Amalan Biasa Seharian Belum Cukup Untuk Tingkat Kualiti Iman

Umat Islam perlu sensitif dan bertindak bijak menangani tindakan segelintir masyarakat yang menjadikan hukum Allah sebagai bahan eksploitasi di pentas syarahan dan media untuk mendapat keuntungan dunia.

Sebagai mukmin, kita bertanggungjawab memelihara, mempromosi dan mempertahankan setiap inci ajaran agama suci ini. Perlu disedari sikap tidak peduli umat Islam bukan saja akan merosakkan diri sendiri, malah dari segi dakwah khususnya amat merugikan Islam.

Islam mengambil berat memperbetulkan pegangan akidah umatnya supaya pandangan dan sikap mereka menjadi lurus dan tasawwur mengenai sesuatu perkara menjadi jelas.  Jangan mengikut contoh umat jahiliah dulu yang menganggap bahawa iman sekadar mengumumkan identiti diri dan melahirkan perbuatan baik. Hakikat iman ialah paduan antara keyakinan di hati mengenai dasar akidah dengan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan tegahan-Nya.  Ini bermakna kepercayaan tanpa diikuti dengan amal ibadah atau tanpa meninggalkan maksiat, maka belum dikira sempurna iman.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman ialah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang yang benar.”
(Surah al-Hujurat, ayat 15)

Ayat ini mengisyaratkan kualiti iman boleh diukur dan dinilai melalui amalan seharian. Banyak dan berkualiti amal salih seseorang itu, maka tinggilah kualiti iman dimiliki dan begitulah sebaliknya.  Oleh itu, iman sebenar adalah penjana kekuatan dan kecemerlangan ummah.

Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya, tetapi hendaklah melalui saluran dibenarkan syarak.  Cinta yang utama adalah kepada Allah, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya.  Cinta berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaNya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat.

Justeru, umat Islam diseru memperkasakan akidah diri, keluarga dan masyarakat demi masa depan agama, ummah dan negara dengan langkah berikut:

  • Ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak dididik dengan akidah yang benar dan dihayati;
  • Umat Islam khususnya remaja dilarang meniru amalan atau budaya kaum musyrik;
  • Menanam rasa cinta dan kasih sayang kepada Allah dan rasul-Nya;
  • Menjauhi aktiviti bebas dengan pasangan bukan mahram dalam menyambut majlis tertentu; dan
  • Meninggalkan sambutan atau perayaan yang tiada dalam syariat Islam.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan jika penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan.”
(Surah al-A’raf, ayat 96)

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim
Sumber: Isu Akidah/Bh Online


 
%d bloggers like this: