JAUHI DARIPADA BUDAYA MEMBINA DAN MENABUR PERSEPSI PALSU


Jauhi Daripada Budaya Membina dan Menabur Persepsi Palsu-inside

Apabila pemimpin pembangkang dihadapkan dengan persoalan undang-undang, dengan mudahnya mereka menuduh kerajaan menindas atau zalim dan kerajaan berpegang kepada undang-undang yang bersifat “draconian“. Membina persepsi dengan cara yang salah itu akhirnya menjerat imej pakatan pembangkang, kerana kepimpinan mereka semakin tidak dipercayai.

Kekuatan yang mereka miliki pada peringkat awal telah menimbulkan kebencian awam, termasuk usaha para pengundi untuk mengemukakan saman apabila terlalu banyak janji tidak ditepati.

Dalam konteks politik, seseorang yang hanya tahu berjanji dan tidak menunaikan janji adalah termasuk dalam senarai mereka yang zalim. Seorang Muslim yang baik adalah mereka yang sedar akan kezaliman diri sendiri dan tidak lalai memohon kepada Allah SWT secara berterusan agar mengampuninya, juga tidak melemparkan tuduhan kepada orang lain. Inilah akhlak yang sebenarnya telah menjadi doa bagi setiap orang Islam sejak dahulu hingga sekarang.

Pada pandangan Islam, perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang itu melampaui batasan akidah dan peraturan kehidupan yang ditetapkan, maka tindakan itu dianggap zalim. Menurut al-Quran, ciri-ciri kezaliman ialah dengan mendustakan atau menduakan Allah SWT ataupun yang mengingkari dua kalimah syahadat yang dituntut sebagai asas utama bagi menentukan sama ada beriman atau kufurnya seseorang itu. Tegas kitab suci, jika seseorang itu mendustakan Allah SWT, ia adalah manusia yang zalim. Ini dijelaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang amat besar.” (Surah Luqman: 13)

Ciri kedua, sesuatu perbuatan atau tindakan itu dikatakan zalim kerana ia terkeluar daripada prinsip-prinsip kemanusiaan. Oleh yang demikian itu, amatlah dikesali sekiranya konsep kezaliman ini disalahertikan sehingga sanggup pula menuduh mereka yang menjalankan tanggungjawab sosial dan keamanan sebagai zalim.

Sebenarnya golongan yang melemparkan tuduhan itulah yang lebih zalim. Mereka gemar menganjurkan sesuatu perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang ramai melalui kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan hakikat sebenar. Tindakan kerajaan menghalang sesiapa jua yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan orang lain tidak bermakna tindakan itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan. Ini kerana, hakikatnya aspek kemanusiaan telah pun diambil kira kerajaan dalam menggubal sesuatu undang-undang.

Kisah jurai keturunan kita Nabi Adam a.s dan Hawa yang disebut di dalam al-Quran dapat dijadikan petunjuk tentang konsep kezaliman menurut Islam. Tindakan Nabi Adam a.s menghampiri dan memakan buah terlarang itu telah memberi pengertian zalim di sisi Islam. Begitu juga Firaun kerana mendustakan Allah SWT dan tidak mempercayai kewujudan-Nya, maka disahkan ia sebagai orang yang zalim.

Dengan membuat atau melemparkan tuduhan bahawa seseorang itu berlaku zalim terhadap orang lain menunjukkan sikap ego si penuduh itu sendiri. Dalam Islam, cara yang sesuai dilakukan ialah mengiktiraf dan menginsafi diri sendiri sebagai zalim dan tidak boleh seseorang itu membuat tuduhan kepada orang lain.

Pendek kata, ukuran kezaliman dan keadilan yang diyakini oleh golongan ini terletak pada kepuasan kehendak nafsu dan kepentingan diri sendiri sahaja, bukan keperluan atau kepentingan ajaran Islam. Islam mengakui bahawa tidak menjadi suatu kesalahan jika mana-mana sistem pentadbiran cuba menyekat beberapa kehendak manusia yang bukan bersifat asasi, tetapi ia lebih merupakan kehendak nafsu. Islam menuntut manusia mengawal nafsu kerana tindakan yang dipengaruhi nafsu itu adalah perbuatan yang didorong oleh syaitan.

Oleh itu, golongan ini sepatutnya menjadikan ajaran dan syariat Islam sebagai cermin yang dapat mendidik peribadi agar tidak menzalimi diri sendiri, juga tidak menzalimi orang lain dengan lemparan demi lemparan tuduhan yang tidak berasas dari segi moral, apatah lagi dari segi agama yang suci ini.

Dalam makna kemanusiaan, melakukan kebaikan dan mengajak manusia untuk membentuk nilai hidup yang aman, sejahtera dan saling mesra, adalah satu tindakan yang tepat, kerana Islam adalah cara hidup yang baik, aman dan sejahtera.

Setiap manusia diberikan kelebihan akal. Dari akal itulah manusia diharapkan dapat melakukan kebaikan. Dengan kebijaksanaan akal juga manusia boleh membina persepsi yang lebih baik kerana boleh memikirkan sama ada ia fakta atau auta.

Allah SWT memerintahkan manusia supaya lebih berhati-hati (hadzr) kerana azab yang bakal menimpa tidak hanya kepada mereka yang melakukan kezaliman, orang yang dizalimi juga akan ditimpa azab yang sama. Azab mungkin diturunkan dalam bentuk bencana, seperti banjir besar, ribut ataupun tanah runtuh yang bukan sahaja memusnahkan harta benda bahkan kematian yang dahsyat.

Orang yang melakukan kezaliman sentiasa mempertahankan pendapatnya sahajalah yang betul dan benar. Oleh kerana terlalu mempertahankan keyakinan dan keputusan akalnya itulah menjadikan mereka termasuk dalam golongan orang yang sombong. Orang yang sombong, sentiasa melihat kebaikan orang lain sebagai sesuatu yang buruk, salah dan tidak bijaksana.

Dalam al-Quran, sifat-sifat mereka yang zalim meliputi: menyembah selain Allah (Al-Baqarah: 165 dan Huud:101); menurut hawa nafsu dan mengkhianati orang lain (al-Maaidah:47); angkuh dan sombong (al-Kahfi:35); mengecam dan mencemuh orang lain (al-Anbiyaa:13); dan, sering melakukan penafian atau mengeluarkan dakwaan secara auta (al-Ankabut:46).

Budaya pemimpin pembangkang yang sentiasa menyembunyikan kebaikan kerajaan dengan memperbesar-besarkan kesilapan sehingga menyebabkan rakyat resah, gelisah dan marah secara berlebihan juga termasuk dalam perbuatan zalim. Dalam satu hadisnya Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Takutlah kalian akan kezaliman kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari Kiamat.” (Riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdullah).

Apa yang penting bagi kita ialah menyusun dan merancang agenda hidup yang lebih baik. Kita perlu hayati secara menyeluruh dan mendalam, nahi munkar dan amar makruf, kerana di situlah sebenarnya terletak sempadan antara kezaliman dan keadilan, untuk diri kita, keluarga, masyarakat dan negara.

Advertisements

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 25, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: