JANGAN SALAH PILIH “PEMIMPIN”


Jangan Salah Pilih Pemimpin

Picture1

Ketika Perdana Menteri melontarkan konsep calon boleh menang atau winnable candidate yang akan mewakili parti dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lebih dua tahun lalu, ramai yang merasakan lontaran idea itu adalah satu tindakan yang menarik bagi mengelakkan berulangnya tsunami politik dan menggelonsorkan pengaruh BN ke tahap lebih rendah.

Setelah konsep itu dibahaskan secara meluas oleh pelbagai pihak, ramai juga kalangan pemimpin UMNO yang merasakan dirinya bukanlah calon boleh menang dan menawarkan diri untuk tidak dicalonkan.Tidak kurang juga yang mula mempamerkan penglibatan aktif dalam aktiviti parti di peringkat akar umbi bagi memperlihatkan dirinyalah calon boleh menang.

Hal ini bukanlah merupakan scenario baharu dalam politik Malaysia.Ia sudah lama berlaku, terutama ketika musim pilihan raya semakin hampir. Suatu ketika dahulu, mereka yang merasakan dirinya sebagai calon boleh menang ke sana ke mari memakai “bush jacket” dan amat rajin mendampingi pemimpintertinggi melobi.

Kini budaya “bush jacket” sudah tiada.Ia digantikan dengan pelbagai aktiviti mendekati akar umbi, maka pelobi ini akan sentiasa dilihat rajin turun ke bawah bila ada pemimpin besar datang. Bila tidak ada pemimpin besar mengadakan “walkabout”, dia turun menjauhkan diri daripada masyarakat. Kerana itulah dalam program mendekati pengundi, hanya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang bersungguh-sungguh sedang pemimpin lain seperti samba lewa sahaja.

Mereka tidak banyak membantu memperjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pemimpin parti lawan. Ada setengahnya pula ikut terpengaruh sehingga lebih percayakan propaganda yang dibawa oleh pemimpin pembangkang dan dalam masa yang sama membentuk syak wasangka terhadap pemimpin organisasi sendiri.

Perdana Menteri pernah khuatir dan mula merasakan kesukaran untuk menentukan calon yang benar-benar mampu menang, kerana mereka bijak menjadikan hubungan dengannya sebagai “with cable candidate”.Ini berlaku kerana masih ramai yang membayangkan dirinya sebagai calon boleh menang, sedangkan rakyat kebanyakan sudah membentuk ‘anekdot benci dan menyampah.”Orang seperti ini masih belum sedar diri, kerana itulah dilihat semakin pintar menyusun langkah membodek dan melobi.

Ada kajian yang dibuat memberikan dapatan bahawa hanyalah sekitar 30 peratus pengundi membuat keputusan lebih awal, manakala dua puluh peratus membuat keputusan apabila senarai calon dimuktamadkan, dua puluh peratus lagi semasa kempen berakhir manakala selebihnya pada saat-saat akhir, iaitu hari mengundi. Golongan ini cenderung melihat sejauhmanakah calon boleh menang itu benar-benar “down to earth.”

Berdasarkan situasi PRU 12, tidak semua ahli parti menyokong calon yang mewakili parti yang dianggotainya. Mereka bukan sahaja enggan memilih calon pilihan parti, bahkan ada kalanya melakukan “silent protest” sama ada mengundi calon parti lawan, undi rosak ataupun tidak keluar membuang undi. Hal ini tidak banyak berlaku dalam PRU 11, pembangkang hampir tidak bermaya tapi PRU 12, berlaku tsunami .

Sedikit sebanyak fenomena ini bakal berlaku dalam PRU 13.Riak-riaknya sudah ada kerana pemimpin yang dianggap terlalu lama menjadi wakil rakyat sebahagiannya dilihat oleh pengundi semacam terlebih berat bagasinya.Pemimpin masih belum sedar diri, masih kuat melobi untuk dicalonkan lagi.Ini bakal memudaratkan parti kerana pengundi boleh beralih arah.Mod bakal menang bertukar menjadi “silent protest” ataupun bosan.

Ketika menggariskan tujuh ramuan penting untuk kemenangan PRU 13, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan keperluan bersatu bagi menjayakan agenda parti; setia kepada parti dan pemimpin; berkhidmat sepenuh hati kepada parti dan pemimpin; berjihad demi parti; berusaha menjadi ahli pasukan parti yang bagus; reda dan bertawakal.

Kesetiaan kepada organisasi merupakan asas yang perlu dihormati oleh setiap ahli, kerana menerusi organisasi itulah ia berjaya membangunkan kekuatan dan menyerlah perjuangan bersama. Mereka yang membelakangkan parti atau organisasi adalah pengkhianat. Dalam Islam, pengkhianatan kepada organisasi atau Jemaah adalah suatu dosa kerana ia merosakkan perjuangan dan membangunkan cita-cita bersama.

Pemimpin sedemikian merupakan orang yang terlalu mementingkan diri dan mereka tidak layak untuk memimpin.Al-Quran menegaskan: Sesungguhnya sebaik-baik orang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)”.  Surah al-Qasas:6). Meskipun mempunyai kekuatan atau mempunyai kepakaran dan berkebolehan, tetapi kerana kepentingan diri melebihi kepentingan organisasi, orang seperti ini cenderung melakukan pengkhianatan dan tidak boleh dipercayai untuk memimpin.

Calon boleh menang bukan diukur berdasarkan kekuatan peribadi semata-mata, iadinilai dari penampilan peribadinya, berintegriti dan beradab. Orang yang berintegriti dan beradab sentiasa memberikan perhatian kepada orang yang dipimpinnya.Orang seperti inilah yang mudah didampingi dan sentiasa mendampingi rakyat, kerana melihat peranannya sebagai pemimpin adalah tanggungjawab yang wajib dilaksanakan untuk kemaslahatan umum.

Pemimpin yang bertanggungjawab tidak akan mengkhianati orang ramai dan sentiasa turun ke bawah meninjau masalah rakyat. Pemimpin dalam kategori ini menerima tanggungjawab dengan penuh reda dan berlapang dada, tidak banyak meminta dan sentias kreatif memikirkan kaedah terbaik menyelesaikan permasalahan rakyat.

Kerana itulah pemimpin dalam kategori ini akan disanjung dan dihormati sampai bila-bila, rakyat akan merasakan kekurangan apabila ketiadaannya. Ia bukan sahaja dihormati bahkan sentiasa mendapat dokongan moral. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah memberikan pedoman, seseorang pemimpin yang baik ialah mereka yang tidak meminta diberikan kedudukan, kerana konsep kepimpinan itu bergantung kepada kebijaksanaan seseorang untuk membangunkan kecitraan organisasi dan masyarakat yang diwakilinya.

Ketika Abu Dzar al-Ghafiri meminta jawatan daripada Rasullullah SAW, baginda bersabda:Wahai Abu Dzar, engkau seorang yang lemah sementara kepimpinan itu adalah amanat. Dan nanti pada hari kiamat, ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambil dengan haknya dan menunaikan apa yang seharusnya ia tunaikan dalam kepimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim).

Maknanya, seseorang yang dianggap pakar, berpengetahuan tinggi masih belum cukup untuk dimasukkan dalam kategori calon boleh menang. Ketinggian ilmu agama, jika tanpa berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan, ia tidak akan menjamin ia menjadi seorang pemimpin yang baik. Memimpin ialah satu kemahiran untuk menjadikan orang dipimpin menuju kepada kehidupan yang lebih baik, dan bukannya sebagai mencari status untuk dihormati dan dipanggil YB.

Pemimpin yang berwibawa tidak cenderung menyalahgunakan kuasa, dan kuasa yang ada padanya diterima sebagai suatu amanah.Ia tidak akan tergugat keimanannya, kerana orang yang berwibawa sentiasa mengingati dirinya bahawa kepentingan umum adalah prakarsa yang tidak boleh diabaikan. Dia sentiasa ingat, bukan semua orang dipilih oleh Allah SWT untuk berkuasa dan menjadi wakil rakyat yang terbaik, berkesan dan diterima sebagai benar-benar calon mampu menang.

Hanyalah Allah SWT mampu menentukannya, dan manusia tidak wajar memohon atau beriya-iya untuk dilihat sebagai calon mampu menang.Rakyat semakin bijak memilih, kerana rakyat tetap menyimpan pengalaman dan setiap “anekdot” yang terkumpul itulah menjadi faktor penentuan seseorang yang mewakili parti benar-benar calon mampu menang.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 31, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: