JAUHI SIFAT BURUK DAN PRASANGKA


1. Jauhi Sifat Buruk Dan Prasangka

Jauhi Sifat Buruk Dan Prasangka-p1

Manusia mempunyai dua sifat, iaitu baik sangka dan buruk sangka. Buruk sangka, dalam istilah psikologi dikenali sebagai prasangka atau prejudis. Prasangka atau prejudis termasuk buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong. Ia merupakan sifat-sifat mazmumah yang perlu dijauhi.

Sifat buruk sangka, bangga diri, ujub dan sombong berlaku tanpa kita sedari telah bertapak dalam hati kita dan sukar untuk dihapuskan. Mereka yang tebal dengan sikap ini, hatinya dianggap berpenyakit dan boleh merosakkan tahap keimanan seseorang terhadap Allah S.W.T.

Seorang ulama sufi terkenal, Hassan al-Basri pada suatu hari melihat seorang pemuda sedang berasmara dengan seorang wanita, di tepi Sungai Dajlah.

Bersama pasangan yang sedang asyi maksyuk itu, terdapat sebotol arak. Hati kecil Hasan al-Basri lalu berbisik: “Alangkah jahatnya orang itu dan alangkah baiknya kalau dia seperti aku!”

Pada masa sama, Hassan melihat sebuah perahu yang berada tidak jauh dari lokasi pasangan itu memadu asmara. Perahu itu dipenuhi air dan hampir tenggelam.

Lelaki yang berasmara itu terjun ke sungai untuk menyelamatkan penumpang dalam perahu yang hampir tenggelam. Jumlah kesemua penumpang yang ada berjumlah tujuh orang. Setelah bertungkus lumus, lelaki itu berjaya menyelamatkan enam orang, manakala seorang lagi masih belum dapat diselamatkan.

Lelaki tersebut berada dalam situasi yang lemah dan hampir tidak lagi dapat berenang untuk selamatkan seorang lagi penumpang. Dalam nafas yang tercungap-cungap, lelaki itu menghampiri Hasan al-Basri.

Melihatkan wajah Hasan al-Basri, lelaki itu berkata: “Jika engkau memang lebih mulia daripada saya, maka dengan nama Allah, selamatkan seorang lagi yang belum sempat saya tolong. Engkau diminta untuk menyelamatkan satu orang saja, sedang saya telah menyelamatkan enam orang.”

Hasan al-Basri berusaha membantu, tapi beliau gagal menyelamatkan yang seorang mangsa perahu karam itu.

Dengan rasa yang kecewa, lelaki berkenaan menjelaskan: “Tuan, sebenarnya wanita yang duduk di samping saya ini adalah ibu saya, sedangkan botol itu hanya berisi air biasa, bukan arak. Ini hanya untuk menguji tuan.”

Mendengarkan penjelasan itu, Hassan al-Basri berkata, “Kalau begitu, sebagaimana engkau telah menyelamatkan enam orang tadi daripada bahaya tenggelam ke dalam sungai, maka selamatkanlah saya daripada tenggelam dalam kebanggaan dan kesombongan.”

Hasan al-Basri sedar bahawa beliau sebenarnya dilanda buruk sangka terhadap lelaki yang berdua-duan di tebing sungai tersebut. Tanpa mencari fakta sebenar, beliau telah membuat prasangka yang keterlaluan. Bagaimanapun, setelah menyedari prasangka buruk itu, Hasan al-Basri segera berusaha memperbetulkan kesilapan.

Lelaki yang disangka buruk itu kemudiannya menjawab: “Mudah-mudahan Allah mengabulkan permohonan tuan.” Sejak dari peristiwa buruk sangka itu, Hasan al-Basri berubah. Tidak membuat praduga keterlaluan dan sentiasa merendah diri. Dia sedar, dirinya adalah makhluk biasa yang tidak sempurna dan sentiasa berbuat salah.

Picture1

Sebagaimana manusia biasa, walaupun mempunyai kedudukan dalam hirarki masyarakat dan kuasa, kisah Hasan al-Basri merupakan sesuatu yang amat tinggi nilai moralnya. Kalau dilihat dari perspektif sebahagian ulama di Malaysia, maka dapatlah disimpulkan: prasangkalah menjadikan kalangan mereka bergelar ulama tidak boleh bersetuju dalam banyak perkara dan berusaha mempertahankan pendirian walaupun ia jelas salah.

Apabila Mursyidul Am PAS memberikan gelaran pemberi bantuan sebagai haiwan manakala seorang lagi ulama PAS menyifatknya sebagai amalan zaman fira’aun, menyebabkan ramai yang bertanya: Apakah kedua-dua ulama itu mencapai tahap maksum?

Lebih mendukacitakan ialah apabila seorang ulama lain memberikan teguran, tindakan melampau menyamakan pemberi bantuan sebagai haiwan dan fira’aun sebagai lebih teruk daripada kafir. Salah seorang ulama yang terasa dirinya kerana termakan cili, membalas dengan umpatan yang lebih keji dan hina. Maka, bermulalah episod cabar mencabar dan bukan saling bermuhasabah berdasarkan ilmu dan tahap pengetahuan agama.

Yang mendukacitakan ialah apabila masing-masing mempunyai pengikut. Yang lebih merusakkan ialah ulama yang terasa “pedas” itu sebenarnya sudah membayangkan sikap sombong dan bongkak, tidak mahu menerima pandangan dan pendapat orang lain, sedangkan Islam adalah budaya hidup masyarakat yang saling nasihat menasihati. Jika ada sesuatu kesilapan, maka orang yang dapat mengesaninya memberikan nasihat agar kesilapan itu tidak menjadi suatu malapetaka.

Berdasarkan kisah Hasan al-Basri, ada dua kaedah penyelesaian yang boleh dipelajari.

Kaedah pertama ialah tidak melakukan praduga sebelum memperoleh maklumat lengkap dan jelas.Ia membawa maksud, jangan berburuk sangka dengan orang lain, dan memandang rendah atau jijik terhadap orang lain.

Apabila kita melihat orang lain seolah-olah telah melakukan maksiat kepada Allah, jangan menghinanya atau reda dengan perbuatannya dan cuba mencari aibnya. Berilah nasihat yang baik penuh hikmah. Anggaplah berkemugkinan orang itu jahil tentang perbuatannya.

Kaedah kedua, iailah bermuhasabahlah pada diri sendiri. Kita patut malu pada diri sendiri yang dikurniakan akal oleh Allah S.W.T sehingga kita boleh mencerap pelbagai ilmu dan pengetahuan. Jangan sombong dengan ketinggian ilmu dan pengetahuan yang kita miliki, kerana ilmu dan pengetahuan itu hanya masih cetek berbanding keluasan zat Allah SWT.

Misalnya, Hasan al-Basri yang dianggap berilmu tetapi sebenarnya belum mampu memahami hubungan sebenar antara lelaki itu dengan wanita yang dianggapkan sedang berasmara dan botol mengandungi arak. Isi air dalam botol itu tidak dapat diduga, walaupun secara zahirnya ia adalah menyerupai botol arak yang lazim. Kelaziman pengetahuan dan petunjuk itulah yang telah membentuk persepsi.

Tidak semua persepsi itu betul dan benar. Biasanya persepsi cepat terbentuk dalam situasi psikologi yang bias, iaiu melakukan perbandingan dalam kelompok nilai negatif. Ini dapat dilihat bagaimana Bob Lokman, yang juga merupakan penyokong PAS memberikan tafsiran, usaha kerajaan menerangkan kepada masyarakat dengan turun ke bawah mempastikan apa yang pernah dijanjikan ditunaikan seperti bujuk iblis.

Bob mungkin terlebih dahulu membuat praduga bahawa kerana Iblis berjanji untuk sentiasa menggoda manusia dan gigih melakukannya, maka kesungguhan iblis itu disamakana dengan kesungguhan kerajaan. Itu adalah prasangka Bob Lokman yang tidak dapat memisahkan apakah penadaarasan bujukan Iblis dan kesungguhan kerajaan dalam menunaikan janjinya kepada rakyat.

Iblis menunaikan janji untuk menggoga manusia agar sentiasa berkonflik dan tunduk kepada segala yang bersifat negatif. Ini kerana janji iblis dengan Tuhan ialah menghasut manusia sehingga manusia terkeluar daripada sifat kehambaannya kepada Allah SWT.

Kerajaan menunaikan janji ialah untuk membantu manusia ke arah yang lebih positif. Kerajaan meletakkan tanggungjawab untuk mensejahterakan rakyat, sedangkan iblis menghancurkan kepercayaan dan mengadudomba. Maknya, Bob Lokman sebenarnya sudah berada dalam perangkap iblis, kerana menganggap kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan sebagai sesuatu yang memudaratkan.

Mungkin kerana tebalnya haloba penyakit hati yang diderita oleh parti yang disokongnya, maka ramai yang tidak terkejut pandangan Bob Lokman itu. Bob Lokman mestilah sedar, walaupun mempunyai jurai keturunan yang lelulurnya ulama, beliau tidak mewarisi keimanan leluhurnya. Ia dicorakkan sendiri oleh hati dan perasaan sendiri. Ia amat terpengaruh dengan doktrin menggunakan agama demi kepentingan politik sempit dan terdesak.

Buruk sangka kepada orang lain atau yang dalam bahasa Arabnya disebut su’ u zhan. Setiap orang mungkin biasa atau bahkan sering melekat di dalam hati, terutama jika apa yang dilihat atau didengar adalah berbeza dengan apa yang dipercayai secara lazim.

Keadaan itu akan menjadi lebih parah lagi apabila prasangka itu dilihat mempunyai asas atau seolah-olah benar. Ini adalah kebiasaan yang berlaku, sebagaimana diterangkan oleh peribahasa: kalau ternampak asap, mesti ada api. Tetapi, dalam realitinya, tidak semua asap itu berpunca daripada api. Dan, tidak semua api itu mengeluarkan asap.Misalnya api cahaya laser. Asap daripada campuran dua bahan kimia yang berbeza. Bahkan, jika asid dijatuhkan ke atas logam, tindakbalas itu akan mengeluarkan asap dan tidak mengeluarkan api.

Memang secara alaminya, manusia sentiasa bercuriga dan berprasangka terhadap orang lain. Prasangka itu juga menyebabkan terbentuknya fitnah dan kemudiannya tersebar luar sehingga menimbulkan aib yang besar. Itulah sebabnya, kita membiarkan zhan terus bersemayam di dalam hati. Bahkan kita membicarakan serta menyampaikannya kepada orang lain. Padahal su’u zhan kepada sesama manusia dilakukan tanpa ada bukti yang kukuhdan kuat..

Kita, sepatutnya sentiasa mencari apa kebaikan yang telah dilakukan orang lain dan apa pula tindakan buruk kita yang telah menyebabkan orang lain bencikan kita. Bila kita mampu memahami dimensi kehidupan seperti itu, maka kita sebenarnya hampir menepati dengan Islam yang sentiasa menawarkan kaedah merawat hati dan menjauhi prasangka.

Kita diwajibkan membuat kebaikan kepada orang lain, dan dalam masa yang sama tidak mengharapkan kebaikan kita itu dipuji melangit dan mendakwa bahawa kita sahajalah yang paling banyak melakukan kebaikan. Orang yang suka membanggakan diri itulah sebenarnya mereka yang mengalami gangguan jiwa yang berada pada tahap paling kronik dan wajar diberikan kaunseling.

Penyakit sedemikian paling banyak dihidapi oleh orang yang berilmu, kerana mereka percayakan ilmu yang ada dalam dirinyalah yang paling lengkap, sedangkan kedinamikan ilmu berlaku sepanjang masa. Perkara yang patut kita lupakan adalah kebaikan kita pada orang dan kejahatan orang pada kita. Barulah hati kita akan menjadi bersih dan terhindar daripada sifat bangga diri dan menghargai kebaikan orang lain.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang percaya pada keterangan Kami, ialah orang yang apabila dibaca ayat-ayat itu kepada mereka, mereka sujud, tasbih memuji Tuhan dan mereka tidak menyombongkan diri. Mereka meninggalkan tempat tidurnya menyeru Tuhannya dengan perasaan penuh kecemasan dan pengharapan dan mereka membelanjakan (di jalan kebaikan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka,” (Surah as-Sajadah:15-16)

Bermuhasabahlah setiap hari, agar diri kita tidak terserempak dengan godaan iblis sehingga tidak lagi mampu membezakan nahi mungkar dan amar makruf. Jangan hanya tahu bercakap, tetapi tidak tahu menilai. Alangkah ruginya sikap mereka yang hanya tahu mendabik dada, kononnya dia sahajalah yang paling baik, berilmu dan beriman, sedangkan keimanannya hanyalah sekadar mempamerkan keputihan ketayap dan ketebalan serban, hati penuh wasangka dan sombong.

Mudah-mudahan, ia akan memberikan kita ketepatan, siapakah sebenarnya kita. Di manakah kita sekarang dan siapa pula golongan oportunis yang sanggup lakukan apa sahaja bagi menutup aib sendiri dan hati yang busuk.

Sumber: http://ummatanwasatan.net

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 22, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: