‘PLURALISME AGAMA’ -USAHA MENINDAKKAN KESEJAGATAN ISLAM


Pluralisme Agama

Satu permasalahan yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan tidak terkecuali juga di Malaysia ialah pluralisme agama (Religious pluralism).  Plural didefinisikan sebagai kewujudan sesuatu lebih daripada satu. Plurality pula difahami sebagai keadaan yang terhasil daripada banyak (entiti). Sementara itu, pluralisme pula didefinisikan sebagai fahaman yang berpegang kepada kewujudan banyak  kebenaran yang muktamad (ultimate reality). Religious pluralism boleh difahami sebagai kewujudan bersama agama-agama di dalam satu tempat pada masa yang sama. Ia juga boleh difahami sebagai fahaman yang berpegang kepada kewujudan banyak agama yang mempunyai kebenaran yang muktamad.

Di dalam peristilahan bahasa Arab, terdapat dua istilah yang diguna pakai dalam merujuk kepada fenomena in; Profesor Dr. Yusuf al-Qardhawi misalnya, menggunakan istilah ta‘addidiyyah al-adyan (kepelbagaian agama), dan beliau memberikan istilah lain yang mempunyai makna yang sama seperti ta‘addudiyyah al-adyan  dan kathrat al-adyan. Sementara itu satu lagi istilah bahasa Arab yang sering digunakan ialah wahdat al-adyan (kesatuan agama-agama). Jika dibandingkan dengan istilah yang digunakan dalam bahasa Inggeris, kesemua istilah dalam bahasa Arab itu mempunyai maksud yang hampir sama dan boleh dimasukkan ke dalam istilah pluralisme agama.

Implikasi dari fahaman pluralisme agama ini menghasilkan dua arah aliran yang berpengaruh dalam era ini. Pertama, arah aliran yang berpandangan bahawa kewujudan bersama (co-existence) agama-agama di dunia ini dengan kepelbagaian sistem kepercayaan, pemikiran dan amalan hidup di samping mempunyai hak-hak yang sama antara satu dengan yang lain. Pegangan ini diamalkan oleh sebahagian besar negara yang mengamalkan sistem demokrasi di dunia sama ada di negara yang majoritinya adalah orang Islam atau sebaliknya. Setiap agama diberikan hak-hak mereka dari segi amalan kepercayaan dan peribadatan, bergantung kepada tahap sistem demokrasi yang diamalkan.

Walau bagaimanapun, hak-hak tersebut berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain. Namun di sesebuah negara yang berfahaman atheism seperti komunisme, hak-hak tersebut tidak diberikan langsung atau sangat minimum. Aliran ini selari dengan istilah bahasa Arab ta‘addudiyyah al-adyan.

Para pendokong aliran ini berfahaman exclusivism, iaitu menolak segala bentuk kepercayaan dan amalan agama-agama lain sebagai mewakili kebenaran mutlak. Tiga agama samawi, iaitu Yahudi, Kristian dan Islam boleh dianggap sebagai mewakili aliran ini kerana mereka menolak kebenaran muktamad yang dibawa oleh agama-agama lain. Dalam hal ini, agama Yahudi paling eksklusif kerana dakwaan agama mereka dihubungkan dengan bangsa Yahudi, lantas menafikan kewujudan dan kebenaran dalam agama Kristian dan Islam.

Sementara itu, Islam mengiktiraf asal usul kewujudan Yahudi dan Kristian, terutama kitab Taurat, Zabur dan Injil  sebagai mewakili kebenaran yang muktamad tetapi penganut-penganut mereka telah menokok tambah dan menyelewengkan kebenaran tersebut dengan mengubahsuai isi kandungan kitab-kitab tersebut. Dalam hal ini mereka dipanggil ‘ahl al-kitab’. Kewujudan Yahudi dan Kristian dan juga agama-agama lain adalah diiktiraf dan hak-hak mereka termaktub dalam Islam. Istilah yang biasa diguna pakai merujuk kepada hal ini adalah ‘wujud-bersama’ (co existence).

Islam menegaskan bahawa agama sebenar di sisi Allah ialah agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Sesungguhnya al-din di sisi Allah adalah al-din al-Islam.”

(Ali Imran: 9)

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

(Ali Imran: 85)

“… Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Kucukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu.”

(al-Maidah: 5)

Dalam surah al-Maidah disebutkan bahawa Allah s.w.t telah menyempurnakan agama Islam kepada kita semua. Hal ini adalah kerana kesemua para nabi dan rasul bermula daripada Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w membawa agama Islam dengan satu risalah yang ‘universal’, iaitu mentauhidkan Allah s.w.t, tetapi berlainan amalan (syariat). Al-Quran menyebut tentang risalah universal ini dalam beberapa ayat seperti berikut:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi.”

(al-A’raf: 172)

“(Nabi Nuh menegaskan): …dan aku disuruh supaya aku termasuk golongan orang-orang yang berserah diri (al-muslimin).

(Yunus: 72)

“Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepada ku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri kepada Allah (al-muslimin).”

(al-An’am: 163)

Allah s.w.t telah menyempurnakan syariat-syariat terdahulu dengan kedatangan nabi Muhammad sebagaimana terkandung dalam kitab suci al-Quran dengan ditafsirkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Tidak ada lagi syariat lain selepas dari nabi Muhammad justeru beliau adalah rasul dan nabi terakhir untuk umat manusia dan jin. Syariat ini secara keseluruhannya tersimpul di dalam rukun Islam sebagaimana tersebut dalam hadis Iman, Islam dan Ihsan ketika baginda disoal oleh Malaikat Jibrail:

“Hai Muhammad terangkan padaku tentang Islam!” Maka jawab Rasulullah: Islam, iaitu hendaklah engkau menyaksikan bahawasanya tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah. Hendaklah engkau mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat dan hendaklah engkau berpuasa dalam bulan Ramadan dan hendaklah engkau mengerjakan haji ke Baitullah (Mekah), jika engkau berkuasa menjalaninya. Berkatalah orang itu: “Benar. Maka kami hairan, dia bertanya dan dia pula membenarkannya. Maka berkata orang itu lagi: “Terangkan pada ku tentang Iman”. Jawab Nabi s.a.w: “Hendaklah engkau beriman kepada Allah, kepada para malaikat, kitab-kitab-Nya, kepada rasul-rasul-Nya, kepada hari kiamat dan hendaklah engkau beriman kepada qadar yang baik dan yang buruk.” Berkata orang itu, “Benar”. Dia bertanya lagi: “Beritahu padaku apa itu ihsan.” Jawab Nabi s.a.w: “Hendaklah engkau beribadat kepada Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, sekalipun engkau ttidak dapat melihat-Nya. Maka sesungguhnya Dia melihat engkau…”

Para sarjana Islam dahulu dan sekarang berpendapat bahawa agama Islam adalah agama yang benar kerana aspek risalahnya yang universal dibawa oleh kesemua nabi dan rasul, dan nabi terakhir adalah pelengkap kepada syariat-syariat terdahulu. Oleh itu, untuk mencapai kebenaran yang mutlak dalam beragama tiga aspek yang disebutkan di dalam hadis diatas perlu dihayati secara menyeluruh.

Sementara itu, aliran kedua yang agak baru dan menonjol dalam membincangkan permasalahan pluralisme agama dibandingkan dengan yang pertama ialah isu kebenaran yang mutlak (ultimate truth). Aliran ini tidak menekankan berapa banyak agama yang wujud tetapi mengiktiraf aspek kebenaran yang didakwa oleh setiap agama yang wujud di dunia ini. Dengan kata lain, setiap agama mempunyai aspek kebenaran mereka masing-masing.

Hal ini adalah bertentangan dengan kepercayaan agama samawi seperti Yahudi, Kristian dan Islam bahawa mereka adalah satu-satunya agama yang benar di dunia ini. Natijahnya, lahirlah berbagai-bagai aliran dan fahaman yang diasaskan atas isu kebenaran yang mutlak ini.  Isu ini adalah satu isu kontroversi yang melanda masyarakat beragama di dunia ini, terutamanya masyarakat Islam dan Kristian.  Arah aliran ini menyamai istilah bahasa Arab ‘wahdat al-adyan’ atau kesatuan agama.

Pendukung aliran ini biasanya berfahaman inclusivism, iaitu memasukkan aspek kebenaran setiap agama ke dalam skop penerimaan mereka tanpa mengira syariat. Walau bagaimanapun, dalam kurun-kurun yang terakhir ini, iaitu pada tahun 1965 selepas daripada Vatican Council ke-2, agama Kristian terutamanya gereja Katholik telah mula mengubah faham exclusive kepada faham inclusive. Karl Rahner (1904-1984) mula mempromosi idea ‘anonymous Christians’ (orang Kristian yang tidak rasmi) yang menganggap orang yang non-Kristian juga boleh dianggap sebagai Kristian terutama sekali golongan pagan dan juga penganut-penganut agama lain.

Dokumen ini dikenali sebagai Nostra Aetate yang disahkan oleh Vatican Council ke-2 merupakan titik permulaan bagi usaha menyatukan kesemua manusia di bawah agama Kristian. Tidak hairanlah upacara-upacara ritual kebudayaan penganut agama lain di Malaysia seperti pesta Pongal orang-orang India telah ‘diKristiankan’ dan perayaan kebudayaan masyarakat Orang Asli dan peribumi seperti Gawai telah mula diterapkan dengan ajaran-ajaran Kristian.

Jelasnya, arah aliran kedua yang kontroversi ini telah menimbulkan masalah di negara-negara Islam termasuk juga Malaysia. Para ulama telah menyuarakan pendapat mereka dengan lantangnya; salah seorangnya ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berkata: “Sebarang penyebaran fahaman tersebut tidak seharusnya dibenarkan di kalangan ummah kerana umat Islam wajib bersifat eksklusif dan haram mencampuradukkan akidah serta ibadah Islam dengan agama lain. Dalam al-Quran itu sendiri pun telah mengatakan bahawa agama yang diterima Allah ialah Islam, tetapi itu tidak bermakna kita bermusuh dengan agama lain.”

Aliran yang kedua ini mempunyai banyak pecahan puak yang berbeza pendapat di antara satu sama lain. Kajian dalam perbandingan agama membahagikan pelbagai pecahan dalam aliran ini seperti Secular Humanisme, Global Theology, Syncretism, Perennial Philosophy, Sufism (sebagai agama), New Religious movement dan lain-lain lagi.

Aliran Secular Humanism telah dipromosikan oleh Harvey Cox (lahir 1929), seorang profesor di Harvard Divinity School sehingga persaraannya pada tahun 2009. Global Theology pula dipromosikan oleh Wilfred Cantwell Smith (1916-2000) dan dikembangkan lagi oleh John Hick (lahir 1922). Syncretism pula dapat dianggap bermula dengan bermulanya agama Sikhism yang diasaskan oleh Kabir dan Guru Nanak pada abad ke-15. Ia mencampuradukkan di antara agama-agama yang wujud di India pada masa itu seperti Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Perennial Philosophy pula dipromosikan oleh Thomas Huxley (1825-1895), Rene Guenon (1886-1951), Frithjof Schuon (1907-1998) dan lain-lain lagi. New Religious Movement atau dikenali di Malaysia dengan nama ‘ajaran sesat’ berbeza di antara satu dengan yang lain dan ada kalanya ada persamaan dengan aliran-aliran yang disebutkan di atas.

(Petikan daripada majalah Dakwah, terbitan YADIM, Mac-April 2012)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 29, 2013.

Satu Respons to “‘PLURALISME AGAMA’ -USAHA MENINDAKKAN KESEJAGATAN ISLAM”

  1. Reblogged this on jiwa hamba.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: