JANGAN JADIKAN JALAN RAYA ‘SUNGAI DARAH’


Jangan Jadi Jalan Raya Sungei Darah-inside

Setiap kali menjelang perayaan kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan banyak nyawa, harta benda dan trauma sanak saudara. Tetapi semuanya itu tidak memberikan kesan dalam mengubah sikap kita untuk mengelakkan tragedi tersebut berulang.

Bahkan setiap tahun perangkaan kemalangan maut sehingga menjadikan ‘pusara di lebuh raya’ dan ‘jalan sungai darah’ tidak pernah berkurangan secara drastik. Ia seolah-olah menggambarkan masyarakat Malaysia hanya insaf seketika apabila dalam kesedihan tetapi kemudian ia dilupakan begitu saja sehingga kesalahan sama diulangi oleh orang lain.

Melihat kepada perangkaan kemalangan maut sejak 2003 hingga 2011 sejumlah 58,352 kematian, iaitu 2011 – 6,877 kematian, 2009 (6.872), 2008 (6,257), 2007 (6,282), 2006 (6,287), 2005 (6,188), 2004 (6,228) dan 2003 (6,286). Secara puratanya, 19 kematian akibat kemalangan maut berlaku setiap hari.

Lebih mendukacitakan lebih separuh mereka yang mati ialah dalam kategori umur 18 hingga 40 tahun, yang mana dari sudut ekonomi merupakan kumpulan yang produktif menyumbang pendapatan keluarga dan negara.

Berasaskan kajian, punca utama kemalangan adalah sikap pemandu dan pengguna jalan raya yang tidak sayangkan ‘nyawa’ kerana mahu menguji kecanggihan teknologi kenderaan yang semakin maju. Keadaan ini didorong oleh pelbagai gimik pemasaran produk kononnya peralatan canggih itu mampu memberikan keselamatan maksimum menerusi pelbagai ujian saintifik walaupun realitinya ia tidak memberikan jaminan bahawa kehilangan nyawa tidak berlaku.

Penghasilan kenderaan moden dengan kerangka yang lebih ringan dan semakin melimpah ciri-ciri aerodinamik dan kapasiti enjin yang lebih tinggi menyebabkan pemandu semacam terasa dirinya terhina bila memandu perlahan. Para pengeluar kenderaan pula menggunakan ‘kegilaan manusia terhadap kelajuan’ sebagai sebahagian daripada mesej periklanan mereka kerana boleh memecut laju dan boleh membelok dengan cepat walaupun dalam keadaan permukaan jalan yang berbukit-bukau menjadikan ia dorongan utama kenapa ‘kelajuan itu membunuh’.

Saban tahun kerajaan membelanjakan wang besar untuk mendidik pemandu agar lebih berhati-hati ketika memandu, memandu dengan selamat dan tanpa dipengaruhi alkohol, membuat pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan balik kampung dan mengerahkan penguatkuasaan di jalan raya agar tidak dijadikan ‘medan perang’, tetapi ia masih tidak mampu mengurangkan kemalangan maut.

Dalam hubungan kelalaian manusia yang dikatakan punca kemalangan jalan raya memang ia dianggap sebagai satu takdir. Namun takdir berlakunya kemalangan jalan raya itu disebabkan oleh kecuaian dan sikap buruk kita. Sikap seperti ini pada pandangan agama sebagai ‘tahlukah’ (menuju kebinasaan). Sikap tidak mempedulikan keselamatan diri dan orang lain kerana akhirnya ia membawa kepada kebinasaan.

Mengenai sikap sedemikian, Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan berlaku baiklah sesungguhnya Allah SWT sukakan orang yang melakukan kebaikan” (Surah al-Baqarah ayat 195).

Memang benar takdir ditentukan Allah, tetapi kita tidak harus memahami takdir dalam pengertian segala sesuatu telah ditetapkan perincian kejadiannya oleh Allah, sehingga manusia tidak dapat mengelaknya. Takdir adalah ketentuan terhadap sesuatu berdasarkan sistem yang ditetapkan-Nya. Siapa bersandar di tembok yang rapuh akan ditimpa runtuhannya, dan siapa yang menjauhi tembok itu akan terselamat.

Salah satu usaha tersebut adalah doa. Justeru kita dapat berkata bahawa ada ketetapan-Nya yang telah pasti dan ada pula yang bersyarat. Siapa tahu salah satu syarat itu adalah doa, sehingga apa yang diperolehi mereka yang berdoa, sudah tentu berbeza dengan apa yang dialami oleh mereka yang tidak berdoa.

Memandu laju tanpa menghiraukan peraturan dan undang-undang jalan raya sekiranya berlaku kematian, maka kematian itu adalah sia-sia. Di sini kita perlu memahami konsep takdir yang sebenar kerana banyak salah faham berlaku di kalangan masyarakat yang menganggap takdir itu adalah kerja Allah SWT yang maha Esa tanpa sekutu dengan yang lain-lain.

Memang pada hakikatnya semua yang berlaku ini sama ada baik atau jahat sudah dalam pengetahuan ilmu Allah sejak dari azali lagi, sedangkan kita tahu ilmu-Nya tersebut bukan tugasnya menentukan sesuatu (baik atau buruk) kepada hamba-Nya. Manakala kehendak-Nya pula bertindak memilih selaras dengan kemahuan hamba-Nya. Justeru, balasan baik atau buruk hanya bergantung kepada pilihan hamba sendiri .

Manusia adalah kejadian-Nya yang terpilih, dijadikan lengkap dengan segala keperluannya sebagai tempat yang boleh melaksanakan arahan dan menerima perintah-Nya.

Kita juga tahu bahawa iradat (kehendak ketuhanan) itu akan berlaku menurut sunah-Nya yang diletakkan di dalam kejadian makhluk-Nya. Justeru, apabila Allah hendak menjadikan manusia, Dia tidak mengatakan jadilah kamu lalu kamu terus wujud lengkap dengan segala-galanya. Tetapi manusia akan dijadikan menurut proses peraturan-Nya, iaitu bermula dari mani kemudian bayi kepada remaja, dewasa dan seterusnya. Kita tidak boleh mengatakan segala apa yang berlaku itu tanpa ada sebab dan pendahuluannya. Dalam hal ini Umar r.a pernah mengatakan kita lari daripada qadar-Nya (yang buruk) kepada qadar-Nya (yang baik dan selamat). (Hadis riwayat Bukhari).

Demikianlah makna qadar bukan bererti Allah mencabut kemahuan dan pilihan daripada seseorang, sebab dia sendiri boleh berusaha mengubah sikap sombong, mementingkan diri serta cuai ketika memandu. Kita selalu diperdengarkan firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa (nasib) yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa (sikap) yang ada pada diri mereka.” (ar-Ra’d: 11)

Apabila berada di jalan raya terutama di hari-hari perayaan ini kita diingatkan supaya memastikan segalanya berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Agama menuntut kita agar jangan terlalu gembira sehingga hilang tumpuan untuk sampai ke destinasi. Sekiranya kita berasa letih dan mengantuk hendaklah berhenti rehat dan buatlah sedikit senaman ringan.

Sebagai umat Islam, sebelum memulakan perjalanan kita digalakkan berdoa. Doa yang diajarkan kepada kita antara lain ialah ‘subhana llazi sakhara lana haza wama kunna lahu muqrinin wainna ila rabbina lamunqalibun’.

Menurut kata setengah ulama sesiapa yang membaca doa ini ketika hendak berlepas dari satu tempat, dia pasti akan dikembalikan ke tempat itu dengan selamat. Insya-Allah.

Biarlah musim perayaan pada tahun ini kita kuatkan azam tidak akan terjebak dengan sebarang bentuk kemalangan sama ada kemalangan maut di jalan raya ataupun kebakaran kerana ia membuktikan bahawa kesalahan besar adalah kerana sikap kita sendiri.

Kita terlalu mengambil mudah dan tidak berusaha mengawal emosi sehingga kita lupa bahawa kemalangan itu menyebabkan kita trauma. Kita harus memahami bahawa punca sebenar sesuatu kemalangan adalah disebabkan kecuaian kita sendiri manakala faktor-faktor di luar kawalan kita jauh lebih kecil yang menjadi penyebabnya.

4. Jangan Jadi Jalan Raya Sungei Darah - inside 1

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 14, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: