PELIHARA ADAB TERHADAP PEMIMPIN


PELIHARA ADAB TERHADAP PEMIMPIN

Picture3

Islam, dengan penuh hikmah dan berhemah mengatur bagaimana seharusnya hubungan antara rakyat dengan pemimpin atau pemerintah dapat berlangsung dalam suasana yang harmoni. Islam memuliakan pemimpin, memandangkan berat beban, tanggungjawab dan tugas yang dipikulnya. Justeru itu, tidak boleh bagi sesiapa pun meremehkan pemimpin atau sewenang-wenang pula menghina serta mencela mereka.Bagaimanapun, amat menyedihkan kita kerana ajaran yang mulia ini sudah mula dilupakan oleh sebahagian umat Islam.

Sesungguhnya dalam hal ini Rasulullah s.a.w amat keras melarang sikap suka merendah-rendahkan pemimpin. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:

”Para pemimpin adalah naungan Allah di muka bumi. Barang siapa yang memuliakan pemimpin, Allah akan memuliakannya. Barang siapa yang menghina pemimpin, Allah akan menghina akan dia.” 

(Riwayat Baihaqi)

Imam Ibnu Abi Ashim dalam kitabnya As-Sunnah, daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, dia berkata: Ketika Abu Zar keluar menuju Robadzah, dia bertemu dengan sekelompok penduduk dari Iraq. Mereka berkata: ”Wahai Abu Zar, kami sudah tahu apa yang dilakukan pemimpin terhadapmu. Duduklah dan pacakkanlah bendera pemberontakan, maka orang-orang akan datang kepadamu.” Abu Zar menjawab: ”Tenang… tenang, wahai saudara seislam. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Akan ada peninggalanku, iaitu para pemimpin. Hormatilah mereka. Barang siapa yang mencari kejahatan atau keburukannya, sesungguhnya dia telah meruntuhkan dinding Islam. Tidak akan diterima taubatnya hingga dia mengembalikan dinding yang dirosakkan itu sebagaimana sedia kala.”

Sahl bin Abdullah at-Tustari r.a pernah berkata: “Manusia sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka menghormati pemimpin dan ulama. Apabila mereka mengagungkan kedua-dua golongan ini, Allah s.w.t akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka, dan apabila mereka merendahkannya bererti mereka telah menghancurkan dunia dan akhirat mereka sendiri.” (Tafsir al-Qurtubi 5/260)

Ziyad bin Kusaib al-Adawi pula pernah menceritakan, “Semasa aku bersama Abu Bakrah duduk di bawah mimbar, ketika Ibnu Amir yang sedang berkhutbah dan berpakaian nipis, salah seorang daripada jemaah berkata: ”Lihatlah pemimpin kita, dia berpakaian orang fasik”. Lalu Abu Bakrah berkata: “Diam sajalah! Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menghina pemimpin, di muka bumi ini, Allah akan menghinakannya.” (Hadis Sahih)

Larangan tersebut bukan sahaja dari segi mencela atau menghina mereka, malahan dalam perkara yang dapat mengawal kerosakan yang boleh mengancam kestabilan dan keamanan. Sesuatu kerosakan itu bermula daripada celaan kecil dan berakhir dengan suatu kekacauan dan pemberontakan. “Amar makruf dan nahi munkar”; meskipun ianya adalah asas agama tetapi perlu dimulakan dengan dakwah (menyeru dan mengajak) kepada kebaikan sebagai persediaan tapak permulaan untuk menanam benih-benih semaian amal kebaikan, dan bukan terus memulakan dengan larangan dan suruhan sesuka hati.

Oleh hal yang demikian itu, dalam ayat lain, Allah mengingatkan bahawa dakwah yang hendak dilakukan oleh setiap Muslim itu mestilah berbentuk hikmah (menarik dan mempesonakan). Apa yang amat dikesali, ada di antara orang di kalangan kita yang mengaku Islam tetapi tidak mengikut atau mentaaati peraturan ini, malahan membiarkan diri mereka diseret dalam pelbagai perlakuan yang tidak sewajarnya dilakukan seperti tunjuk perasaan jalanan yang ingin menunjukkan kekuatan.

Bagaimana sekiranya orang ramai pula ingin menunjukkan kekuatan seperti yang pernah berlaku, apabila dua golongan ingin menunjukkan kekuatan dan ‘kehebatan’ masing-masing sebagaimana tragedi 13 Mei 1969 dahulu. Tidakkah mereka mengambil pengajaran daripada antara rentetan peristiwa yang mengganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian hidup?

Sama ada daripada pihak pembangkang atau pemerintah, mahupun masyarakat seluruhnya, umat Islam seharusnya menginsafi kesilapan masa lalu, bukan mencuba untuk mengulanginya. Tiada manfaatnya jika ‘permusuhan’ berulang kembali. Bak kata pepatah, “kalah jadi abu, menang jadi arang.”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 5, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: