KETEGUHAN IMAN KAUM MUDA DIKAGUMI


Keteguhan iman kaum muda dikagumi

Setelah dibahaskan secara umum kisah Ashab al-Kahfi, maka ayat-ayat seterusnya akan diperjelaskan Allah SWT dengan lebih terperinci lagi. Lantaran itu, marilah sama-sama kita menghayati kisah Ashab al-Kahfi melalui nas Ilahi.

Firman Allah SWT: Kami ceritakan kepadamu (hai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. (al-Kahfi: 13-14)

Ibnu Kathir berkata: Kisah Ashab al-Kahfi berlaku sebelum kedatangan agama Nasrani, bukan selepasnya. Oleh itu, pendapat ini amat bertentangan dengan riwayat kebanyakan mufassir yang percaya kepada berita yang didengar daripada orang Arab. Sebagai buktinya, pendeta-pendeta-pendeta Yahudi juga menghafal berita-berita tentang Ashab al-Kahfi itu.

Al-Maraghi berkata: Kami memberitahu berita tentang pemuda-pemuda yang berlindung di dalam gua dengan berita yang sebenarnya kepadamu, yang tidak patut lagi diragukan.

Ini merupakan suatu gambaran bahawa berita tentang mereka sudah terkenal di kalangan bangsa Arab menurut versi palsu. Hal itu ditunjukkan kepada dakwaan Umayyah Ibnu Abu Salat:

  • Yang ada di sana hanyalah batu beraksara,
  • Di samping binatang buas mereka,
  • Dan orang yang beribadah dalam gua.

Hamka berkata: Bagi orang yang beriman, keterangan ini adalah menerima “dari tangan pertama”, yang mustahil dicampuri oleh kata-kata dusta dan sebarang penambahan. Di sini juga dijelaskan bahawa penghuni gua itu ialah anak-anak muda belaka, tidak bercampur dengan orang tua. Maka jika dilihat kepada perjuangan Baginda SAW di Kota Mekah itu kelihatan suatu pengalaman yang sepatutnya dijadikan pengajaran. Iaitu yang bersedia menjadi penganut dan pengikut ajaran tauhid yang dibawa Rasulullah SAW juga di kalangan anak-anak muda belaka.

Sedangkan golongan tua menjadi penghalang kerana mereka telah tenggelam dalam hidup jahiliah dan kebatilan selama ini. Setelah dasar iman itu tumbuh, ditambah pula dengan petunjuk Allah, sehingga bertemulah keinginan makhluk insani yang dahagakan kebenaran, dengan bimbingan yang datang daripada Tuhan sendiri sehingga sampai ke tempat yang dituju.

Penulis menyatakan ayat ini jelas menunjukkan betapa hebatnya golongan muda yang mempunyai keimanan dan ketakwaan. Hal ini sudah pasti akan bertambah kekuatan mereka dan Allah kurniakan kepada mereka bantuan hasil daripada pengorbanan mereka. Terdapat banyak hadis yang memuji golongan muda dan menegakkan agama Allah.

Oleh itu, tidak hairanlah ramai di kalangan sahabat adalah daripada golongan yang muda. Golongan pemuda dianggap aset yang penting bagi agama, negara dan bangsa dalam membina kekuatan, tamadun dan kehebatan satu-satu ummah untuk memacu ke arah kehebatan yang penuh gemilang.

Amat wajar orang muda yang menjadi aset utama negara diberikan sejumlah maklumat, motivasi dan sokongan agar mereka benar-benar meraih kehebatan dalam meneruskan sisa kehidupan.

Firman Allah SWT: Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh daripada kebenaran.

Ibnu Kathir berkata: Kami jadikan mereka bersabar atas sebarang perlakuannya sehingga sanggup menentang kaum mereka sendiri, berhijrah meninggalkan desa dan negeri mereka daripada kehidupan yang selesa, kebahagiaan dan pelbagai kenikmatan yang telah mereka raih.

Ramai ahli tafsir, sama ada yang terdahulu atau yang kemudian menyebut bahawa mereka ini terdiri daripada anak pembesar Rom dan bangsawan yang dihormati.

Yang menyatukan mereka hanya akidah keimanan. Hal ini kebetulan dengan sebuah hadis Rasulullah SAW mafhumnya: Semua roh bagaikan kumpulan tentera. Mana yang sesuai dan serasi, mereka akan bersatu, sebaliknya jika tidak serasi mereka akan berjauhan. Perumpamaan seperti ini amat sesuai kepada golongan Ashab al-Kahfi.

Menariknya lagi, ayat di atas pada hujungnya menyebut dengan lain yang membawa maksud memberikan suatu pengertian penegasan dan kesungguhan yang tidak mungkin boleh bertolak ansur dalam isu agama dan iman.

Lantaran itu, Ibnu Kathir menafsirkan dengan maksud: Kami tidak akan menyeru kepada selain Allah untuk selamanya kerana jika Kami lakukannya, maka sudah pasti membawa kepada kebatilan.

Sayid Qutub berkata: Bererti kami telah melampaui kebenarannya dan menyeleweng dari jalan yang betul.

Al-Maraghi berkata: Kami ilhamkan kepada mereka dengan kemahuan yang keras, meneguhkan mereka dengan cahaya keimanan sehingga jiwa mereka tidak menyukai lagi kehidupan mewah yang selama ini mereka alami bahkan membencinya.

Ketika berhadapan dengan raja yang kejam itu, Daqiyanus iaitu ketika raja mengecam mereka dengan pertanyaan mengapa tidak mahu menyembah patung-patung? Lantas mereka berkata: Tuhan kami adalah yang memiliki langit dan bumi dan pemelihara segala makhluk. Kemudian kata-kata tersebut dijelaskan lagi dengan pernyataan bahawa mereka hanya berlindung dengan Allah SWT.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 5, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: