TANGGUNGJAWAB MEMILIH KERAJAAN MELALUI PILIHAN RAYA


Picture2- Tanggungjawab Memilih Kerajaan Melalui Pilihan Raya

Perkembangan politik tanah air kita semakin bertambah hangat. Lebih-lebih lagi apabila pilihan raya umum ke-13 dijangka berlangsung dalam masa terdekat selepas pilihan raya umum 2008. Mandat kerajaan yang ada sekarang akan berakhir pada April 2013. Setiap parti politik yang terlibat mula bersiap sedia untuk bertanding. Tujuan utama mereka bertanding adalah untuk memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri supaya boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri. Calon yang memperoleh majoriti undi di bahagian ditandingi akan diisytihar menang. Mereka ini merupakan wakil rakyat dengan gelaran “Yang Berhormat” (YB). Mereka mewakili sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen ini merupakan jurucakap rakyat.

Pilihan raya umum di Malaysia sudah berjalan lama bermula 1955 lagi sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British. Ini diikut dengan Pilihan Raya Umum pertama (1959), Pilihan Raya Umum ke-2 (1964), Pilihan Raya Umum ke-3 (1969), Pilihan Raya Umum ke-4 (1974), Pilihan Raya Umum ke-5 (1978), Pilihan Raya Umum ke-6 (1982), Pilihan Raya Umum Ke-7 (1986), Pilihan Raya Umum Ke-8 (1990), Pilihan Raya Umum ke-9 (1995), Pilihan Raya Umum Ke-10 (1999), Pilihan Raya Umum ke-11 (2004) dan Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008).

Pilihan raya umum di Malaysia berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) (Election Commission of Malaysia). Badan ini akan menyelia, mengelola dan bertanggungjawab dalam urusan pilihan raya. Ia yang ditetapkan dalam Perkara 114 – Perlembagaan Malaysia, dan ditubuhkan pada 4 September 1957. Semasa penubuhannya Suruhanjaya Pilihan Raya dianggotai oleh seorang Pengerusi dan dua orang ahli. Pengerusi SPR sekarang ialah Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang dilantik pada 31 Disember 2008, bagi menggantikan Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (2000-2008) (http://www.spr.gov.my/).\

Artikel ini meninjau relevensi pemikiran politik al-Ghazali dengan perkembangan politik tanah air. Fokusnya ialah pandangan Imam al-Ghazali dalam dua aspek utama, iaitu (1) tanggungjawab untuk melantik imam atau pemimpin, dan (2) kelayakan untuk menjadi pemimpin. Sebelum itu, ada baiknya untuk melihat latar belakang ringkas sejarah pemilihan pemimpin negara Islam. Ini berdasarkan kedudukan dan pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam.

Memilih Pemimpin Negara Islam

Islam sangat mementingkan pemilihan pemimpin dalam mengurus-tadbir negara. Negara Islam pertama ialah di Madinah dengan Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin. Penduduk Madinah yang terdiri daripada kaum Ansar, Muhajirin dan Yahudi melantik dan menerima Baginda sebagai pemimpin mereka. Selepas kewafatan Baginda, pengganti Baginda juga dipilih dan diberi baiah. Dengan kata lain, masyarakat Islam sudah melakukan proses pemilihan dalam menentukan pengganti Rasulullah. Inilah rasa tanggungjawab yang diamalkan dalam masyarakat Islam.

Abu Bakar dipilih sebagai khalifah pertama selepas Rasulullah pada tahun 11 hijrah/632M. Ini diikuti dengan pemilihan Umar bin al-Khattab sebagai pengganti Abu Bakar pada 13H/634M.  Seterusnya khalifah Islam ialah Uthman bin Affan yang dipilih pada 23H/644M dan diganti Ali bin Abi Talib pada 35H/656M. Pemerintahan Islam yang pertama ini dikenali sebagai Khulafa Rashidun yang berakhir pada tahun 40H/661M. Kerajaan Islam seterusnya ialah kerajaan Bani Umaiyyah (41H-132H/661M-750M), kerajaan Bani Abbasiyyah (132H-656H/749M-1258M) dan berakhir dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah (680H-1324H/1281M-1924M).

Asas kepada pemilihan pemimpin secara demokratik (Arab – shura, pemesyuaratan) sebenar bermula awal dalam Islam. Ini bagi dilihat apabila Rasulullah sendiri tidak menetapkan pengganti Baginda. Ia berjalan secara baik semasa pemerintahan Khulafa’ Rashidun. Kedatangan kerajaan Bani Umaiyyah dan seterusnya kerajaan Islam mengubah keadaan apabila pemilihan pengganti hanya berlegar dalam keluarga pemerintah semasa sehingga melahirkan sistem ala beraja. Bagaimanapun pemilihan tetap berlaku dengan adalah institusi seperti ahl al-hall wa al-‘aqd (secara literal ialah “Orang yang mempunyai kuasa untuk melonggarkan dan mengikat”). Mereka ini merupakan golongan yang berhak memilih (ahl al-ikhtiyar) pemimpin bagi kerajaan Islam seperti di Andalus, Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, India dan Turki.

Dengan kejatuhan negara Islam kepada penjajah Barat seperti Andalus pada tahun 1492, Melaka 1511, Mughal 1858 dan penghapusan sistem khalifah di Turki pada tahun 1924, pemilihan pemimpin ditentukan sama ada pihak penjajah atau dibuat berdasarkan sistem pemerintahan di Barat, iaitu berdasarkan raja berperlembagaan seperti di Britain atau corak republik seperti di Itali.

Sistem Politik Tanah Melayu dan Malaysia

Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia adalah antara negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen sejak mencapai kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1957. Corak pemerintahan negara demokrasi ialah sistem Raja Berperlembagaan berdasarkan sistem “West Minister” berbanding dengan sistem republik. Malaysia juga adalah Negara Persekutuan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara bagi kerajaan dengan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan.

Ketua negara Malaysia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada sembilan sultan negeri Melayu untuk berkhidmat selama lima tahun. Yang di-Pertuan Agong sekarang ialah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah. Yang di-Pertuan Agong pertama ialah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan yang memerintah pada 1957-1960.

Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong. Antaranya kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan kepentingan sah kaum-kaum lain. Baginda juga berperanan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan. Di samping itu, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan penting yang lain dalam kerajaan termasuklah melantik seorang Perdana Menteri, menangguhkan pembubaran parlimen dan meminta supaya diadakan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Secara umumnya peranan Yang di-Pertuan Agong hanyalah sebagai istiadat dalam konteks sistem Raja Berperlembagaan. Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa kuasa eksekutif, secara teorinya di bawah kuasa ketua negeri. Ia dilaksanakan dengan nasihat Kabinet atau Jemaah Menteri. Ia diketuai oleh Perdana Menteri yang bergelar Yang Amat Berhormat (YAB). Perdana Menteri adalah menteri yang paling kanan dalam kabinet sebahagian cabang eksekutif dalam sistem berparlimen. Perdana Menteri Malaysia pertama ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (1957-1970). Sekarang ini Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang keenam (http://www.pmo.gov.my/?).

Di Malaysia rakyat berhak menentukan kerajaan yang diingini melalui pilihan raya. Ini adalah antara ciri-ciri demokrasi berparlimen di Malaysia, iaitu rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara. Dengan kata lain, rakyat berpeluang membentuk kerajaan dengan memilih perwakilan melalui pilihan raya. Pada Pilihan Raya Umum yang lepas sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan di seluruh negara. Ini tidak termasuk Sarawak yang mengadakan pilihan raya kerajaan negerinya secara berasingan. Begitu juga dengan pilihan raya akan datang, rakyat berhak menyokong, mengekalkan atau menukar kerajaan yang sedia ada melalui pilihan raya yang akan berlangsung.

Sejak kemerdekaan Malaya pada 1957, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) memegang kuasa bersama dengan MCA (Persatuan Cina Malaysia) and MIC (Kongres India Malaysia). Ia dinamakan sebagai partai Perikatan. Pada 1973, Barisan Nasional ditubuhkan bagi menggantikan perikatan parti yang berasaskan kepada kaum bersama dengan 14 parti yang lain. Ia adalah gabungan parti yang besar. Walaupun begitu, UMNO, MCA and MIC tetap menjadi tonggak kepada Barisan Nasional. Sejak merdeka lagi Perdana Menteri Malaysia adalah ahli daripada parti Melayu (UMNO) di dalam perikatan Barisan Nasional.

Keputusan mengejut pilihan raya umum tahun 2008 menyaksikan parti-parti pembangkang berjaya memenangi sebanyak 82 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Ini adalah kali pertama sejak 1969, pihak pembangkang menghalang Barisan Nasional daripada meraih majoriti ⅔ dalam parlimen. Tiga parti pembangkang utama, iaitu Parti Keadilan Rakyat, Parti Tindakan Demokratik dan Parti Islam se-Malaysia akhirnya membentuk satu perikatan bergelar Pakatan Rakyat. Sejak daripada itu banyak pergolakan politik berlaku dalam negara sehingga ketika ini.

Relevensi Pemikiran Politik Imam al-Ghazali Terhadap Politik Semasa Tanah Air

Sememangnya Malaysia adalah sebuah negara Islam berdasarkan sistem politik yang wujud, ketua negara dan kerajaannya. Ketua negara dipilih daripada kesultanan Melayu Islam. Begitu juga dengan kerajaan yang memerintah adalah kerajaan Islam kerana dipilih oleh majoriti rakyat yang beragama Islam. Islam pula diiktiraf sebagai agama Persekutuan tanpa menafikan agama-agama lain. Perkara ini masih kekal dan perlu dikekalkan dalam sistem politik negara. Lebih-lebih ia boleh ditambah baik dari semasa ke semasa. Ini selari dengan pemikiran politik Imam al-Ghazali yang menginginkan kepimpinan politik berada di tangan ketua dan kerajaan Islam.

Al-Ghazali melihat pemerintah dan agama merupakan dua tonggak utama. Apabila baik kedua-duanya, rakyat dan negara mendapat faedah. Pilihan raya yang dijalankan adalah untuk memilih kerajaan yang akan menjamin kesejahteraan rakyat dan menjaga semua urusan agama supaya boleh berjalan sebaik mungkin. Dengan itu rakyat semesti bertanggungjawab untuk memilih kerajaan dan mereka perlu menggunakan undi dengan sebaiknya dalam pilihan raya yang akan diadakan.

Ini kerana pilihan raya umum diadakan untuk memilih wakil rakyat dan seterusnya kepada pembentukan kabinet yang diketuai Perdana Menteri di peringkat Persekutuan dan di peringkat negeri yang diketuai Menteri Besar atau Ketua Menteri. Perlantikan pemimpin Islam mengetuai kabinent dan peringkat negeri menjadikan kerajaan yang ada selari dengan prinsip kepimpinan dalam Islam. Lebih-lebih lagi apabila ketua kerajaan menjalankan corak pemerintahan berlandaskan prinsip syariah dan ajaran Islam.

Sudah semestinya masyarakat Islam menyedari kepentingan pemimpin dalam sebuah negara apabila isu ini dibicarakan dalam buku akidah seperti yang dilakukan al-Ghazali. Ini terbukti apabila mereka sentiasa menyertai pilihan raya dalam negara yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali. Rakyat Malaysia keluar menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Selain itu, para pengundi sudah semesti mengkaji calon mana yang layak mewakili mereka nanti. Pemimpin yang dipilih sama ada peringkat negeri atau parlimen hendaklah menyedari bahawa ia adalah amanah yang datang dengan tanggungjawab yang besar. Dengan sebab itu al-Ghazali dan kebanyakan pemikir Islam meletakkan beberapa  syarat untuk melayakkan sebagai ketua negara sebagai khusus dan  sebarang pemimpin secara umum.

Menurut Imam al-Ghazali, antara calon pemimpin yang benar-benar layak ialah calon yang mempunyai kemampuan, ada ilmu, bersifat warak, adil dan asal dari nasab keturunan yang baik. Kemampuan di sini merangkumi soal kecekapan dalam memimpin rakyat dan negara. Mereka yang tidak cekap akan merugikan negara dan masyarakat. Selain itu seorang pemimpin yang hendaklah dipilih hendaklah mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi termasuk ilmu agama dan ilmu keduniaan. Gabungan ilmu duniawi dan ukhrawi menjadikan polisi yang dijalankan benar membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.

Seterusnya, para pemimpin hendaklah ada sifat warak atau berakhlak mulia. Dengan ada sifat warak dapat menjauhkan pemimpin daripada terjerumus dalam godaan nafsu dan tarikan duniawi. Sifat warak ini adalah hubungan dengan sifat adil. Pemimpin yang hendak dipilih hendaklah bersifat adil. Mereka mengetahui tentang kewajipan agama dan soal-soal keutamaan. Mereka menjaga diri daripada segala perkara maksiat dan perbuatan yang menjatuhkan maruah diri, keluarga dan masyarakat.

Soal keturunan juga termasuk dalam kriteria seorang pemimpin. Pemimpin hendaklah daripada keturunan yang baik. Ia hendaklah difahami secara umum dan bukan hanya tertumpu kepada keturunan Quraisy sahaja. Ia lebih kepada asas bahawa mereka ini mentaati perintah Allah dan menjalankan segala perintah Allah dengan sebaik mungkin. Dengan kata lain pemimpin yang dipilih hendaklah mereka yang mengutamakan agama daripada yang lain. Mereka ini yang sepatutnya menguasai politik negara dan memimpin masyarakat.

Setiap parti politik yang terlibat dalam pilihan raya umum nanti hendaklah mengutamakan calon-calon yang ada syarat-syarat di atas. Melibatkan diri dalam pilihan raya bukan sekadar mencari ‘glamour’, pangkat dan kekayaan. Ia adalah tanggungjawab yang besar kepada negara dan masyarakat. Rakyat tentunya bertanggungjawab memilih pemimpin yang benar-benar untuk memimpin mereka.

Kesimpulannya, pemikiran al-Ghazali dalam aspek politik perlu dikaji dan dipraktikkan oleh para pemimpin dan rakyat yang memilih mereka nanti. Pandangan Imam al-Ghazali amat releven dalam konteks semasa kerana keperluan untuk memilih pemimpin dan kerajaan yang baik. Dengan itu wujud negara yang baik dan masyarakat yang mendapat pengampunan Allah (Baldat tayyibah wa-rabb ghafur).

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 7, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: