Tiga Perkara Jadikan Hidup Sempurna

SEBAGAI manusia sering diuji dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seperti sakit, kesusahan hidup dan kematian, ketabahan manusia menghadapi ujian Allah banyak bergantung kepada keimanan seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, “Kamu sekalian Kami uji dengan keadaan serba ketakutan, lapar dan serba kekurangan, baik mengenai harta, jiwa, mahupun mengenai hasil tanaman, dan buah-buahan, gembiralah orang yang sabar, tidak ditimpa sesuatu musibah, mereka (berserah diri kepada Allah) dengan mengucapkan: kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali.” (Al-Baqarah: 156).

Ayat ini jelas menunjukkan kehidupan manusia itu sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian ini bertujuan melihat kesabaran pada hamba-Nya.

Firman Allah bermaksud, “Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sesungguhnya takwa.” (Surah Ali Imran:102).

Selanjutnya Allah berfirman bermaksud, “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar (dari segala kesukaran) dan diberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (Riwayat Surah Ath Thalaq:2-3).

Setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.

Kehidupan jangan tersasar dan mesti mengikut Rasulullah SAW dalam segala bidang. Baik yang berhubung dengan Allah mahupun berhubungan dengan sesama manusia. Hal ini sesuai dengan firman Allah bermaksud, “Tidak ada manusia yang paling mulia di sisi Allah melainkan yang benar-benar takwa kepada Allah.” (Al-Hujarat:13)

Dalam hal kesabaran Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya bermaksud, “Sabar yang sebenarnya pada saat bermula tertimpa musibah.” (Riwayat Al Bukhari).

Sementara Hukamak pernah berkata, “Apabila seseorang itu reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, maka dia akan menjadi orang terkaya di dunia.” Oleh itu, reda dan sabar adalah kekuatan yang ada dalam diri seseorang dalam menghadapi ujian dan musibah.

Seterusnya, Nabi SAW bersabda bermaksud, “Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan kepada seorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar.” (Riwayat Al-Hakim).

Ada pepatah mengatakan kesempurnaan hidup terletak pada tiga perkara, iaitu pandai menahan hati dalam menjunjung agama, sabar ketika ditimpa musibah dan pandai mengatur belanja.

Sementara itu, ahli Tasauf Hassan Basri menyatakan, “Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu. Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama. Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya.”

Sifat sabar sangat penting dalam kehidupan. Kata-kata ini boleh dijadikan renungan “Sabar terhadap teman yang menyakitkan lebih baik daripada mencacinya. Mencaci adalah lebih daripada memutuskan silaturahim dan memutuskan silaturahim adalah lebih baik daripada berkelahi”.

Dalam kehidupan tidak ada seorang pun yang terlepas daripada kesedihan dan tidak seorang manusia pun yang terhindar daripada kesusahan. Oleh itu, bersabar menghadapi musibah.

Dr Aidh Abdullah Al-Qarni mengatakan, “Setiap musibah yang menimpa dirimu misalnya kesedihan, kesusahan, kelaparan, kemiskinan, penyakit, hutang dan musibah lain, Allah akan memberi pahalanya kepada anda jika anda bersabar.”

Percayalah dunia ini adalah tempat ujian dan cubaan. Semuanya ini adalah ke arah mencari reda Allah. Oleh itu, kita digalakkan meminta pertolongan hanya kepada Allah.

Sebagai ibu bapa, seseorang itu mesti bersabar menghadapi kerenah anak yang sedang membesar. Semua kebahagiaan terletak pada kesabaran ibu bapa yang menentukan sama ada bahagia atau sebaliknya dalam rumah tangga.

Dalam kehidupan, kita tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Sesungguhnya, sifat sabar dapat memaafkan kesalahan orang lain dan juga tabah menjadikan hati tenang, fikiran dan perasaan sanggup menahan penderitaan dihadapi dalam kehidupan penuh pancaroba.

Advertisements

 
%d bloggers like this: