TEMAN SEJATI


1. Teman Sejati-a1

1. Teman Sejati-b -p1

Manusia telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai makhluk sosial yang memerlukan interaksi dengan manusia lain, beramah mesra dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Interaksi sesama manusia tersebut merupakan suatu nikmat yang diberikan oleh Allah SWT, yang boleh membawa kepada berbagai kebaikan dan kesan positif kepada kehidupan kita. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hujurat ayat 13:

Teman Sejati b- Al Hujurat Ayat 13

1. Teman Sejati-b -p2

Di dalam sirah kehidupan Rasulullah SAW sendiri, Baginda mempunyai ramai sahabat yang telah banyak memberikan sokongan, sama ada dari segi moral mahupun fizikal, kepada perjuangan Baginda dalam menegakkan syiar Islam. Para sahabat baginda seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin ‘Auf, Saad bin Abi Waqqas, Salman Al-Farisi dan ramai lagi. Sokongan daripada sahabat-sahabat ini telah memberikan Rasulullah SAW kekuatan untuk mengembangkan agama Islam sehingga ke luar daripada Tanah Arab dan akhirnya menjangkau ke seluruh bumi Allah SWT.

Kita lihat juga di awal sejarah perkembangan Islam, ketika umat Islam Makkah diancam oleh kaum musyrikin di sana sehingga terpaksa melakukan penghijrahan ke Madinah, umat Islam yang berhijrah, digelar Kaum Muhajirin, telah dibantu oleh Kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah. Kedua-dua kaum ini akhirnya menjadi sahabat dan saudara akrab yang saling bantu-membantu antara satu sama lain, sehingga terjalinlah satu hubungan yang begitu kukuh di dalam sejarah, yang seterusnya menjamin masa hadapan umat Islam.

Keutuhan persahabatan dan persaudaraan yang dijalinkan sesama umat Islam itu begitu penting dan digambarkan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Nu’man bin Basyir RA:

3. Teman Sejati- Hadis 1

Bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dalam saling kasih-mengasihi, saling cinta-mencintai dan saling tolong-menolong, seperti sebatang tubuh. Kalau ada salah satu anggota yang terkena penyakit, seluruh tubuh ikut menderita tidak dapat tidur malam dan demam panas.”

Inilah masanya, semua umat Islam di seluruh negara perlu bersatu sebagai sahabat dan menolak jauh sebarang kata – kata dan perbuatan yang boleh memecahbelahkan ukhwah sesama Islam.

Semua ini jelas menunjukkan bahawa persahabatan dan persaudaraan yang terjalin sesama umat manusia, terutamanya umat Islam, sememangnya membawa kesan yang begitu besar kepada kehidupan kita di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi Rahimahullah, Rasulullah SAW telah bersabda:

3. Teman Sejati- Hadis 2

Bermaksud:

“Manusia itu mengikut agama sahabat karibnya. Oleh itu, hendaklah salah seorang daripada kamu memikirkan siapa yang akan dijadikan sebagai sahabat dekatnya.”

Natijah memilih sahabat ini dapat kita fahami pula di dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA, di mana Rasulullah SAW pernah bersabda :

3. Teman Sejati- Hadis 3

Bermaksud:

“Perumpamaan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membeli minyak wanginya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”

Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dalam memilih siapakah yang patut kita jadikan teman sejati yang selalu didampingi, dan siapa pula yang harus dijadikan sekadar kenalan.

Persahabatan dan persaudaraan perlulah dijalinkan kerana Allah SWT, dan bukannya atas sebab-sebab lain, seperti inginkan keistimewaan, inginkan balasan harta, inginkan kenaikan pangkat dan seumpamanya. Diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

3. Teman Sejati- Hadis 4

Bermaksud:

“Seorang lelaki mengunjungi saudaranya di negeri yang jauh. Maka Allah SWT mengutuskan seorang malaikat untuk menemaninya. Setelah malaikat bertemu dengan lelaki tersebut, maka bertanyalah malaikat ‘Hendak ke mana kamu?’ Jawab orang itu, ‘Aku ingin mengunjungi saudaraku di negeri sana.’ Tanya malaikat lagi, ‘Apakah anda berkunjung kerana anda terhutang budi kepadanya?’ Jawab orang itu, ‘Tidak! Aku mencintainya semata-mata kerana Allah.’ Kata malaikat, ‘Sesungguhnya aku diutus Allah menemani kamu, kerana kamu mencintai saudaramu kerana Allah semata-mata.”

Imam Al-Ghazali telah memberikan panduan kepada kita di dalam kitab Hidayatul Salikin tentang perkara-perkara yang perlu diambil perhatian apabila kita ingin menjadikan seseorang itu sebagai sahabat atau teman rapat yang selalu kita dampingi:

Pertama: Orang yang berakal.

Berkawan dengan orang yang berakal akan membantu kita untuk menjadi lebih bijaksana. Akan tetapi, tiada kebaikan dapat kita perolehi apabila bersahabat dengan orang yang jahil, kerana ia pastinya akan membawa kepada permusuhan dan rasa sakit hati. Meskipun bersahabat dengan orang yang kurang berakal tidak dapat memberikan apa-apa yang membina atau menambah baik kepada kita, namun kita tetap wajib bersikap baik dengan mereka.

Kedua: Baik akhlaknya.

Elakkanlah daripada bersahabat dengan orang yang jahat dan buruk perangainya. Ini termasuklah orang yang tidak dapat mengawal dirinya ketika marah dan ketika dirangsang oleh nafsu syahwatnya, orang yang suka mengumpat, orang yang percakapannya tidak baik dan orang yang selalu mengajak kepada keburukan dan perkara yang melalaikan. Mereka ini juga kadangkala suka berdendam sehinggalah sanggup memutuskan persahabatan dan silaturrahim.

Ketiga: Orang yang soleh.

Bersahabatlah dengan orang yang soleh, kerana dia akan mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Orang yang fasik pula selalu mengerjakan dosa besar, kerana mereka tidak takutkan Allah SWT dan tiada rasa menyesal melakukan perbuatan tersebut. Apabila kita bersahabat dengan orang fasik, yang berterusan mendedahkan kita kepada maksiat, ianya akan membuatkan kita rasa lalai dengan perbuatannya. Akhirnya kita akan memandang ringan kepada maksiat dan akan turut sama melakukan maksiat tersebut. Orang yang soleh ini mestilah kita nilai melalui tutur kata dan perbuatan mereka bukanlah hanya melalui pakaian dan imej luaran sahaja.

Keempat: Jangan berkawan dengan orang yang sangat cinta dunia.

Rasa sangat cinta dunia itu akan cepat sekali mempengaruhi tabiat kita yang lain, dan perangai yang baik akan cepat sekali berubah menjadi jahat, sekiranya kita tidak menyedarinya. Oleh itu, bersahabat dengan orang yang tamakkan hal-hal dunia akan menambahkan lagi rasa tamak kita terhadap dunia juga. Ingatlah, kesenangan dunia hendaklah dicari tanpa meninggalkan amalan untuk bekalan akhirat. Kadangkala kerana cinta dunia, golongan seperti ini sanggup mengadaikan agama dan akidah serta berani menghalalkan yang haram.

Kelima: Orang yang benar perkataannya.

Berkawan dengan orang yang jujur akan mendorong kita untuk menjadi orang yang amanah serta lurus dalam setiap kata-kata dan perbuatan. Janganlah suka berkawan dengan orang yang suka berdusta kerana orang seperti itu tidak dapat dipercayai agama dan dunianya. Barangkali juga dia akan menipu kita kelak. Perbuatan bercakap bohong adalah tabiat buruk yang dicela agama dan tidak disukai oleh sesiapa pun.

Demikianlah sedikit panduan daripada Imam Ghazali akan perkara-perkara yang perlu diambilkira dalam memilih sahabat. Memilih sahabat yang mempunyai sifat-sifat yang baik akan membantu kita untuk menjadi baik. Sebaliknya, jika kita memilih sahabat yang mempunyai sifat-sifat yang buruk, maka sedikit sebanyak sifat-sifat tersebut akan singgah kepada diri kita. Usahlah kita mudah terpedaya dengan individu yang seringkali bercakap tentang kebaikan diri sendiri dan sentiasa mendedahkan keburukan orang yang lain kerana suatu hari mungkin kita yang akan menjadi mangsanya.

1. Teman Sejati-b -p3

Allah SWT berfirman di dalam surah An-Nisaa’ ayat 69:

2. Teman Sejati b- An-nisaa ayat 69

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 17, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: