CINTAKAN TANAH AIR


Cintakan Tanah Air 1

“NEGARA” adalah sebagai suatu masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah kerajaan serta mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Pertama: Sempadan;

Kedua: Penduduk Tetap;

Ketiga: Kerajaan; dan

Keempat: Kedaulatan.

Berdasarkan kepada prinsip kenegaraan bahawa kedaulatan ialah kuasa sesebuah negara untuk membuat undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang dengan menggunakan segala kuasa yang ada. Dengan itu memperlihatkan kepada kita bahawa aspek undang-undang dengan kedaulatan tidak boleh dipisahkan sama sekali.

Malaysia adalah negara berdaulat dan rakyatnya amat bertuah. Maka, menjadi kewajipan kita sebagai rakyat memelihara kedaulatan negara ini daripada segala ancaman samada dalam bentuk dalaman mahupun luaran.

Janganlah ada di kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga keharmonian dan kedaulatan di negara kita terancam, retak dan hancur.

Allah s.w.t telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-An’aam ayat 123 yang bermaksud:

“Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.”

Ingin ditegaskan dalam menjaga kedaulatan negara ianya sangat berkait dengan nilai patriotisme dan sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah tanah air kekal aman dan selamat. Percayalah bahawa patriotisme merupakan satu semangat dan gagasan dalam mendidik dan memberi kefahaman kepada umat manusia agar mencintai kehidupan dan tanah air.

Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas tentang patriotisme khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan dan maruah negara. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya .”

Semangat patriotisme kepada negara ini menuntut kita agar patuh dan taat kepada pemimpin secara menyeluruh.

Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Tiga golongan Allah s.w.t tidak menegurnya pada hari kiamat, tidak melihat kepada mereka, tidak membersih dosa mereka dan mereka menerima azab yang pedih, seorang yang mengaku setia kepada pemerintah, ia berbuat demikian kerana keduniaan, jika diberi ia tunaikan kesetiaanya tetapi jika tidak diberi, ia menderhaka.” (Riwayat al-Bukhari)

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 10, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: