USAH BIAR SYIRIK MEMBARAH DALAM MASYARAKAT


USAH BIAR SYIRIK MEMBARAH DALAM MASYARAKAT

Perbuatan syirik antara dosa besar yang diharamkan Allah SWT. Syirik ialah menyekutukan Allah sama ada menerusi perkataan, pegangan, perbuatan dan iktikad yang membawa maksud menyembah atau menyamakan Allah dengan yang lain.

Apabila seseorang menyatakan Tuhan banyak dan berbilang juga dianggap syirik. Banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah menjelaskan bahaya syirik.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 7)

Firman-Nya lagi yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepada-Nya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dosa syirik.” (Surah an-Nisa, ayat 48)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa paling besar?
Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda Baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada ibu bapa (ketika itu Baginda bersandar dan kemudian duduk). Sabda Baginda lagi: Perkataan dan penyaksian palsu.”
Syirik dibahagikan kepada syirik khafi (tersembunyi) dan jali (terang dan nyata). Syirik jali ialah syirik terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang dianggap jatuh ke tahap kufur.

Syirik ini boleh berlaku dalam tiga keadaan iaitu melalui i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah SWT, perbuatan seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan, bintang atau objek tertentu dan melalui lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram serta mengaku keluar daripada Islam.

Syirik khafi ialah syirik kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala. Syirik ini banyak berkaitan dengan perbuatan riak dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara ini disebutkan dalam firman-Nya bermaksud: “Siapa yang berharap untuk bertemu Allah (di hari akhirat), maka hendaklah dia melakukan amal soleh dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu dalam ibadatnya.” (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya sahabat apakah yang dimaksudkan syirik kecil. Rasulullah menjawab, syirik kecil ialah riak dalam beramal.

Termasuk juga perkara yang boleh menjatuhkan akidah seperti ajaran sesat, menghina al-Quran, menyembah syaitan, pengakuan sebagai nabi dan rasul kepada orang Melayu, fahaman sekularisme, pluralisme, Islam liberal, Qadiani, ajaran batiniah, ajaran tasauf atau tarikat yang sesat dan antihadis.

Semua ini berlaku di Malaysia dan pencegahan daripada fahaman ini berleluasa perlu ditangani supaya tidak menjadi lebih buruk serta mengancam kestabilan akidah orang Islam. Beberapa faktor dikenal pasti kenapa orang Islam mudah terjebak dalam penyelewengan akidah.

Antaranya, jahil, pengaruh dan dorongan kawan, mereka yang ghairah mencari ketenangan jiwa dengan jalan pintas, lemah iman dan mudah terpengaruh dengan keajaiban sesuatu perkara, ingin mengubat penyakit, kesilapan memahami asas akidah, faktor kekayaan dan pengaruh seseorang.

Beberapa langkah mesti dilakukan bagi mengelak terus membarah termasuk pelaksanaan undang-undang Islam secara menyeluruh, memperbanyakkan penerangan bahaya syirik melalui siri seminar, ceramah dan bengkel.

Memperbanyakkan tulisan sama ada buku, artikel, blog dan web dalam memberi kefahaman akidah yang betul kepada masyarakat. Anggota masyarakat mesti didedahkan bahaya syirik supaya dapat membezakan pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

Memperbanyakkan program kefahaman dan pemantapan akidah kepada semua peringkat umur dengan kepelbagaian modul sesuai selain penekanan kepada kefahaman tauhid di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.

Semua cadangan ini memerlukan kepada perancangan dan pelaksanaan yang baik supaya unsur menyalahi akidah dapat dibanteras dalam masyarakat. Ini bagi mengelakkan daripada membawa amalan kosong ketika mengadap Allah di Padang Mahsyar.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Mei 27, 2013.

Satu Respons to “USAH BIAR SYIRIK MEMBARAH DALAM MASYARAKAT”

  1. Reblogged this on @fisabillillah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: