HEDONISME HIDUP SUBUR, JATI DIRI MATI TERKUBUR


HEDONISME HIDUP SUBUR, JATI DIRI MATI TERKUBUR

Hedonisme ialah satu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada hiburan semata-mata. Menurut kamus dewan, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sedar atau pun tidak, budaya hedonisme in mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dalam kalangan muda mudi. Salah satu faktor penting menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan sangat banyak kepada aspek hiburan. Tidak kurang juga sokongan yang padu dari pihak pemerintah.

Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang dilarang Islam, asalkan ia dihidangkan berlandaskan syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.

Hadis Rasulullah dilaporkan Aisyah, bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Rasulullah berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali).

Nabi bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat Muslim menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Hadis ini menunjukkan sikap lunak Nabi yang tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah Baginda. Nabi tidak bersikap keras mengenai hiburan seperti sesetengah mereka yang menggunakan nama agama untuk membanteras hiburan. Bantahan Abu Bakr ditolak Nabi secara berhikmah.

Dalam riwayat al-Bukhari, juga dari ‘Aisyah bahawa:“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka Baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”.

Dalam hadis ini menunjukkan Nabi prihatin dengan kecenderungan hiburan sesuatu kaum dalam majlis yang bertujuan untuk kegembiraan seperti majlis perkahwinan. Mungkin hal ini boleh diluaskan kepada majlis sambutan kesukaan yang lain seperti majlis keluarga atau seumpamanya. Bahkan mengenai majlis perkahwinan Nabi pernah bersabda: “Perbezaan antara yang haram dan yang halal adalah kompang dan suara dalam perkahwinan”. (Riwayat al-Nasai dan al-Tirmizi, hadis ini bernilai ‘hasan’).

Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan yang dilakukan secara senyap. Kegembiraan pada hari perkahwinan dizahirkan secara nyata dengan hiburan kompang atau alatan yang lain dan suara. Suara di sini ada yang mentafsirkannya sebagai iklan pernikahan. Juga boleh ditafsirkan sebagai nyanyian.

Namun, fenomena pada hari ini adalah sebaliknya. Program hiburan sama ada di televisyen, radio atau pun atas pentas terbuka dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program lain. Berita hiburan juga memonopoli sebahagian akhbar tabloid dan juga majalah. Kisah kehidupan artis dalam dan luar negara, diberikan liputan yang berleluasa.

Terdapat sesetengah pihak dengan bersungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Bahkan sanggup diperuntukkan jumlah yang banyak untuk membawa masuk artis dari luar negara. Ada yang menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis itu.

Apabila program hiburan dilambakkan, kesannya minda masyarakat dibentuk dengan hiburan. Generasi muda diharap menjadi bari-san pelapis menerajui pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan melampau. Ghairah dan bersemangat berbicara tentang gosip sensasi artis, filem terbaru, lagu popular dan pelbagai topik lain.

Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda-mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ia turut berjangkit kepada penuntut di institut pengajian tinggi. Lebih parah jika ia disuburkan pemimpin sendiri. Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti remaja zaman ini.

Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari, remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan cool dan up to date. Tiada lagi jati diri seorang bangsa Melayu yang terkenal dengan budaya ketimurannya. Lebih penting lagi, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.

Terlalu banyak contoh pemikiran hedonisme ini menular dalam pemikiran masyarakat terutama generasi muda. Salah satu bukti ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian.

Apabila pemikiran ini meresap mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek menguntungkan. Apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencungkil penyanyi baru. Program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang mana buruk mana bermanfaat.

Lebih malang lagi program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat korporat, termasuk syarikat korporat diterajui orang Islam. Dalam masa yang sama rancangan bersifat ilmiah dan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat tidak mendapat sambutan.

Program realiti hiburan ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya untuk melahirkan penyanyi “pasang siap”. Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat berteraskan budaya hedonisme.

Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata. Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi uji bakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.

Pemikiran hedonisme ini menular cuba menyeleweng tujuan hidup Muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan daripada keperibadian para nabi. Kehidupan artismengikut kayu ukur Barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku artis itu menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam.

Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi diberikan media kepada artis melebihi ilmuwan. Tokoh akademik, ulama, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan yang mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis diberi anugerah dan dijulang nama.

Pencapaian artis lebih mendapat liputan pihak media. Realiti ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program dan bahan berita berbentuk hiburan.

Lebih menyedihkan apabila pihak atasan juga sanggup mengimport artis luar untuk menghiburkan masyarakat. Tidak pasti, adakah ia dilakukan demi memenuhi tuntutan rakyat atau pun mempertahankan pangkat.

Bukan salah untuk berhibur. Namun biarlah berhibur yang ada kadarnya. Jangan sampai hiburan ini melalaikan kita dari tujuan kehidupan dan tanggungjawab Muslim yang sebenar. Akhirnya Islam hanya kekal pada nama!.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 11, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: