ELAK ANAK-ANAK DIPENGARUHI JENAYAH SIBER


2. ELAK ANAK-ANAK DIPENGARUHI JENAYAH SIBER

Allah SWT telah memberi amaran kepada ketua sesebuah keluarga dengan menggambarkan akibat yang akan menimpa mereka seandainya gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemimpin terhadap ahli keluarganya.

Firman Allah SWT dalam surah “At-Tahrim – Ayat 6 :

 3. ELAK ANAK-ANAK DIPENGARUHI JENAYAH SIBER - Srah At-Tahrim - Ayat 6

 TUGAS KETUA KELUARGA BUKAN MUDAH

Sesungguhnya dalam Islam, tugas sebagai ketua bukan mudah. Dalam konteks keluarga, suami bertanggungjawab terhadap isteri, bapa terhadap anak yang masih di bawah jagaannya. Setiap ketua keluarga itu wajib mengetahui serta mengajar anak serta isteri ajaran dan adab peraturan Islam, supaya dia dan keluarganya terselamat daripada kemurkaan Allah dan azab-Nya.

Dewasa ini banyak berita berkenaan remaja, khususnya remaja perempuan yang terbabit gejala sosial bertentangan ajaran Islam serta melanggar batas telah digariskan dalam Islam. Puncanya bukan hanya di luar rumah tetapi boleh bermula di rumah.

Kemudahan internet yang kebanyakan boleh diakses di rumah memberi peluang anak remaja mendapat pelbagai maklumat atau melihat perkembangan berlaku kebelakangan ini. Malah, telefon bimbit juga menyediakan kemudahan itu.

Membenarkan anak menggunakan kemudahan moden ini tanpa batasan mampu mengundang masalah terutama apabila mereka tidak dikawal. Ini kerana kelekaan ibu bapa boleh menyebabkan anak melayari laman web yang tidak sepatutnya.

GUNA INTERNET UNTUK PELAJARAN

Pemantauan bukan perkara mudah, tetapi mesti dilakukan. Salah satu yang boleh ditekankan ibu bapa ialah supaya anak lebih bertanggungjawab selepas diberi kebenaran menggunakan internet untuk keperluan pembelajaran. Anak juga dibenarkan bermain permainan di internet kerana keinginan itu sukar untuk ditahan tetapi dengan syarat selepas semua tugasan pembelajaran diselesaikan. Memang mudah berkata daripada melakukannya tetapi ibu bapa perlu bertegas.

Di sebalik ledakan maklumat dan ilmu yang mudah dicapai melalui internet, ada juga yang bertentangan ajaran Islam. Oleh kerana ilmu yang datang melalui internet tanpa guru untuk memberi penerangan dan tanpa asas ajaran Islam yang kuat, ada yang mudah terpengaruh. Justeru, bagi memastikan setiap maklumat itu mempunyai asas dan tepat, kita perlu mendapatkan pandangan pihak lebih arif.

Kemudahan internet juga mendedahkan pengguna kepada jenayah siber seperti penipuan. Ada juga mengambil kesempatan mencari mangsa dalam kalangan wanita untuk diperdaya selain menyebarkan dakyah songsang. Kawalan dan pemantauan berterusan termasuk kawalan serta disiplin kepada diri sendiri penting untuk menjaga keluarga daripada terbabit perkara yang dilarang. Sebagai ketua keluarga, jangan membuat andaian anak tidak mampu menyalahgunakan kemudahan ini.

AWASI TINGKAH-LAKU ANAK

Banyak perkara yang tidak sesuai jika tidak ditapis boleh mempengaruhi pemikiran serta mengubah sudut pandang anak kita. Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi mendidik anak menggunakan internet perlu diberi perhatian sejak mereka mula mengenal teknologi lagi. Ketua keluarga harus bertanggungjawab terhadap segala tingkah-laku anak-anak mereka. Kita tidak boleh atas dasar kebebasan berfikir dan enggan mengongkong kreativiti anak, melepaskan mereka untuk bebas menggunakan kemudahan yang ada.

Hakikatnya dalam kehidupan ini semua ada batasnya dan tiada konsep kebebasan bersuara atau bertindak. Tegahan dalam Islam tidak harus dilihat kekangan kepada kebebasan. Dalam percakapan pun ada batasnya kerana jika tidak, keluarlah perkataan tidak sopan atau timbul fitnah. Dalam pergaulan juga ada batasnya bagi menangani kelahiran anak luar nikah. Bagaimanapun, di sebalik sikap berjaga-jaga, kita perlu mengakui kepentingan teknologi maklumat yang bergerak pantas dalam memenuhi keperluan masa kini dari aspek memudahkan perhubungan serta kepantasan mendapat maklumat. Malah, aktiviti dakwah juga sudah menggunakan pendekatan alam maya bagi menyebar luas ajaran agama Islam ke seluruh dunia.

Menjadi ketua, kuasa dan amanah berada di tangan. Gunakanlah kuasa yang ada untuk membawa keluarga kepada kebaikan. Jagalah amanah supaya keluarga tidak berantakan. Dengan izin Allah, keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan.

Sumber: Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

 

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 6, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: