PENGHULU SEGALA HARI


Penghulu Segala Hari

Hari Jumaat merupakan hari yang amat istimewa bagi kaum muslimin. Hari yang penuh dengan kelebihan dan keutamaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Bersyukurlah kita kerana kemuliaan hari jumaat ini hanya dikhususkan kepada umat nabi Muhammad SAW. Pada hari yang mulia inilah, Nabi Adam AS diciptakan, dimasukkan ke dalam syurga, dikeluarkan darinya dan diwafatkan. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan pensyariatan solat Jumaat ke atas kaum muslimin secara berjemaah. Kemuliaan hari Jumaat menawarkan ganjaran yang besar kepada umat Islam. Di antara perkara-perkara sunat yang dianjurkan pada hari ini ialah mandi sunat Jumaat, memakai wangi-wangian dan berpakaian bersih dan kemas untuk hadir ke Masjid. Kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan berselawat kepada Rasulullah SAW sebagaimana diterangkan melalui sebuah hadis, yang diriwayakan oleh Imam Abu Daud Rahimahullah daripada Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:

“Sesungguhnya hari yang paling mulia adalah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada hari tersebut.”

Selain daripada itu, kita juga digalakkan untuk membaca surah al-Kahfi, bagi meraih fadhilat dan keistimewaannya sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi Rahimahullah daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA, yang berbunyi:

“Barangsiapa yang membaca surah Al-Kahfi pada malam Jumaat, Allah SWT akan menerangi untuknya sebuah cahaya antara dirinya dan Al-Bait Al-‘Atîq (Kaabah).”

Para ulama’ telah menggariskan beberapa adab-adab untuk mendapatkan kesempurnaan solat Jumaat berdasarkan sunnah Rasulullah SAW, antaranya ialah:

Pertama: Datang awal ke masjid

Bersegera hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat adalah adab yang amat dituntut. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim Rahimahullah daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

 “Sesiapa yang mandi di hari Jumaat dengan mandi yang sempurna lalu menuju ke masjid maka dia mendapat ganjaran pahala seperti orang menyempurnakan korban seekor unta, sesiapa yang pergi pada waktu kedua dia seperti menyempurnakan korban seekor lembu, sesiapa yang pergi pada waktu ketiga dia seperti menyempurnakan korban seekor kambing, sesiapa yang pergi pada waktu keempat dia seperti menyempurnakan korban seekor ayam, sesiapa yang pergi pada waktu kelima dia seperti mempersembahkan korban sebiji telur. Apabila imam keluar untuk berkhutbah, para malaikat akan berhenti mencatat untuk turut sama mendengar khutbah.”

Para jemaah disarankan untuk mendapatkan saf-saf yang pertama atau saf yang paling hadapan. Disunatkan juga untuk mengerjakan solat sunat tahiyatul masjid sebelum duduk lalu berniat iktikaf, membaca Al-Qur’an, dan berzikir. Semua amalan ini dijanjikan ganjaran hebat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Salman al-Farisi RA, sabda Rasulullah SAW, bermaksud:

“Sesiapa yang mandi di hari Jumaat dan membersihkan dirinya sebaik mungkin lalu dia berminyak atau memakai haruman lantas menuju ke masjid sedang dia tiada menguak bahu-bahu dan melangkah jemaah lain, lalu bersolat tahiyatul masjid kemudian ketika imam keluar untuk berkhutbah dia diam dan mendengar maka akan diampunkan dosanya di antara dua Jumaat.”

Kedua: Memberi tumpuan ketika khatib berkhutbah

Rebutlah peluang dan kelebihan solat jumaat dengan diam dan mendengar khutbah yang disampaikan dengan khusyuk. Jadikanlah khutbah sebagai medan tazkirah untuk bermuhasabah di samping meningkatkan keimanan kepada Allah SWT. Jika apa yang disampaikan oleh khatib terkena pada diri kita, terimalah teguran dan nasihat itu dengan hati terbuka.

Ingatlah, meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat Jumaat hukumnya adalah wajib ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini pasti akan mengundang kemurkaanNya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Ini bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud Rahimahullah daripada Abi al-Ja’di Al-Dhamri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang meninggalkan tiga kali jumaat kerana meringan-ringankannya, maka Allah SWT akan menutup pintu hatinya”

Namun realitinya pada hari ini, apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir jemaah tidak memberikan tumpuan ketika khatib berkhutbah. Mereka dengan biadap dan selamba berbual-bual dan tidak menghormati khutbah yang disampaikan. Malah ada di kalangan mereka yang sibuk dengan telefon, menghantar mesej, berfacebook, melayari internet, tidak kurang juga yang tidur dan berkhayal ketika khatib berkhutbah. Ini adalah sikap yang lagha dan mengurangkan pahala jumaat. Sikap sebeginilah perlu diubah. Sewajarnya khutbah yang disampaikan sebagai nasihat dan pedoman setiap minggu hendaklah didengar, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Renungilah firman Allah SWT ini di dalam Surah al-Jumu’ah ayat 9:

Penghulu Segala Hari-Inside 1

Bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.”

Ayat di atas jelas menunjukkan larangan Allah SWT terhadap umat Islam yang melakukan urusan jual beli ketika mana azan Jumaat telah dikumandangkan. Mutakhir ini, perkara ini masih berlaku bilamana para penjual gerai-gerai di tepi masjid tanpa segan silu, berjual beli kepada jemaah. Demi mendapat keuntungan semata-mata, mereka sanggup melakukan perkara yang jelas pengharamannya. Mereka seolah-olah tidak menghormati khatib berkhutbah. Wahai para peniaga dan pembeli, hentikanlah aktiviti perniagaan sebaik azan dilaungkan dan sambunglah semula urusan tersebut setelah selesai solat nanti. Semoga dengan kepatuhan kita kepada syariat akan mendapat keberkatan perniagaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Khatib percaya, anda mampu mengubahnya!

Kesimpulannya:

Pertama: Bersegeralah untuk hadir ke Masjid dan Surau bagi memastikan kita dapat mendengar khutbah Jumaat yang merupakan tazkirah mingguan kepada kaum muslimin.

Kedua: Tinggalkanlah segala bentuk urusan jual beli bilamana azan Jumaat berkumandang kerana larangan ini adalah jelas di dalam Al-Quran.

Ketiga: Pastikanlah segala adab di hari Jumaat diamalkan untuk meraih ganjaran yang dijanjikan.

Bayangkanlah..dengan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang wujud di negara ini, umat Islam mampu menunaikan solat jumaat dalam kedaan yang sempurna. Ini dikukuhkan pula dengan komitmen pihak pemerintah yang telah membina masjid di seluruh negara demi memperjuang dan menegakkan syiar Islam. Inilah nikmat yang harus kita syukuri dan wajib kita mempertahankannya.

Firman Allah SWT di dalam surah Surah Al-Jumu’ah ayat 10 :

Penghulu Segala Hari-Inside 2

Bermaksud :

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 26, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: