Taranum tumpu aspek sebutan huruf, tajwid dalam al-Quran


KELAS taranum yang dibimbing Mustafa di surau NSTP.

UMAT Islam memang dituntut untuk membaca al-Quran dengan baik dan suara merdu. Bacaan al-Quran secara berlagu atau ilmu taranum adalah antara cabang ilmu yang jika dikuasai memberi kelebihan kepada seseorang untuk membaca ayat suci dengan berlagu.

Pada masa sama, ia juga meningkatkan kefahaman berkaitan ilmu membaca al-Quran kerana taranum bukan sekadar belajar bagaimana hendak membaca secara berlagu tetapi turut memberi penekanan kepada aspek penting seperti sebutan huruf serta ilmu tajwid yang tepat.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bukan semua boleh membaca al-Quran dengan alunan yang merdu mengikut lagu kerana ilmu taranum memerlukan minat serta kesungguhan seperti biasa ditunjukkan qari serta qariah Majlis Tilawah al-Quran sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Imam Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur yang juga bekas johan qari Wilayah Persekutuan 2001, Mustafa Awaluddin berkata, selain minat mempelajari ilmu taranum juga memerlukan kesabaran tinggi.

Katanya, taranum yang merangkumi ilmu teori serta latihan amali mengenai cara bacaan yang pelbagai boleh memberi cabaran dan hanya minat mendalam serta kesungguhan mampu mendorong seseorang menguasai ilmu berkenaan.

“Justeru, minat ini yang perlu kita beri perhatian terutama di kalangan generasi muda supaya mereka mendalami ilmu taranum. Banyak kelebihan bagi mereka yang mendalami ilmu ini kerana dapat menikmati keindahan ayat suci al-Quran.

“Ilmu taranum juga membolehkan kita membaca al-Quran dengan ciri bacaan yang baik, memelihara hukum tajwid serta kawalan suara,” katanya selepas mengendalikan Kursus Taranum al-Quran dan Berzanji anjuran Jabatan Agama The New Straits Times Press (NSTP).

Kursus yang diadakan setiap Selasa itu adalah antara program dianjurkan Jabatan Agama NSTP bertujuan memberi pendedahan kepada kakitangan mengenai ilmu asas membaca al-Quran secara berlagu.

Mustafa berkata, usaha Jabatan Agama NSTP menganjurkan kursus itu bukan saja menjadi landasan memperkenalkan ilmu taranum malah dapat membantu meningkatkan kefahaman mengenai ilmu al-Quran yang menjadi mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Beliau berkata, ilmu taranum biasanya dipelajari bagi mereka yang menyertai tilawah al-Quran bagaimanapun umum digalakkan mempelajarinya supaya usaha meningkatkan martabat ilmu al-Quran tidak pupus.

Pada masa sama, beliau menyarankan ibu bapa supaya menggalakkan anak mereka mempelajari ilmu taranum dari kecil supaya mereka bukan saja mampu membaca al-Quran tetapi membacanya dengan alunan suara serta lagu yang merdu.

“Selain minta, sokongan serta galakan ibu bapa juga penting. Lebih baik jika ibu bapa turut bersama mempelajari ilmu ini bersama anak mereka. Ini juga dapat mengubah persepsi bahawa taranum hanya untuk mereka yang menyertai tilawah saja,” katanya.

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim, Mutiara Islam
Sumber: Surau SNTP, Shah Alam


 
%d bloggers like this: