TANGAN KANAN YANG MENGHULUR


Tangan Kanan Yang Menghulur-Inside

Sedekah adalah suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia. Dalam tradisi Islam, ia ada beberapa tahap seperti zakat, sedekah, derma dan hadiah.

Zakat adalah amalan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya.

Tuntutan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa kita yang bersedekah menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT demi untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredaan Allah SWT dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya.

Keutamaan bersedekah ini amat digalakkan oleh Islam dan telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud:

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Berdasarkan ayat ini kurniaan ganjaran sedekah memiliki pulangan yang tidak boleh dinilai harganya di dunia dan di akhirat. Ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT di dalam surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hambaNya, dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”

Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud:

 “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Apa yang dilakukan oleh ulama salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur. Namun daripada itu kita juga dibolehkan untuk menguar-uarkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah.

Ibnu Abil Ja’ad  berkata: “Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda.”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 21, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: