MENZAHIRKAN PATRIOTISME


Menzahirkan Patriotisme

Menzahirkan Patriotisme - Inside 1

Menurut Kamus Dewan mendefinisikan “negara” sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan serta mempunyai ciri-ciri seperti berikut, pertama: Sempadan, Kedua: penduduk tetap, Ketiga: kerajaan dan keempat: Kedaulatan. Berdasarkan kepada prinsip kenegaraan bahawa kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada. Dengan itu memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyatnya amat bertuah. Maka, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman samada dalam bentuk dalaman mahupun luaran. Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara kita terancam, retak dan hancur. Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-Anaam ayat 123:

Menzahirkan Patriotisme - Inside 2 - surah al-Anaam ayat 123

Maksudnya:

“Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”

Dalam menjaga kedaulatan negara ianya sangat berkait dengan nilai patriotisme dan sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanah air kekal aman dan selamat. Percayalah bahawa patriotisme merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah air. Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara. Firman Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:

Menzahirkan Patriotisme - Inside 4 - surah al-Anfal ayat 60

Maksudnya:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya ”.

Semangat patriotisme kepada negara ini menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama’ telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardhu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar. Rasulullah SAW bersabda:

Menzahirkan Patriotisme - Inside 5 - Hadith 1

Mafhumnya:

“Tiga golongan Allah SWT tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.”

(Riwayat al-Bukhari)

Menurut pandangan Ibnu Hajar al Makky al-Haitamy seorang ulama yang terkenal bahawa: “Yang dimaksudkan dengan dosa-dosa besar antaranya ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah. Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan: Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram”. Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat secara sah berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara. Mimbar ingin menegaskan bahawa sikap tidak kasih kepada negara, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum, dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara. Mereka ini diibarat kata pepatah seperti Gunting Dalam Lipatan yang membahayakan keselamatan rakyat dan negara.

Umat Islam yang patriotik inilah yang menjadi cita-cita negara kita untuk membentuk tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Rebutlah peluang yang ada ini selagimana kita mempunyai kekuatan dan kuasa. Ingatlah bahawa Imam Ghazali Rahimahullah pernah berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa: Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Kekuasaan politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang.

Sabda Rasulullah SAW:

Menzahirkan Patriotisme - Inside 6 - Hadith 2

Mafhumnya:

“Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”

(Riwayat  Hakim dan Ibnu Majah).

Marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan umat Islam negara kita sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT. Tanamkanlah dalam jiwa dan minda mereka perasaan kasih dan sayang serta semangat patriotisme kepada negara. Ingatlah di sinilah kita dilahirkan dan dibesarkan, inilah bumi yang bertuah tempat kita mencari rezeki dan sebagainya. Marilah sama-sama kita mengusahakan perancangan aktiviti yang dapat menyuburkan keimanan di dalam jiwa. Pendekatan ini wajar diambil kerana kita menyakini gesaan Allah SWT yang meletakkan persoalan iman sebagai syarat utama kejayaan umat Islam di dunia ini dan di akhirat kelak. Yakinlah bahwa kasihkan negara tandanya mereka yang beriman. Semoga negara kita yang tercinta ini terus maju, aman dan damai, dan menjadi payung serta perlindungan kepada Islam dan umatnya.

Allah berfirman dalam surah ‘Al-Araf’ – ayat 96 :

Menzahirkan Patriotisme - Inside 7 -Surah al-Araf-96

Maksudnya:

“Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mac 31, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: