PERLAKUAN MENCEMAR AKIDAH


Perlakuan Mencemar Akidah-inside

Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sempurna tanpa ada penambahan dan pengurangan. Agama Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menyelamatkan umat manusia di dunia dan di akhirat. Tidak ada ajaran dan pegangan yang paling baik dan indah selain Islam, ini diperakui oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali ‘Imran ayat 19 :

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 1

Percayalah, perkara yang paling utama dalam Islam ialah akidah. Setiap orang Islam wajib menjaga dan memelihara akidahnya daripada sebarang perkara yang boleh merosakkan dan terbatal. Apabila akidahnya telah rosak dan terbatal, maka dia telah terkeluar dari agama Islam. Pada zaman moden ini, ramai di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang akidah sebagai cara hidup. Lebih malang lagi apabila terdapat mereka yang menjadikan akidah sebagai bahan jenaka dengan mengeluarkan kata-kata dan melakukan perbuatan yang merosakkan akidah samaada disedari ataupun tidak. Bukankah Allah SWT telah menegaskan perkara ini di dalam surah At-Taubah ayat 65-66:

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 2

Persoalannya, mengapakah perkara ini berlaku? Tidakkah mereka sedar perbuatan ini boleh merosakkan akidah mereka?

Yakinlah, akidah yang sempurna ialah keyakinan yang mantap dan kukuh kepada kewujudan Allah SWT dan sifat-sifat kesempurnaanNya berdasarkan dalil naqli dan aqli, yakin kepada Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah SWT, beriman kepada Malaikat-malaikat, beriman kepada Kitab-kitab, beriman kepada Rasul-rasul, beriman kepada Hari Kiamat dan beriman kepada Qada dan Qadar. Selain itu, wajib yakin kepada rukun-rukun Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadat, sembahyang lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan menunaikan haji. Seterusnya percaya kepada perkara-perkara ghaib iaitu perkara-perkara yang wujud tetapi tidak dapat dirasa atau dilihat dengan pancaindera manusia seperti Malaikat, al-Arsy (Singgahsana) & Al-Kursiyy, ruh, kematian & azab kubur, proses-proses hari kiamat, pahala dan dosa. Akidah yang sempurna akan rosak dan terbatal jika tidak dijaga dengan baik. Perkara tersebut boleh berlaku samada melalui hati, perkataan dan perbuatan. Perkara pertama yang boleh membahayakan akidah yang dilakukan dengan hati ialah apabila beriktikad dengan iktikad yang bercanggah dengan Rukun Iman dan akidah Islam. Iktikad sedemikian meletakkan akidah seseorang itu berada dalam bahaya. Perkara kedua pula yang boleh membahayakan akidah umat Islam yang disebabkan oleh perbuatan ialah :

Pertama : Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada berhala, matahari, bulan atau kepada mahluk yang lain.

Kedua : Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok, mengejek atau mempersendakan Kitab Al-Qur’an atau kitab-kitab hadis seperti memijak atau melemparkannya ke tempat yang kotor.

Manakala perkara ketiga yang boleh merosakkan akidah yang disebabkan oleh percakapan ialah :

Pertama : Sengaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan iktikad yang bercanggah dengan Rukun Iman dan akidah Islam seperti mengatakan bahawa Allah itu bukan satu tetapi dua, tiga atau lain-lainnya.

Kedua : Sengaja mengeluarkan kata-kata yang menolak perintah-perintah dan larangan-larangan Allah yang telah disyariatkannya dengan ingkar atau membangkang dengan takabbur.

Ketiga : Sengaja mengeluarkan kata-kata ejekan atau mempersendakan Allah, rasul-rasulNya, para malaikat, Kitab Allah, hari akhirat serta Qada dan Qadar. Ia juga boleh terjadi dengan sengaja semasa membaca jampi serapah yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam atau tidak difahami maksudnya.

Pelbagai faktor penyebab kepada berlakunya pencemaran akidah umat Islam sehingga boleh membawa kepada kekufuran. Antara faktor-faktornya ialah jahil terhadap perintah-perintah dan larangan-larangan agama Islam, mengutamakan kepentingan peribadi duniawi sehingga ada yang sanggup menghalalkan cara untuk mencapai matlamat dan sanggup melakukan apa saja walaupun terpaksa menggadai akidah dan agama. Bayangkan, apakah kesannya pada umat Islam jika perkara ini dilakukan oleh sesetengah individu yang bergelar pemimpin?

Selain itu, faktor sekeliling juga memainkan peranan seperti masyarakat yang tidak peduli dengan undang-undang agama dan tidak menerapkan nilai Islam dalam kehidupan mereka sedangkan telah banyak usaha dan dasar yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan samaada melalui media cetak, media elektronik dan melalui agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan. Sebenarnya masyarakat hendaklah peka terhadap sekeliling mereka agar tidak wujud perkara yang mendorong kearah berlakunya ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam. Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 23 :

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 3
Inilah masanya, kita selaku umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah memastikan diri kita bebas dari semua perkara yang boleh merosakkan akidah. Antara langkah-langkah menghindari diri dari terjebak perkara tersebut ialah:

Pertama : Didikan agama sepatutnya diberikan perhatian yang serius dalam membina peribadi, keluarga, masyarakat dan negara kearah ketaatan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT. Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhoari Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA:

كُلُ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Bermaksud :

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah maka ibu bapanya yang mencorakkan agar anak itu menjadi Yahudi, Kristian atau Majusi (penyembah Api atau berhala).”

Kedua : Menjadikan Islam sebagai cara hidup sehingga terbit suasana kehidupan seharian yang cintakan ilmu agama, taat dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Ketiga : Menuntut ilmu agama terutamanya yang berkaitan dengan akidah dan perkara yang dapat merosakkannya. Ini akan memastikan supaya kita tidak mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yang sengaja memutarbelitkan isu – isu akidah demi kepentingan peribadi mereka dan akhirnya kita yang terperangkap. Dalam kata lain, bukan sekadar syahadah yang perlu diucapkan bahkan perlu diketahui rukun syahadah, syarat sah syahadah, kesempurnaan syahadah, perkara yang membatalkan syahadah sehingga adanya keyakinan yang mantap terhadap perkara yang termaktub di dalam syahadah.

Keempat : Memilih kawan yang mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Pilihlah mereka yang mampu memberikan tunjuk ajar serta nasihat kearah kehidupan berlandaskan agama yang sebenar bukannya teman kearah mendapatkan harta, pangkat dan hal keduniaan semata-mata.

Kelima : Memperbanyakkan bacaan al-quran al-karim, berdoa, berzikir kepada Allah SWT agar dijaga keimanan dan ketaatan daripada perkara-perkara yang melencong. Tidak ada kitab panduan yang lebih baik yang diberikan oleh Pencipta alam semesta ini melainkan al-Quran yang manfaatnya bukan sekadar menyatakan hukum-hakam kehidupan manusia, tetapi dengan membacanya sahaja sudah cukup untuk menjadi benteng penyelamat dari gangguan syaitan. Kita sepatutnya bersyukur kerana telah terpilih menjadi umat Islam.

Marilah kita berusaha untuk memelihara akidah kita itu dengan sebaik-baiknya. Sama-samalah kita berdoa semoga hati kita tidak dipesongkan sesudah kita diberi petunjuk. Amalkanlah doa sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT ini dalamk surah Ali Imran ayat 8:

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 4

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 6

Firman Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 84-85:

Perlakuan Mencemar Akidah-Surah 5

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 6, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: