PASANGAN DUNIA AKHIRAT


2. Pasangan Dunia Akhirat-inside

Isteri merupakan insan yang teristimewa buat seorang suami. Isteri adalah tempat seorang suami mendapatkan kasih sayang, ketenangan dan kebahagiaan di alam rumahtangga. Isteri juga dianugerahkan dengan sifat lemah-lembut yang mampu menarik dan menambat hati seorang suami. Sifat semulajadi isteri yang peka terhadap perkara-perkara kecil yang sering diabaikan oleh suami, merupakan pelengkap kepada bahtera rumahtangga yang dilayari. Sifat penyantun dan penyayang seorang isteri dapat mengimbangi sifat tegasnya seorang suami.

Kadang-kadang, kelemahan ekonomi si suami dibantu isteri untuk sama-sama bekerja mencari rezeki siang dan malam. Begitulah betapa suami perlu faham bahawa sehebat-hebat suami sebagai ketua keluarga, mereka tetap memerlukan insan yang bernama isteri untuk membina hidup yang lebih sempurna dan penuh dengan kasih sayang. Malah, isterilah yang bertanggungjawab membantu suami menjaga anak-anak, membasuh pakaian, menyediakan makanan bagi memastikan kelangsungan hidup berumah tangga.

Firman Allah swt di dalam surah Al Baqarah, ayat 187 :

3. Pasangan Dunia Akhirat- Surah - Al-Baqarah 187

Sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat yang dibacakan tadi, isteri adalah pakaian seorang suami. Begitu juga sebaliknya. Ini membawa pengertian bahawa hubungan isteri dengan suami perlulah sentiasa dekat dan akrab. Setiap suami dan isteri mestilah menutup kelemahan pasangannya, di samping berusaha memperbaikinya dengan cara yang berkesan dan penuh bijaksana. Sebagai gambaran, jika kita miliki pakaian yang paling mahal dan yang paling kita sayang, sudah tentu jika terkena kotoran walaupun sedikit, kita akan cuci sehingga bersih, jika terkoyak sudah tentu akan dijahit rapi. Begitulah kita sebagai suami wajiblah menjaga isteri dengan sebaiknya.

Isteri merupakan seorang insan yang sangat banyak bekorban untuk suami. Dialah yang mengandungkan zuriat kita sembilan bulan biarpun sesekali menanggung sakit sehingga berlinangan air mata, isteri bersabung nyawa diantara hidup dan mati ketika saat anak dilahirkan. Lalu anak ditatangnya dengan penuh kasih sayang dan kemesraan, keperluan keluarga sedaya upaya disediakan dan disiapkan. Namun begitu, masih ada di kalangan suami yang buta hati dan cetek akal fikirannya, mendera si isteri tanpa belas kasihan, merasakan hanya dirinya sahaja yang sempurna dan bebas dari sebarang kelemahan.

Suami diberi tanggungjawab bukan untuk memperhambakan dan menindas isteri, akan tetapi, wahai para suami, ingatlah! kita diamanahkan oleh Allah SWT untuk melindungi, menjaga dan mendidik isteri, menegur mereka dengan penuh kasih sayang, membela nasib dan masa depan mereka. Malah, suami wajib berperanan menjamin kesejahteraan hidup isteri di dunia dan di akhirat. Kita perlu sedar, kekurangan yang ada pada isteri adalah ruang untuk kita menambah amal kebajikan dengan memperbaiki kekurangan tersebut, dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. Jangan kita hanya berbangga dengan kejayaan kita sebagai pentadbir di tempat kerja, jangan kita hanya sombong sebagai usahawan yang berjaya, jangan kita hanya angkuh menjadi ahli politik yang mengejar cita-cita, sedangkan rumahtangga porak peranda, isteri dan anak-anak tidak diberi hak yang sewajarnya.

Di dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi Rahimahullah, daripada saidatina Aisyah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang beriman yang paling sempurna imannya adalah, yang paling baik akhlaknya, dan yang paling berlemah lembut kepada isteri dan keluarganya”.

Marilah sama-sama kita renungi dan hayati mengapa kebanyakan dari kita kurang menghargai isteri kita sedangkan dia lah yang sentiasa mendampingi kita walau dalam keadaan apa sekali pun, sama ada senang atau susah.

Pertama : Kurang memahami sifat seorang isteri.

Ingatlah, isteri atau wanita memiliki sifat dan tabiat semulajadi yang berbeza dengan lelaki, kerana itulah mereka perlu saling melengkapi. Perbezaan ini tidak boleh dipandang dari sudut negatif, kerana ia akan merosakkan rumahtangga.  Peliharalah  mereka dengan sebaik-baiknya dan pimpinlah mereka ke arah kehidupan yang patuh pada syariat. Bukankah Allah SWT mengingatkan kita bahawa seorang lelaki itu mestilah memimpin wanita?

Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34 :

4. Pasangan Dunia Akhirat- Surah - Al-Nisa' ayat 34

Kedua : Terlalu mengharapkan isteri yang sempurna.

Isteri juga adalah manusia biasa seperti kita yang tidak sunyi daripada kekurangan.  Malah, mereka diciptakan lemah akal dan fikiran yang menjadi penyebab kepada ketidakstabilan emosi. Kita perlu sedar akan hakikat ini. Tidak mungkin kita dapat memperolehi seorang isteri yang sempurna di dunia ini kerana tidak ada manusia yang betul-betul sempurna bahkan diri kita juga tidak sunyi dari sebarang kekurangan. Sesungguhnya perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan kehidupan kita. Alangkah indah dan bahagianya apabila kita dapat menjadi pelengkap isteri kita dan begitu juga sebaliknya.

Ketiga : Sikap angkuh dalam diri.

Manusia sememangnya tidak dapat lari dari sifat ego dan angkuh. Disebabkan oleh sifat-sifat inilah suasana dalam kehidupan manusia sentiasa dingin dan huru-hara.  Begitu juga dalam rumahtangga. Suami kadangkala menjadi terlalu ego dan angkuh terhadap isterinya sendiri. Semua perkara mestilah mengikut kehendak dan kemahuannya sahaja walaupun sebenarnya dia telah menyusahkan isterinya. Sedarlah, bahawa isteri bukan dijadikan sebagai hamba suami, yang diibaratkan seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Isteri itu adalah teman hidup yang halal bagi kita dan teman mestilah sentiasa berada di samping kita, bukan di belakang atau di bawah. Jika kita ditegur oleh isteri kerana kesilapan atau kesalahan, terimalah dengan hati yang terbuka demi kebahagiaan rumahtangga kita. Contohilah Rasulullah SAW yang merupakan seorang suami yang terbaik dan wajib menjadi ikutan kita dalam membentuk sebuah rumahtangga yang harmoni.

Betapa intimnya Baginda SAW melayani para isterinya perlu kita teladani bersama untuk mendapat reda Allah SWT. Mari kita renungi satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah, Saidatuna Aisyah RA pernah berkata  yang bermaksud:

“Aku pernah mandi bersama Rasulullah SAW dari satu bekas mandian di antara kami berdua, maka Rasulullah SAW mendahuluiku sewaktu mengambil air sehingga aku berkata, “Biarkan aku dulu, Biarkan aku dulu ”. Aisyah bercerita: Ketika itu, mereka berdua dalam keadaan berjunub.”

Melayani isteri tidak bermaksud hanya menunaikan apa yang diminta, tetapi suami perlu menilai dari sudut keutamaannya di sisi agama dan bukan mengikut tuntutan hati dan perasaan semata-mata. Bukankah pepatah arab ada menyebut  yang memberi maksud:

“Jika kamu mahu mengeratkan hubungan dengan isteri, maka bergurau sendalah dengan mereka seperti melayani kanak-kanak perempuan, dan kanak-kanak itu tabiatnya seperti wanita”.

Kesimpulan yang boleh kita ambil melalui khutbah pada hari ini ialah:

5. Kesimpulan

­ Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Ruum ayat 21:

6. Pasangan Dunia Akhirat- surah Ar-Ruum ayat 21

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 11, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: