Institusi Keluarga Harus Berpandu Ciri-Ciri Islam

KERUNTUHAN rumah tangga boleh berlaku kepada semua pasangan berkeluarga. Ia tidak terbatas kepada kalangan orang yang tidak mempunyai didikan agama malah mereka yang mendapat pendidikan agama juga sering kali terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan umat Islam sering berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain. Namun, sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita. Perkara itu dapat dilihat daripada hadis Rasulullah SAW menerangkan pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.

Umpamanya, Rasulullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud: “Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara itu, janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik.”

bahtera-kasih

Sabda itu menjelaskan tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara menyimpang dan keji diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.

Oleh itu, melayani isteri dengan cara terbaik dituntut Islam. Jangan hanya melakukan perbuatan baik kepada orang lain saja tetapi lebih utama kepada keluarga sendiri. Wanita dijadikan Allah daripada tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai kesan besar.

bahtera-kasih-1

Tulang rusuk itu sebenarnya terlalu hampir dengan hati. Oleh itu wanita hendak sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan daripada kepala untuk dijunjung atau dipuja lelaki, mereka juga tidak dijadikan daripada kaki untuk dipijak atau dihina lelaki.

Inilah kedudukan istimewa wanita yang dimartabatkan Islam. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya.”

Selain itu, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah.” Jelaslah daripada dua hadis itu ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari suami. Sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.

Kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada suami, namun kuasa itu hendaklah ditadbirkan secara adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan kehendak isteri. Jika kuasa itu tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri.

Dalam Islam, apabila suatu keistimewaan diberikan kepada seseorang ia sebenarnya disertakan dengan tanggungjawab. Keistimewaan diberikan lebih besar sebenarnya tanggungjawab yang dibebankan kepada seseorang.

bahtera-kasih-3

bahtera-kasih-4

Walaupun suami dibebankan dengan tanggungjawab, isteri juga tidak lepas daripada peranan yang perlu dijalankan dalam sesebuah keluarga. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang suami mengajak isterinya ke katilnya (untuk disetubuhi) lalu isteri menolak dan suami marah terhadap isterinya, maka malaikat melaknat isteri hingga ke pagi.”

Alangkah indahnya jika hubungan antara suami isteri yang dijelaskan hadis itu dijadikan teras kepada akhlak yang digaris Rasulullah SAW. Islam menganjurkan perbuatan baik kepada isteri dan ahli keluarga sama ada dengan memberi layanan baik ataupun menggembirakan hati mereka dengan memenuhi hasrat munasabah mengikut kemampuan suami.

bahtera-kasih-5

Suami juga hendaklah tidak kedekut membelanjakan wangnya untuk kebajikan isteri dan anak. Ini dapat dilihat daripada kisah Hindun yang mengadu kepada Rasulullah terhadap suaminya Abu Sufyan yang mempunyai harta tetapi kedekut.

Hindun mencuri sebahagian harta Abu Sufyan untuk keperluan dirinya. Rasulullah SAW membenarkan Hindun mengambil harta Abu Sufyan walaupun tanpa pengetahuan Abu Sufyan dengan kadar yang munasabah.

Cerita itu boleh dijadikan pengajaran, hubungan suci suami isteri ini perlu berasaskan hukum syarak dan meletakkan piawaian terbaik bagi mengemudi bahtera rumah tangga supaya apabila dilanda badai dan ombak ia tetap utuh.

bahtera-kasih-6

bahtera-kasih-7

Justeru, membina rumah tangga sering dijadikan perbandingan dengan membina masjid. Meruntuhkan rumah tangga sama seperti meruntuhkan masjid. Meruntuhkan masjid mempunyai implikasi besar kepada umat Islam kerana masjid yang makmur menggambarkan umat Islam yang bersatu dan berteraskan kepada syariah Islam.

Kemunculan golongan yang memperjuangkan kesamarataan antara lelaki dan wanita sebenarnya adalah diakibatkan kegagalan suami melaksanakan tanggungjawab mereka. Secara hipotetikal, jika semua suami melaksanakan tanggungjawab menurut hukum syarak sudah pasti golongan aktivis wanita tidak wujud.

Semangat dan falsafah hadis di atas sebenarnya diolah kembali dan digubal dalam Undang-Undang Keluarga Islam dan Undang-Undang Jenayah Syariah. Undang-undang itu memperuntukkan tanggungjawab dan peranan perlu dimainkan suami isteri.

Ia juga menggariskan kesalahan yang boleh dihukum seperti cuai terhadap isteri, nusyuz, ingkar perintah mahkamah dan lain-lain. Namun undang-undang dan mahkamah hendaklah dijadikan jalan terakhir penyelesaian kemelut rumah tangga. Didikan dan kesedaran mengenai hak dan tanggungjawab adalah lebih utama berbanding aspek hukuman.


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim
Penerbit Mutiara Islam




 
%d bloggers like this: