IBUBAPA DERHAKA!


Picture2a

Seringkali apabila adanya kes anak remaja lari dari rumah, gadis remaja melahirkan anak tanpa nikah, anak lelaki menjadi pelumba jalanan, dan pelbagai lagi kes yang membawa kepada bencana sosial, masyarakat memandangnya dengan pelbagai pandangan sinis. Ada yang berpendapat ianya berpunca daripada didikan yang  tidak sempurna, suatu orientasi pendidikan yang tidak berteraskan agama dan etika sosial yang selama ini diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Tetapi, tatkala kita membaca laporan semakin meningkatkan kes pembuangan bayi yang masih hidup atau sudah meninggal, sama ada dalam bentuk cukup sifat atau masih dalam keadaan janin, kita sering merasa seram dan cemas. Namun, rasa cemas dan seram itu kadangkala tidak disusuli dengan rasa bersalah dalam diri kita sendiri, terutama dalam kalangan generasi yang sepatutnya sudah memegang jawatan sebagai ibu bapa.

Kita seringkali tidak sedar bahawa apa yang terjadi itu sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa dan ahli masyarakat. Sebagai ibu bapa,, pernahkah kita berfikir bahawa kita ikut mempunyai saham yang besar apabila anak-anak kita sendiri telah terjerumus dalam kancah tersebut. Sebagai anggota masyarakat, pernahkah kita bermuhasabah bahawa kita telah ikut melaksanakan tanggungjawab bagi membentuk sebuah persekitaran masyarakat yang bebas dari bencana sosial. Pernahkah kita menghayati falsafah “cubit paha kanan paha kiri ikut terasa sakit”.  Walaupun bukan anak kita yang terbabit, mendengarkan kejadian seumpamanya di manakah kita ketika itu? Apakah kita telah melakukan sesuatu untuk membendungnya? Atau hanya sekadar berteleku membuat kesimpulan: perbuatan membuang bayi atau janin sebagai petanda budaya jahiliyah moden? Masyarakat yang kian hilang pertimbangan kemanusiaan ataupun mencemuh dengan seribu pernyataan yang tidak disusuli dengan kesungguhan memperbetulkan situasi?

Sebenarnya kitalah yang bertanggungjawab membentuk lingkungan kehidupan yang terbaik bagi ahli keluarga kita, masyarakat kita. Kita mulakan penerokaan itu dengan memahami bahawa sebagai orang tua, kita sebenarnya juga tidak bebas daripada terbabit dengan penderhakaan terhadap anak-anak, iaitu anak-anak kita sendiri. Fenomena orang tua derhaka semakin menampakkan kegagalan dalam usaha kita memahami hakikat dan proses keibubapaan sebagaimana sepatutnya kita laksanakan setelah kita memasuki ke daerahnya.

Atas desakan ingin melihat anak kita lebih berjaya, kita seringkali menjadikan anak kita sendiri sebagai korban keegoan. Anak-anak yang sepatutnya membesar dengan suasana semulajadi, dalam persekitaran didikan ibu bapa seringkali menghadapi masalah kerana terpaksa menerima budaya luaran apabila terlalu mengharapkan proses sosialisasi itu bersama pembantu rumah. Benar, ibu bapa banyak berkorban demi anak-anak, tetapi kaedahnya bukanlah merupakan jalan terbaik. Ibu bapa membiarkan anak-anak seharian membesar dengan pembantu rumah yang dibawa masuk dari luar. Lebih malang lagi apabila pembantu rumah itu bukanlah masyarakat tempatan, ia datangnya dari susur budaya yang asing walaupun ada sedikit persamaan dari segi agama.

Tingkah laku ibu bapalah yang telah menentukan hasilnya sehingga anak-anak sanggup melakukan banyak perkara yang bertentangan dengan susila agama dan budaya, sehingga anak-anak itu akhirnya menconteng arang ke muka keluarga sendiri. Ramai anak menjadi korban ego orang tua, kerana orang tua mengharapkan anak-anak akan memperoleh pencapaian terbaik di sekolah. Cuba kita bayangkan, sejumlah lebih 500,000 orang kanak-kanak setiap tahun mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), hanya antara 5 hingga 10 peratus sahaja yang mencapai tahap cemerlang (semua A), 60 peratus sederhana, 20 peratus rendah dan 10 peratus lagi dikategorikan gagal. Bagi anak-anak yang gagal, ibu bapa rasa amat kecewa sehingga ada yang membuat kesimpulan bahawa “anak-anaknya hanya sekadar boleh bersekolah”.

Lebih malang lagi apabila anak-anak tersebut diejek dan dibeberkan dengan kata-kata sinis: sia-sia hantar ke kelas tiusyen, kalau dah bodoh, hasilnya bodoh juga. Inilah sebahagian sikap ibu bapa yang kecewa dan tidak memahami bahawa UPSR itu bukanlah petanda kebodohan selama-lamanya. Keputusannya bukanlah segala-galanya. Ibu bapa harus sedar bahawa itu hanyalah satu bentuk ujian bagi mengetahui pencapaian seseorang dan tidak mustahil dari kelemahan tersebut, sebagai ibu bapa kita harus mampu memahami masih terbuka luas peluang membaiki kelemahan.

Ibu bapa seharusnya dapat memahami potensi anak-anak dengan tidak terlalu menyalahkan pihak sekolah. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, kita harus mengesani potensi anak-anak melalui aktiviti harian mereka. Tidak bermakna kelemahan akademik akan menghancurkan masa depannya, masih banyak peluang yang terbuka untuk anak-anak membangun sebagai seorang insan yang berguna apabila ibu bapa bertindak sebagai pembimbing yang berkesan.

Fenomena yang terpenting ialah bagaimana ibu bapa mendapatkan sumber untuk memenuhi fungsinya sebagai pencari nafkah untuk keluarga. Dalam hal itu, banyak panduan yang pernah kita dengar, jika kita memberikan anak-anak makanan yang berasal dari sumber haram, maka hasilnya akan mempengaruhi tingkah laku anak-anak apabila ia membesar. Anak-anak akan ikut melakukan kesalahan dan tidak mematuhi peraturan, kerana yang lebih penting ialah mencapai tujuan. Di sinilah belakunya apa yang kita kenali dengan hasil lebih penting berbanding proses mendapatkannya. Kaedahnya tidak lagi tertakluk kepada norma dan peraturan, hatta dengan cara menipu, mencuri ataupun rasuah sekalipun. Halal dan haram bukan pertimbangan yang wajar.

Memberikan nama panggilan untuk anak-anak juga dilihat sebagai penyumbang kepada perilaku anak-anak. Sikap ibu bapa yang mementingkan panggilan berdasarkan lafazkata yang sedap didengar, akhirnya turut mengundang musibah kepada anak-anak, kerana panggilan tersebut merupakan doa yang kita panjatkan setiap hari kepada Yang Maha Bekuasa. Dalam hal ini, sedap didengar telah mengundang bahaya, dan kerana itulah Islam mensyaratkan agar ibu bapa tidak menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang bermaksud buruk, jahat dan berkaitan dengan maksiat. Panggilan tersebut akan menyebabkan anak-anak tidak merasakan dirinya berdosa apabila tidak mematuhi norma sosial dan rukun agama, kerana setiap hari asakan mindanya telah terakam dengan hal-hal yang negatif.

Anak-anak, secara biologinya amat terpengaruh dengan persekitaran pembesaranya, terutama ketika berada pada tahap di bawah 5 tahun, amat cepat mempelajari apa yang dilihat dan didengarnya. Alangkah malang sekali apabila pada usia tersebut anak-anak dibiarkan membesar dan menjalani kehidupan hariannya dengan pembantu rumah dan pembantu rumah pula membiarkannya menonton televisyen sepanjang hari. Walau pun program yang ditonton itu adalah program kanak-kanak, proses berfikir masih lagi belum mampu membezakan antara fantasi dan reality. Itulah pada usia sedemikian anak-anak lebih terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengarnya, termasuk meniru aksi ganas ala superman, spiderman ataupu ultraman. Kanak-kanak menjadikan watak tersebut sebagai role model, ibu bapa bukan lagi sebagai contoh terbaik.

Setiap keluarga harus bersedia dengan ajaran Al=Quran yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai persiapan untuk menilai diri sejauhmanakah kita telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu bapa dan tidak terjebak dalam kancah fenomena orang tua derhaka. Sebagai seorang ibu misalnya, kita jangan sekali-kali mengambil sikap pesimistik apabila anak kita bermasalah dengan membuat keputusan mengabaikan anak-anak itu. Ingatlah, anak kita adalah tanggungjawab kita yang diamanahkan kepada kita untuk dibimbing, diberikan layanan sewajarnya,walaupun kita tahu anak-anak itu bukanlah hak kita sepenuhnya, ia adalah hak yang diberikan secara biologi oleh Allah s.w.t untuk kita menjaganya.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebutlah kita sebenarnya akan diuji apakah seorang anak itu telah menjadi korban atas keegoaan kita? Apakah anak kita akan terus mengalami penderaan batin yang berpanjangan? Dalam saat kita menerima perilaku kurang baik anak-anak, kita terus sahaja menuding jari dan membuat tuduhan tanpa berusaha mencari akar permasalahan sebenarnya? Jika demikian sikap kita, maka anak-anak itu akan menjadi lebih malang lagi dan menderita sepanjang hayat. Jiwa anak-anak pun bukannya semakin “sembuh” tetapi menjadi semakin parah walaupun kita sentiasa meneteskan air mata sayang menumpahkan rasa cinta yang mendalam. Ia masih tidak mampu mengubati luka yang disebabkan oleh kata-kata kita sendiri, malah akan menjadikanya sebagai cabaran yang mungkin membawa  kepada terjatuhnya anak-anak kita ke dalam lubang yang lebih hitam dan dalam.

Apabila berhadapan dengan fenomena anak terjebak dengan perilaku menyimpang, maka seringkali dianjurkan bahawa memperkuatkan ajaran agamalah jalan penyelamat yang berkesan. Tetapi, sayangnya anjuran itu tidak disusuli dengan langkah seterusnya, ia hanyalah sekadar ucapan dan kata-kata manis yang terlalu banyak mengundang kebimbangan. Belum ada sebuah model terbaik yang diciptakan oleh para ulamak yang benar-benar memberikan kesan terbaik dalam menangani fenomena tersebut, termasuk ibu bapa. Semakin ramai ibu bapa menjadi pendurhaka, malah sanggup pula mengabaikan tanggungjawabnya sebagai pembimbing, malah membiarkan anak-anak membesar dengan kaedah tertentu atas alasan kesuntukan waktu, sibuk bekerja mencari nafkah, dan membiarkan anak-anak bersama pembantu. Maka, suatu hari anak-anak terus menjadi hantu, dan ketika itulah kita menyalahkan orang lain termasuk sekolah, kerana ingin menyembunyikan kesalahan kita sendiri.

Kerana sekolah adalah sebuah institusi, maka seringkali pula kita jadikannya sebagai sasaran, hatta menyalahkan sistem pendidikan dan persekitaran sekolah. Sekolah hanya sebuah tempat untuk memperoleh ilmu pengetahuan secara bersistem, tetapi masa yang dihabiskan tidaklah sepanjang masa seharusnya bersama ibu bapa. Sekitar 25 peratus masa anak-anak berada di sekolah, selebihnya adalah bersama ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat. Maka disitulah ibu bapa dan ahli masyarakat seharusnya tampil memainkan peranannya yang aktif bagi membantu melahirkan masyarakat yang sihat, harmoni dan tidak terjerumus dalam bencana sosial.

Eloklah kiranya kita kembali kepada ajaran islam yang sebenar-benarnya dan Al-Quran dijadikan bahan untuk memulakan sebuah pemikiran yang jernih bagi membantu mengekang fenomena sosial yang bukan sahaja mengakibatkan anak derhaka, malah ibu bapa derhaka dalam zaman yang terlalu memikirkan pelana material sebagai ukuran pencapaian. Maka, dari usaha memilih pasangan hinggalah ke peringkat berdoa, sebagai ibu bapa perlulah memahami tanggungjawab sebagai anggota masyarakat adalah besar dan menuntut pengorbanan yang tinggi, jika mahu melihat sebuah masyarakat yang sejahtera. Memangnya, untuk meruntuhkan sesuatu yang kita usaha adalah lebih mudah dari membinanya semula. Jadi, sebelum masyarakat hancur secara total oleh sikap kita sendiri, maka kembali ke akar tuntutan agama dan mempraktikkannya bukanlah sesuatu sukar, yang penting ialah kesungguhan dan kesanggupan kita sebagai anggota masyarakat. Kita mungkin tidak mahu dipersalahkan kerana di atas kealpaan kitalah maka akhirnya anak-anak kita terjerumus ke lembah kehinaan dan menghasilkan bencana sosial yang amat jijik.

Kita mungkin boleh kembali mengingati bagaimana keadaan sosial di zaman Nabi Lut  a.s., Nabi Nuh a.s dan sebagainya. Keadaan yang tidak mendahulukan tuntutan agama telah menghancurkan masyarakat itu sendiri. Inilah hakikat sebuah kehancuran yang bakal menimpa masyarakat kita, jika kita tidak mengambil peranan yang sewajarnya membina, membentuk dan mempertahankan norma sosial, hakikat sosialisasi dan tuntutan memperkuatkan ummah sebagaimana dijadikan landasan kehidupan dan tamadun dalam Islam. Buku ini mampu menyumbang, dan seharusnya kita dapat mengupasnya secara lebih mendalam dalam bentuk perbuatan, jika kita berperanan sebagai ibu bapa yang berkesan, dan anggota masyarakat yang terbilang. Orang tua derhaka adalah sebuah fenomena kemanusiaan yang semakin musnah kerana bak kata peribahasa, harapkan sokong, sokong membawa rebah akhirnya.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 3, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: