APABILA MANUSIA HILANG SIFAT MALUNYA!


Apabila manusia hilang sifat malunyaPicture1

Keimanan bukan hanya persoalan atau urusan berkaitan dengan rohani dan jiwa semata-mata.  Namun, lebih daripada itu, ia mempunyai kaitan yang erat dengan apa yang dizahirkan sama ada melalui pertuturan mahupun juga perbuatan atau tingkah laku. Dengan kata-kata lain, akhlak dan keperibadian yang dapat dilihat pada zahirnya merupakan jelmaan daripada apa yang terkandung dalam jiwa. Jika teguh atau kukuh iman yang dimiliki, maka indahlah akhlak yang dipamerkan. Begitulah juga sebaliknya, seandainya lemah iman dalam jiwa, akan rosak serta runtuhlah akhlak diri.

Salah satu cabang atau sifat yang lahir daripada keimanan yang teguh termasuklah malu. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata, Nabi s.a.w. bersabda:

“Iman mempunyai lebih daripada tujuh puluh atau enam puluh cabang; yang paling utama ialah perkataan “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang berbahaya dari jalanan dan sifat malu merupakan satu cabang daripada iman itu.”

(Muttafaq ‘Alaih).

Picture2

Dalam erti kata sebenarnya, malu merupakan perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindari segala perkara yang keji, sebaliknya menggesa supaya dilakukan perkara-perkara yang baik lagi terpuji. Desakan dan gesaan itu pula sudah pasti datangnya daripada jiwa yang hidup dan sedar akan pengawasan Allah s.w.t. terhadap setiap gerak-geri dan perbuatan yang dilakukan. Dengan yang demikianlah, terpeliharalah zahir dan batin seseorang daripada segala unsur serta perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t.

Picture3

Malu seperti ini dikatakan sebagai malu akan Allah s.w.t. dan ia merupakan salah satu akhlak mulia dan sifat paling utama. Ini kerana, orang yang memiliki sifat malu terhadap Penciptanya sentiasa berusaha melaksanakan perintah serta meninggalkan larangan-Nya walau di mana sahaja ia berada; sama ada bersendirian mahupun di khalayak ramai. Sebaliknya bagi orang yang hanya malu akan manusia, ia akan berusaha memelihara dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang mendatangkan keaiban atau berusaha melakukan kebaikan hanya apabila berada di kalangan manusia. Apabila tiada sesiapa yang melihat dirinya, ia akan melakukan apa sahaja bentuk kejahatan yang diingini atau didorong oleh nafsunya atau juga meninggalkan kebaikan serta tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Ada waktunya pula rasa malu terhadap manusia juga hilang lenyap begitu sahaja dan ia berani melakukan perkara-perkara yang keji atau meninggalkan kebaikan apabila dilihatnya manusia sekeliling juga sama seperti dirinya.

Picture4

Pada hakikatnya, sifat malu terbentuk melalui dua cara. Pertama, ia telah sedia wujud dalam diri seseorang sejak lahir ke dunia dan kedua, dipupuk melalui usaha mengenal Allah dan menginsafi kebesaran serta penguasaan-Nya lagi menyeluruh ilmu pengetahuan-Nya. Sifat malu yang terbentuk melalui usaha yang gigih ini merupakan setinggi-tinggi iman yang termasuk dalam tingkatan ihsan yang amat terpuji. Sebagaimana yang diketahui, ihsan merupakan kemuncak bagi segala amalan dalam agama dan dalam soal menyembah serta mengabdikan diri kepada Allah s.w.t., jiwa diserahkan sepenuhnya kepada-Nya. Selain itu, kewujudan dan kehadiran Allah s.w.t. sentiasa dirasai pada setiap saat dan ketika sehingga tidak memungkinkan seseorang melakukan sesuatu yang mengundang kemurkaan-Nya. Sifat malu yang diperoleh melalui dua keadaan atau cara ini begitu diperlukan oleh manusia sebagai asas kekuatan diri dalam mengharungi kehidupan di dunia yang sarat dengan ujian ini.

Betapa malangnya bagi manusia yang telah dibekalkan dengan sifat malu sejak lahir ke dunia ini, namun akhirnya kehilangan sifat malu tersebut kerana kecuaian dirinya sendiri membiarkan diri dihanyutkan dan diperdaya oleh nafsu. Demikian juga dengan manusia yang tidak sama sekali berusaha memupuk sifat malu dalam dirinya dengan berusaha mengenal Allah dengan sempurna lalu menjadi hamba-Nya yang benar-benar bertaqwa. Betapa sia-sianya hidup seandainya tidak dibimbing oleh ketaqwaan dan betapalah ruginya pula manusia yang tidak dapat memanfaatkan kebaikan besar yang ada pada sifat mulia seperti sifat malu. Daripada ‘Imran bin Husain r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sifat malu itu tidak mendatangkan sesuatu melainkan kebaikan.” (Muttafaq ‘Alaih) Dalam riwayat Muslim pula disebut, “Sifat malu itu baik seluruh akibatnya.”

Malu yang dimaksudkan dalam Hadith ini ialah malu melakukan kejahatan atau perkara yang tidak sopan.

Picture1

Sebagaimana yang dinyatakan, perasaan malu yang mendorong seseorang mendekati kebenaran serta kebaikan dan menghalangnya mendekati kemungkaran adalah mulia dan amat terpuji. Namun, ada juga sifat malu yang tercela dan tidak digalakkan, misalnya malu untuk mengatakan atau melakukan sesuatu yang benar, sedangkan tidak wujud sebarang halangan untuk berbuat demikian. Sebagai contoh ialah malu untuk menyeru supaya sesuatu kebaikan dilaksanakan atau untuk menegakkan kebenaran dan keadilan atau juga mencegah kemungkaran. Ia berkemungkinan didorong oleh kebimbangan bahawa tindakan atau pandangan yang diberikan bertentangan dengan pendirian orang lain yang pada hakikatnya, jelas tidak menurut pandangan agama atau akhlak Islami. Sifat malu seperti ini tidak dapat diterima sama sekali oleh agama Islam dan merupakan lambang sifat pengecut yang sangat dicela.

Demikian juga malu untuk mendapatkan penjelasan berhubung dengan ilmu pengetahuan. Dalam hubungan ini, Sayyidina ‘Aisyah r.a. pernah menyatakan pujian terhadap kaum wanita Madinah kerana mereka tidak pernah sama sekali malu untuk bertanya tentang perkara-perkara berkaitan dengan agama, “Sebaik-baik wanita ialah wanita-wanita Ansar yang tidak dihalang oleh perasaan malu mereka untuk bertanya tentang perkara (urusan) agama mereka.”

Pada hari ini, kita dapat melihat bagaimana sifat malu pada manusia, termasuklah umat Islam, semakin pudar atau telah hilang sama sekali. Kemungkaran, kemaksiatan, pengkhianatan, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan sebagainya dilakukan secara berleluasa oleh segenap lapisan masyarakat tanpa segan-silu. Jika ada pun anggota masyarakat yang membenci kemungkaran dan penyelewengan yang dilakukannya, sebahagian besar daripada mereka tidak berani menyatakan pendirian kerana masing-masing diselubungi sifat malu yang tidak bertempat dan dilanda rasa takut yang tidak berasas. Budaya menyeru kebaikan serta menghalang kemungkaran yang merupakan asas kekuatan dan kelebihan mereka sebagai umat Islam tidak lagi diamalkan. Nasihat dan teguran menjadi sesuatu yang asing dalam kehidupan mereka. Sebahagian kecil anggota masyarakat yang cuba memberikan teguran dan nasihat dianggap sebagai musuh dan hanya bertujuan menimbulkan fitnah serta kacau-bilau. Demikianlah mereka terus hanyut dalam perbuatan dosa dan kemungkaran yang kelihatan tidak berupaya dihentikan. Tiada yang diusahakan melainkan untuk membuat masyarakat sekeliling menerima segala tindakan serta perbuatan mereka yang keji lagi tercela meskipun mereka menyedari hakikat dan kedudukan perbuatan serta tindakan mereka.

Malang sekali kerana mereka melupai bahagian dan balasan yang ditentukan oleh Allah s.w.t. bagi setiap usaha serta perbuatan hamba-hamba-Nya. Daripada Abu Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amru al-Ansari al-Badri r.a., beliau berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya antara perkara yang diperoleh manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah sekiranya kamu tidak malu maka lakukanlah apa yang kamu kehendaki.”

(Bukhari)

Hadith ini mengandungi dua pengertian. Pertama, sebagai ancaman, iaitu seandainya seseorang tidak malu maka lakukanlah apa sahaja yang dikehendakinya dan Allah s.w.t. akan membalas setiap perbuatannya. Kedua, sebagai suruhan, iaitu jika perbuatan yang hendak dilakukan itu tidak memalukan sesiapa pun, sama ada bagi diri sendiri atau bagi Allah, atau bagi manusia yang lain kerana perbuatan tersebut merupakan perkara yang baik, maka lakukanlah sebagaimana yang dikehendaki.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 22, 2013.

 
%d bloggers like this: