AGAMA BENTENG DIRI


agama benteng diri

Saban waktu kita diajukan dengan segala macam masalah gejala sosial di kalangan remaja. Ramai yang berasa cemas kerana kesan yang ditinggalkan bagaikan suatu kerosakan yang agak sukar untuk dibaik pulih. Tidak sedikit yang merasa rimas apabila mengikuti perkembangan yang kita lalui, iaitu apabila semakin banyaknya gejala sosial mewarnai pola kehidupan bermasyarakat.

Serasa kita sudah muak dengan isu seks rambang, penagihan dadah, pembuangan anak, dan sebagainya yang memberi ‘isyarat’ bahawa gejala sedemikian ini bukanlah hal yang ringan dan merupakan sampiran semata-mata. Ia perlu kepada penelitian dan kepekaan bersama kenapa ia berlaku dan siapakah pelakunya.

Pada waktu yang sama kita juga sudah berdepan dengan isu-isu yang semakin mencabar kehidupan seharian kita. Maka, adalah wajar semua pihak melihat isu sedemikian sebagai tanggungjawab bersama yang memerlukan kita untuk berperanan lebih proaktif.

Keadaan ini juga tidak membolehkan kita untuk duduk diam membiarkan ia berlaku begitu sahaja. Kepelbagaiannya semakin sehari seakan memaksa kita untuk lebih bertegas berdepan dengannya. Adakalanya perubahan sosial yang berlaku ini menjadikan kita lebih peka terhadap peranan dan tanggungjawab yang patut kita tunaikan.

Justeru, ketegasan ini bukan setakat menyuarakan kita tidak suka ia berlaku akan tetapi mencari jalan untuk dijadikan sebagai pilihan yang menukar hal sedemikian kepada yang lebih produktif dan bermanfaat. Sebagai sebuah negara dan masyarakat yang kuat berpegang teguh terhadap ajaran dan kehidupan beragama, kita tidak mahu akibat daripada perubahan sosial ini akan merubah sikap dan perangai yang akan menghasilkan perkara negatif.

Natijahnya, mungkin akan meninggalkan kesan perubahan sosial yang bercelaru di antara kebaikan dengan kejahatan yang tercipta daripada perubahan sosial yang diwujudkan itu. Banyak contoh yang jelas betapa rapuhnya perubahan sosial itu jika ia tidak disandarkan kepada keluhuran akhlak dan keindahan budi.

Kedua-dua aspek saling berkait kerana ia melahirkan standard diri yang berkualiti tinggi. Tidak hairanlah jika kita melihat pencapaian seseorang yang tidak bersandar sepenuhnya kepada perubahan sosial, lebih banyak yang mampu berdepan dan menangani pelbagai cabaran serta masalah yang datang dengan jayanya. Kita sebenarnya tidak dapat lari daripada keadaan ini, akan tetapi bagaimana cara kita mengemudikannya, menyebabkan kita tidak mudah karam dengannya. Kes-kes sosial yang ditimbulkan juga sudah semakin terjelma dalam bentuknya yang tersendiri, yang ada kalanya amat sadis dan mengerikan. Paling ketara apabila pergaulan bebas semakin menjadi budaya yang sudah meresap di kalangan generasi muda kita.

Kebebasan yang ditimbulkan daripada fenomena sedemikian, tidak dapat tidak menimbulkan kesan perubahan masyarakat yang sedia ada. ‘Virus’ yang dihasilkan daripada pergaulan ini bukan merupakan masalah ringan yang tidak perlu dihiraukan.

Meskipun skala fenomena sosial yang kita timbulkan mungkin masih berada satu tahap keterlanjuran, namun jika ia tidak dibendung dengan berkesan, ia mungkin berubah menjadi kebiasaan yang akan mengheret kita kepada cara kehidupan sosial yang tidak sihat. Oleh hal yang demikian, setiap anggota masyarakat termasuk remaja sendiri perlu memainkan peranan dalam membentuk cara dan corak pergaulan yang baik dan cemerlang, berteraskan ajaran agama yang kukuh.

Remaja atau belia yang ingin mengekalkan pergaulan terpuji di kalangan rakan-rakan mereka mestilah mempunyai dan mengamalkan sifat-sifat yang juga terpuji seperti berakhlak mulia, beradab ketika berbicara, sering memberi salam, jujur, memelihara amanat, sabar, toleransi dan seumpamanya hingga kepada azam menanam rasa memuliakan teman atau rakan yang baik pada isetiap pertemuan. Pergaulan juga harus dijaga daripada perkataan yang sia-sia, kotor dan perkara-perkara yang merupakan ‘kerugian’ bagi setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bukanlah seorang mukmin yang sempurna, yang suka mencela dan melaknati, berperangai jahat dan berakhlak rendah.”

Bagi remaja yang sudah terpesong hendaklah kita sedar bahawa kita sepatutnya mengamalkan nilai-nilai murni yang baik dalam pergaulan serta mencari arah dan tujuan hidup yang asal serta mencipta kebaikan dan kecemerlangan diri. Tidak bererti keterlanjuran diri yang telah berlalu merupakan sempadan yang tidak dapat diubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Justeru, pergaulan yang dicari ialah pergaulan yang baik, beretika, dan sentiasa ingat kepada ajaran-ajaran beragama serta menghala tuju ke arah kualiti hidup yang berguna. Lihatlah kepada resmi ikan, meskipun berenang di lautan masin, namun ikannya tetap tawar dan sedap dimakan.

Maknanya, meskipun pelbagai perubahan sosial yang berlaku di sekeliling kita, pengaruhnya tidak semudah itu meresap ke dalam diri kita, namun yang baik tetap menjadi pilihan dan keutamaan kita. Untuk mempertahankan kebaikan yang kita sedia miliki inilah kita perlu kepada ketahanan diri. Ketahanan diri yang dimaksudkan ini memerlukan kepada bekalan yang kukuh dan mantap. Dalam konteks ini, apa yang lebih mujarab untuk menjadi benteng yang menjadi senjata mengawal diri ialah memperteguh keimanan dan kekuatan beragama.

Tiada apa-apa yang akan dapat membantu dalam mengawal diri kita ini, jika kita kosong dengan bekalan keimanan dan ketakwaan yang mendalam. Kita perlu dan tidak boleh mengabaikan bahawa perhiasan yang paling indah ialah keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada Allah s.w.t.

Jika hakikat kita abaikan, maka mudahlah segala ancaman dan gejala sosial menebusi pertahanan diri kita. Jika pertahanan diri kita sudah dibolosi, tidak dapat tidak akan berlakulah satu keadaan di mana gejala sosial yang tidak kita ingini akan mula mewarnai dan menghiasi kehidupan kita (remaja).

Inilah yang akan menjadi isu kehidupan yang bukan sahaja akan melibatkan banyak perkara, malahan ia juga akan melibatkan tenaga dan usaha yang jika dialihkan ke arah yang lebih bermakna, akan lebih memberikan kesan dan manfaatnya.

Inilah yang sedang kita lalui sekarang dan kita memerlukan bersiapan diri untuk berdepan dengan budaya yang sudah mula membauri kemurnian yang sedekian lama kita pupuk dan semai bersama. Kita perlu sedar dan menginsafi bahawa jika kita terus membiarkan keadaan ini berlaku, kita akan kehilangan nilai dan juga kemurnian jati diri bangsa. Justeru, semua pihak (lebih-lebih remaja sendiri) harus berperanan dan bertanggungjawab dalam mewujudkan ketahanan budaya dan nilai-nilai kehidupan beragama yang sedemikian lama kita genggam. Tidak ada ertinya lagi untuk kita sering menyalahkan antara satu dengan yang lain.

Apa yang penting ialah mempertahankan nilai diri dan jati diri kita sebagai remaja atau belia. Justeru, kekuatan beragamalah yang menjadi kepentingan, yang tidak boleh dipandang ringan.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 8, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: