MULAKAN LEMBARAN BARU KEHIDUPAN


Mulakan Lembaran Baru Kehidupan-1

RASULULLAH SAW bersabda: Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan di dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang kesusahan, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan akhirat”. (riwayat Imam Muslim)

Bantu membantu adalah sifat mulia yang digalakkan dalam agama Islam. Bukan sahaja tindakan itu berlaku dalam kalangan sesama agama tetapi meliputi rakan-rakan berlainan agama.

Oleh demikian, Islam mengesyorkan amalan murni itu dipraktikkan agar masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan berkasih sayang antara satu sama lain.

Hal berkenaan berkaitan dengan Hari Memperingati AIDS yang diadakan minggu ketiga dalam bulan Mei setiap tahun bagi mengenang kembali para penghidap penyakit itu yang telah meninggal dunia.

Maka dengan itu, Yayasan PT dengan kerjasama Majlis Aids Malaysia dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengadakan program Gotong-Royong Kubur 2013 bertempat di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program itu merupakan acara tahun Yayasan PT diadakan sejak lima tahun lalu bertujuan untuk memperkukuhkan jaringan dan usahasama dalam kalangan komuniti penghidap HIV dan masyarakat yang terjejas dengannya dengan institusi agama iaitu Jawi dan media.

Bagi Yayasan PT sendiri, ia juga memberi kesedaran dan motivasi kepada penghidap HIV agar tidak berputus asa untuk meneruskan hidup secara positif selain mengeratkan hubungan antara mereka dengan para sukarelawan.

Pengarah Program Kanannya, Yusmar Yusof berkata, pokok utama acara itu adalah untuk menepis stigma buruk masyarakat terhadap penghidap HIV. Tambahnya, tanggapan negatif terhadap mereka telah menyebabkan golongan berkenaan tersisih.

Jelas beliau, antara tujuan Yayasan PT diwujudkan adalah untuk menolong mereka melalui pelbagai bantuan sama ada daripada segi material dan motivasi termasuklah menganjurkan program seperti itu.

“Kerjasama para sukarelawan amat diperlukan bagi membimbing dan memberi semangat kepada penghidap-penghidap HIV untuk meneruskan kehidupan mereka seperti normal.

“Bermula pada 2007 sehingga pada hari ini, acara gotong-royong membersihkan kubur ini diadakan pada setiap tahun dengan melibatkan hampir 60 sukarelawan dan para penghidap HIV tanpa mengira agama dan bangsa,” kata Yusmar.

Hari Memperingati AIDS

Dalam pada itu, Yusmar memberitahu selain menganjurkan program gotong-royong membersih kubur, antara aktiviti lain turut diadakan adalah majlis membaca Yasin dan tahlil, khutbah bersempena Hari Memperingati AIDS, acara keagamaan mengikut kepercayaan masing-masing dan lain-lain.

Jelas beliau, istimewa pada tahun ini, Hari Memperingati Aids di Malaysia bertemakan perpaduan bagi mengajak masyarakat bersatu-padu tanpa mengira kaum dan agama, khususnya dalam membantu memberi kesedaran berhubung HIV.

Yusmar memberitahu, bermula daripada penganjuran acara itu, sedikit sebanyak ia memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap penularan wabak HIV selain mengajak mereka untuk menghulurkan bantuan kepada para penghidap HIV.

“Bermula daripada aspek pendidikan dan pelbagai lagi, Yayasan PT telah banyak membantu mereka selain mendidik generasi muda berhubung penularan HIV supaya tidak terjebak dengan penyakit berkenaan,” ujar beliau.

Bantu penghidap AIDS

Hasil stigma negatif masyarakat terhadap penghidap AIDS, masalah itu telah menyukarkan mereka mendapat pekerjaan sekali gus memberi kesan terhadap periuk nasi.

Hal demikian berlaku menurut Yusmar kerana kurangnya pendidikan dalam kalangan masyarakat berhubung penularan wabak HIV.

“AIDS/HIV tidak boleh merebak dengan pergaulan sesama manusia melainkan hubungan seks dan perkongsian jarum.

“Tanggapan itu telah menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan lalu membebankan untuk meneruskan kehidupan. Akhirnya, mereka mula melakukan kerja-kerja yang bertentang dengan norma-norma manusia,” tambah beliau.

Di atas kesedaran itu, Yayasan PT menangani masalah tersebut dengan membantu mereka dalam menubuhkan pusat maklumat pekerjaan.

“Walaupun ditawarkan kerja yang tidak setanding kelayakan akademik dimiliki, tetapi mereka bersyukur kerana ia sedikit sebanyak membantu mereka bagi meneruskan kehidupan,” jelas Yusmar.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 16, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: