negeri dan bukannya digantikan dengan wang ihsan.

Baru-baru ini, umat Islam negara ini dikejutkan dengan telatah seorang yang berpengetahuan luas dalam agama tetapi menyalahgunakan hakikat doa untuk ‘membalas dendam’ agar Allah SWT mengkabulkan harapan pakatan pembangkang pukulan K.O. terhadap pemerintah masa kini dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Sedangkan isi doa haruslah mengandungi perkara kebaikan. Kita dilarang berdoa memohon perkara-perkara yang merosakkan serta mencelakakan, baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Hal ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Janganlah kamu mendoakan kecelakaan untuk dirimu, anak-anakmu, pembantumu dan harta bendamu. Boleh jadi permintaan yang demikian tepat dengan saat dikabulkannya permintaan secara langsung oleh Allah.” (Riwayat Abu Daud)

Doa dengan tujuan memusnahkan orang tersebut dianggap sebagai satu bentuk doa yang tidak wajar dilakukan oleh orang Islam kerana tidak dilakukan secara berhemah seperti memohon kepada Allah SWT untuk “melembutkan hati yang keras” sekiranya benar telah berlaku kezaliman sepanjang 55 tahun kebelakangan ini.

Dari perspektif Islam, Allah SWT sentiasa menyuruh setiap Muslim agar berdoa dan memohon restu daripada-Nya. Allah SWT juga berjanji akan memperkenankan setiap permohonan yang diminta oleh hamba-Nya, asalkan doa itu bukan untuk menganiayai orang lain atau membalas dendam, yakni bukan keinginan negatif.

Setiap kali selepas bersembahyang, setiap Muslim digalakkan berdoa bagi mensejahterakan setiap Muslim kerana mereka adalah bersaudara. Dengan sifat yang positif, setiap Muslim mengharapkan perkenan dan rahmat-Nya.

Rasullullah SAW mengingatkan manusia bahawa doa adalah ibadat, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat al-Nu’man Ibn Basyir, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya doa itu adalah ibadat.”

Daripada Aisyah r.a., al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Persediaan dan berhati-hati tidak mampu mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdirkan dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga Hari Kiamat.”

Doa telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada setiap orang Islam dan perlu dilakukan sepanjang masa untuk mendapat restu dan rahmat-Nya. Makna daripada kerahmatan Allah SWT ialah untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan keseluruhan ummah.

Maknanya, jika doa itu ditujukan untuk menghancurkan sekelompok orang Islam, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana hanya untuk kebaikan diri dan bukannya kebaikan untuk seluruh umat Islam.

Allah SWT tidak mensyariatkan kepada orang Islam untuk mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam. Bahkan, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) seperti mana ia mencintai dirinya sendiri.”

Sepanjang hayat Rasulullah SAW melaksanakan dakwah dengan kata-kata yang manis dan perilaku sederhana, tidak menggalakkan sebarang bentuk kemusnahan sama ada dalam kata-kata ataupun tindakan.

Ketika berhadapan dengan penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Rasulullah SAW diberikan pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau. Malaikat hanya perlukan arahan daripada Rasullullah SAW untuk memusnahkan mereka yang degil, malaikat akan campakkan bukit bukau itu bagi memusnahkan kedegilan penduduk Taif itu.

Bagaimanapun, Rasullullah SAW menolak pilihan itu tetapi terus mengharapkan agar Allah SWT melembutkan hati mereka dan dilimpahkan kebaikan. Mungkin pada suatu hari generasi keturunan mereka akan dilahirkan dan beriman kepada Allah SWT.

Rasullullah SAW berdoa: “Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.” Nyatalah pendekatan yang diambil oleh Rasullullah SAW adalah bertentangan dengan sikap para pemimpin PAS yang mendakwa diri mereka sebagai ulama. Pada anggapan umum, ulama adalah “pewaris nabi” maka, tindakan yang dilaksanakan oleh ulama politik itu bukanlah tindakan yang diwariskan daripada Rasullullah SAW.

Rasullullah SAW tidak mewariskan ‘doa laknat’, ‘doa kemusnahan’ Doa-doa yang dilakukan itu adalah senjata politik yang terdesak dilakukan oleh ulama politik demi kuasa, akhirnya doa itu pulang ke pangkuan mereka sendiri sebagai ‘karma politik’.

Menggunakan doa sebagai senjata politik adalah sikap mereka yang membudayakan kehidupan yang zalim dan melampau, kerana Rasullullah SAW tidak pernah mendoakan musuhnya menjadi ‘buta’, ‘musnah’ dan ‘ditumbangkan’. Hanya dilakukan oleh Rasullullah SAW, mereka yang bermusuh itu ‘dilembutkan hatinya’.

Menerusi kelembutanlah Islam akhirnya muncul sebagai agama kedua terbesar dari segi jumlah penganutnya. Itulah hakikat sebuah dakwah yang diajar oleh Rasullullah SAW dan bukannya menyanjungi pendekatan politik yang dilakukan oleh ulama kemaruk kuasa dan terdesak nak tutupkan kelemahan sendiri.

* Artikel ihsan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 2, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: