SIAPA DALANG KEBANGKITAN ARAB SPRING KEDUA?


Picture6Protes terhadap kerajaan Mesir dan Tunisia semakin bertukar ganas apabila rakyat kedua negara yang sama-sama pernah membangkitkan kemarahan ke atas pemimpin mereka yang berkuasa lebih tiga dekad dua tahun lalu mahukan perubahan drastik ke atas politik kalaupun tidak bersedia untuk berundur.

Kemenangan parti-parti politik Islam, Parti Kebebasan dan Kebangkitan (FJP) di Mesir yang didokongi oleh Ikhwanul Muslimin dan Parti Ennahdha di Tunisia selepas revolusi rakyat menyebabkan parti-parti yang berhaluan sekular tidak melepaskan peluang meneruskan penentangan dengan bantuan kuasa asing.

Parti-parti politik sekular di Mesir sama ada yang pro Mubarak ataupun golongan liberal mahukan Dr Mohamad Morsi segera meletakkan jawatan atas alasan telah gagal menyusun semula perubahan ekonomi dan pindaan perlembagaan yang dianggotai oleh anggota muslim.

Perkembangan terbaharu di Tunisia memasuki fasa terbaharu apabila beberapa orang menteri cabinet daripada Parti Ennahda meletakkan jawatan menyebabkan Perdana Menteri, Hamadi Jebali berhadapan dengan keadaan yang paling sukar.

Tindakan itu dikatakan berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap pimpinan Moncef Marzouki yang gagal mengatasi kerumitan dalam melaksanakan kompromi dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk kabinet baharu.

Krisis politik di Tunisia yang berlaku dua tahun lalu telah menyingkirkan presiden Zine al-Abidin Ali kesan kegagalan kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan dan perumahan yang diperlukan oleh rakyat.

Akibat pengangguran golongan muda yang terpelajar terpaksa melakukan apa sahaja demi menyara kehidupan mereka dan insiden dikatakan bermula apabila seorang lelaki bernama Bazouzi telah dirampas kereta sorong yang digunakan untuk menjual buah-buahan dan sayur-sayuran oleh pihak berkuasa tempatan.

Bazouzi menjalankan perniagaan itu lebih tujuh tahun sebelum diperintah membayar denda kerana dituduh berniaga secara haram. Apa yang mendukacitakan ialah ejekan dan kata-kata kesat oleh pihak berkuasa tempatan apabila Bazouzi hanya sanggup membayar denda kurang daripad yang diminta.

Dalam situasi dihina, Bazouzi kemudiannya meninggalkan pejabat pihak berkuasa tempatan dan kembali sejam kemudian dengan membawa minyak tanah. Setibanya semula di perkarangan pejabat tersebut, beliau terus membakar diri dengan menggunakan minyak tanah menyebabkan lebih lapan puluh peratus badannya terbakar.

Dua minggu sebelum dilaporkan meninggal dunia, Presiden Zine al-Abidin Ali datang melawat tetapi keadaan seolah-olah tidak dapat diselamatkan lagi dan dalam kunjungan itu, tidak apa-apa yang dijanjikan oleh kerajaan untuk melaksanakan reformasi ekonomi. Setelah meninggal dunia, Bazouzi menjadi ikon perjuangan generasi muda dan pada hari pengkebumiannya, berlaku protes besar-besaran hampir seluruh jalan raya menuju ke Tunis.

Dua tahun kemudian, protes yang sama bermula pada hari pengkebumian seorang ahli politik pembangkang, Chokri Belaid yang dibunuh pada 6 Februari. Ribuan remaja dikatakan bertempur dengan pihak polis pada hari Jumaat (8 Februari 2013) kerana membantah sikap berlengah-lengah pihak kerajaan untuk menyiasat siapakah yang telah membunuh Chokri Belaid.

Di Mesir, sebaik sahaja memenangi pilihan raya presiden pada bulan Jun 2012, Dr Mohamad Morsi tidak banyak dapat melakukan pembaharuan kerana sentiasa sahaja mendapat tentangan daripada pihak sekular dan liberal yang masih setia kepada Hosni Mubarak.

Jika penghujung tahun 2010 Mesir digegarkan dengan kebangkitan rakyat yang mahukan Hosni Mubarak berundur, akibat kronisme dan tidak mempedulikan rakyat kebanyakan, dan kematian seorang anak muda bernama Khalid Said akibat dibelasah oleh pihak berkuasa, telah membangkitkan protes besar-besaran hampir setiap hari Jumaat di Dataran Tahrir selama tiga bulan.

Gerakan bencikan Mubarak sebenarnya sudah bermula pada bulan November 2010 tetapi situasinya tidaklah sehebat pada hari Rabu 26 Januari 2011. Setelah Wael Ghonim, seorang anak muda yang bekerja sebagai jurutera perisian dengan Google bagi Timur Tengah memuatnaikkan gambar Khalid Said dalam keadaan menyayat hati menerusi facebook, ia cepat merebak dan mendapat simpati ramai. Menyedari mengenai meningkatkatnya kemarahan anak mudam, Hosni Mubarak yang telah memerintah Mesir sejak tahun 1981, menyekat semua hubungan komunikasi menerusi internet dan telefon genggam.

Bagaimanapun, sekatan tersebut tidak menurunkan suhu kemarahan rakyat hinggalah mereka meletakkan sasaran pada hari Jumaat pertama dalam bulan Februari sebagai tarikh terakhir sebagai presiden. Hosni terus berusaha mempertahankan kepresidenannya dengan mengarahkan anggota polis mengawal setiap bandar raya di Mesir sedangkan pihak berkuasa tentera tidak berminat untuk melaksanakan sebarang arahan presiden. Ini memberikan kelebihan kepada perusuh sehingga mereka berjaya menerobos masuk beberapa buah penjaradan lokap untuk membebaskan tahanan jenayah dan politik menyebabkan Mesir semakin tidak terkawal lagi.

Mubarak adalah seorang presiden yang angkuh dan amat bergantung kepada bantuan sekutu Barat dikatakan turut mengenakan sekatan ke atas penduduk Gaza apabila mengarahkan pihak tentera membina tembok konkrit di sekitar Rafah bagi menyekat keluar masuk rakyat Palestin atas arahan Tel Aviv kemungkinan digunakan sebagai jalan menyeludup masuk senjata selain makanan dan bahan binaan pada pertengahan 2010, yakni beberapa bulan selepas konvoi kemanusiaan Mavi Marmara diserang hendap oleh komando laut Israel di awal pagi 31 Mei 2010 walau pun masih berada di perairan antarabangsa.

Hosni Mubarak dilaporkan terselamat daripada enam kali percubaan bunuh berhasrat untuk melantik dua orang anak lelaki sebagai penggantinya. Beberapa tuduhan kemudiannya disebarkan bahawa Hosni dan dua orang anak lelakinya mempunyai beberapa buah kediaman mewah di Eropah dan Amerika Syarikat, termasuk menggunakan proksi untuk mendapatkan tender kerajaan dan proses penjualan gas kepada Israel, menyebabkan rakyat Mesir tidak boleh menerimanya lagi sebagai pemimpin.

Akhirnya pada 11 Februari 2011, hari ke-18 kebangkitan rakyat Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa pentadbiran kepada kerajaan sementara di bawah pengaruh tentera. Pilihan raya presiden pada bulan Jun 2012, FJP menang tetapi kemenangan tersebut tidak juga dapat menghentikan demonstrasi, kerana parti-parti sekular dan liberal terus mengasak pengunduran Dr Mohamad Morsi atas beberapa sebab.

Beberapa hari lalu, Mesir kembali bergolak sehingga menyebabkan lebih 120 orang terkorban sejak FJP membentuk kerajaan. Protes yang lebih besar dikatakan berlaku di Tanta, Delta Nil tempat asal seorang aktivis, Mohamed el-Gendi yang dilaporkan terkorban pada 4 Februari 2013. El-Gendy yang mengalami kecederaan teruk dalam protes di lapangan terbang Kaherah pada 27 Januari 2013 dikatakan dibelasah oleh anggota polis, kemudiannya dipindahkan ke Hospital di Tanta dalam keadaan koma, yang ada kaitan dengan keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas 21 orang penyokong kelab bolasepak al-Masry dari Port Said.

Dalam rusuhan bolasepak pada awal Februari 2012, seramai 74 orang dikatakan terbunuh apabila penyokong fanatic al-Masry merusuh dengan membaling batu, memukul penyokong kelab al-Haly setelah perlawanan itu selesai, di mana al-Masry tewas 3-1.

Pada hari pengkebumian el-Gendy, sebahagian perusuh mengasari pihak polis dengan membaling batu dan menyerbu istana presiden. Akibatnya, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan gas air dan dalam usaha menenangkan perusuh, presiden berjanji akan melakukan siasatan berhubung kematian itu.

Ramai penganalisis politik melihat bahawa kebangkitan semula “Arab Spring” itu akan mempunyai hubungkait dengan kebencian beberapa kuasa asing terhadap kemampuan parti politik Islam untuk memerintah. Tunisia dan Mesir merupakan dua buah negara yang pernah menjadi boneka Amerika Syarikat sehingga tidak menunjukkan sikap pro Palestin. Hal ini disebabkan oleh peranan Israel, dan kebangkitan kali kedua ini mempunyai hubungan yang jelas dengan keinginan Israel.

Mesir yang masih belum mempunyai sebuah kerajaan yang stabil dikatakan mula memberikan perhatian ke atas Iran apabila ada petunjuk, Iran akan memberikan bantuan kewangan bagi membolehkan Mohamad Morsi dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi. Kesannya, negara-negara barat rasa tercabar kerana dalam situasi sekatan ekonomi, Iran masih boleh membantu. Israel menjadi semakin marah kerana bantuan Iran itu akan menyebabkan negara-negara Islam mengambil tindakan untuk memboikot Israel, yang selama ini mempunyai hubungan perdagangan melalui pihak ketiga, iaitu Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

Di Tunisia, ada dakwaan mengenai penglibatan Perancis di mana dikatakan mula menghulurkan bantuan kepada perusuh untuk menggulingkan pemerintah apabila negara itu tidak memberikan perhatian kepada syarikat-syarikat dari Perancis dalam beberapa urusniaga ekonomi. Ketika pemerintahan Zine al-Abidin, syarikat-syarikat Perancis mempunyai peluang perniagaan yang besar.

Israel turut bimbang, dengan kekuatan yang bakal diperoleh parti-parti Islam di negara Arab akan menyebabkan mereka akan mula mendapat bantuan daripada Iran. Iran dan Turki dilaporkan semakin mendapat perhatian negara-negara Afrika Utara yang pernah dilanda revolusi kebangkitan rakyat.

Iran yang tetap kental dengan program nuklearnya terus membantu Bashar al-Assad untuk mempertahankan pemerintahannya walaupun pergolakan di Syria sudah melengakaui hampir dua tahun. Meskipun terbukti ada bantuan daripada negara-negara asing, Bashar masih belum dapat ditundukkan bahkan sokongan pihak tentera masih kuat. Inilah yang membimbangkan barat, kerana bukan sedikit bantuan telah dihulurkan.

Barat amat berharap agar Bashar ditundukkan segera, bagi membolehkan mereka merebut peluang ekonomi di Syria. Barat yang sedang mengalami masalah ekonomi, begitu berharap ruang pasaran dan perniagaan di negara-negara yang bergolak disebabkan mempunyai simpanan minyak yang besar, kecuali Mesir. Mesir diperlukan kerana kedudukannya, dan kepentingan Barat sendiri terhadap Terusan Suez, yang menjadi jalan utama perdagangan antarabangsa ke Eropah.

Meskipun kemenangan Morsi tidak dianggap dapat memenuhi aspirasi Arab Spring dan kemenangan parti Islam di Tunisia tidak dapat mengekang agenda Israel, sekurang-kurangnya perhatian negara barat untuk mengenakan sekatan dan tekanan ke atas negara Islam perlu diteliti semula. Tekanan ke atas Iran tidak menjejaskan pertumbuhan ekonominya kerana pemimpin Iran begitu bijak meransang pertumbuhan dalam negeri, tanpa mengharapkan negara-negara Barat yang tidak pernah ikhlas berdagang.

Semangat pemimpin Iran begitu kental dan mereka berupaya melawan dominasi Barat, terutama Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. Ini memberikan semangat baharu kepada pemimpin-pemimpin negara Afrika Utara, bahawa selagi mempunyai dokongan rakyat, pergantungan dan pertumbuhan ekonomi domestic boleh membantu mempertahankan kedaulatannya sebagai sebuah negara.

Situasi dan kehendak untuk menghncurkan kekuatan ekonomi domestiklah menyebabkan barat begitu cenderung untuk membantu perusuh untuk bangkit menentang pilihan rakyat yang mahukan parti-parti Islam berkuasa. Kalau sebelumnya, parti-parti sekular telah melahirkan pemimpin autokratik dan penuh dengan skandal rasuah, maka Islam menjadi alternative. Ia tidak disenangi oleh Barat, kerana kapitalisme telah menjadikan fahaman kebendaan sebagai faktor pendorong sedangkan Islam berusaha membina kesejahteraan secara menyeluruh.

Perbezaan ini memang mecabar kapitalisme-liberal yang sedang mengalami keruntuhannya. Cabaran itu juga menyebabkan pelobi-pelobi Yahudi akan terus mencari jalan untuk menaja bentuk protes, selagi mereka belum berjaya menundukkan Islam. Protes akan terus muncul, dan tidak akan mudah berakhir selagi parti-parti politik sekular dan liberal menetapkan kepentingan barat.Barat merupakan dalang kepada sebarang bentuk pemberontakan rakyat menentang kerajaan yang memerintah secara sah, kerana ingin memperluaskan neo-imperealismenya ke atas negara-negara Islam yang kaya minyak dan dalam keadaan strategik bagi membantu Israel mencapai matlamatnya.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 10, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: