Insan bertaqarrub dijanji ganjaran, kedudukan mulia

SEMUA orang berkeinginan berjaya dalam setiap bidang diceburi. Cuma bentuk kejayaan itu saja berbeza. Kejayaan seorang peniaga ialah memiliki perniagaan maju, kejayaan seorang petani ialah mendapat hasil tuaian banyak dan berkualiti, kejayaan pemimpin dapat membawa orang yang dipimpin mencapai kejayaan.

Dalam mengejar kejayaan perlu mempunyai sifat positif dalam diri seperti rajin berusaha, berdisiplin, kuat semangat, sentiasa beribadat dan mempunyai sikap inginkan kejayaan cemerlang yang menebal.

Taqarrub bermaksud mendekatkan diri kepada Allah dengan sentiasa berbakti dan beramal salih tanpa rasa malas. Allah amat menyayangi dan memuliakan orang sentiasa bertaqarrub kepada-Nya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya. Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan pentingnya hubungan antara makhluk dengan Khaliqnya. Makhluk itu adalah hamba kepada Khaliqnya, manakala Khaliq pula adalah tuan kepada makhluk. Sebagai hamba, ia sepatutnya patuh dan taat kepada perintah tuannya iaitu Allah. Jika si hamba itu patut dan taat setia, nescaya Allah akan menyayangi dan memuliakannya.

Jelaslah Allah amat mencintai setiap hamba-Nya yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah-Nya iaitu dengan mengerjakan semua amalan wajib, malah ditambah pula dengan bertaqarrub iaitu memperbanyak amalan dianjurkan syariat Islam. Orang mukmin sebegini amat dicintai Allah serta diangkatkan kedudukan mereka di sisi-Nya sehingga mereka sentiasa berada di bawah naungan dan pemeliharaan-Nya.

Sebenarnya dalam mendekatkan diri kepada Allah, seseorang itu hendaklah melakukannya secara berperingkat. Ia semestinya dimulai dengan mengerjakan amalan wajib iaitu fardu ain mahupun fardu kifayah kemudian barulah diikuti amalan sunat.

Hal ini samalah seperti orang yang berhutang, sudah tentu ia wajib membayar hutangnya terlebih dulu sebelum ia memberi derma atau sedekah. Amalan sunat adalah amalan sukarela daripada segala macam ibadat zahir seperti membaca al-Quran. Membaca al-Quran ini dikira setinggi-tinggi darjat taqarrub kepada Allah yang boleh dilakukan manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada sesuatu taqarrub yang dikerjakan oleh hamba Allah terhadap Tuhannya, seperti apa yang keluar dari mulutnya (iaitu membaca al-Quran).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Hadis ini menjelaskan membaca al-Quran itu akan mengangkat manusia ke darjat yang tinggi di sisi Allah kerana ia dianggap sebagai taqarrub kepada-Nya. Selain itu, al-Quran adalah kalam Allah yang menerangi hidup manusia dan memancarkan nur Ilahi ke dalam hatinya.

Saidina Usman bin Affan menyatakan, orang yang tidak membaca al-Quran itu hatinya masih kotor. Jika hati itu bersih dan suci, nescaya ia tidak akan merasa puas membaca al-Quran. Sebab itu juga, ketika beliau mati dibunuh oleh pemberontak, beliau sedang membaca al-Quran, sehinggakan darahnya mengalir di atas lembaran al-Quran itu.

Selain membaca al-Quran, kita juga boleh bertaqarrub dengan berzikir kepada Allah. Ini bertepatan hadis diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal katanya, “Aku bertanya Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, beritahulah kepada aku amalan utama yang boleh mendekatkanku kepada Allah. Baginda menjawab: Hendaklah ketika engkau hendak mati, lisanmu lembut dengan zikrullah.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

Memang zikrullah itu suatu amal sangat dituntut syariat Islam yang tidak sepatutnya ditinggalkan oleh Muslim sejati. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka ingatlah Aku (berzikir) supaya Aku mengingatimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 152)

Selain dua amalan di atas, kita juga boleh bertaqarrub kepada Allah dengan mengerjakan solat dan puasa sunat. Kedua-dua amalan ini sangat digemari orang salih kerana ia adalah tambahan kepada ibadat wajib.

Jelas Allah amat menyayangi mereka yang sentiasa mengingati dan mendekati-Nya dalam apa juga dilakukan. Akhirnya mereka menjadi pilihan Allah untuk diberi ganjaran dan kedudukan mulia sebagai seorang cemerlang.

Ini menepati firman Allah yang bermaksud: “Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan-Nya. Dan mereka (yang ingkar) bergembira dengan kehidupan dunia, sedangkan kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.” (Surah al-Ra‘ad, ayat 26)


 
%d bloggers like this: