Hak Wanita Berteras Al-Quran, Sunnah Lebih Utuh


001b2

PEMBABITAN wanita dalam kerjaya dimonopoli lelaki termasuk bidang ketenteraan mampu mengangkat imej wanita dan mengelakkan diskriminasi.

HAK asasi adalah perkataan yang sinonim dengan kebebasan hidup untuk melakukan apa saja, hatta melanggari prinsip, etika, norma, undang-undang dan hukum.

Tetapi umat Islam perlu memahami hak ini dalam konteks lebih berpaksikan agama dan mengakui hakikat kehambaan dan keesaan Ilahi serta kemampuan manusia yang terbatas.

Sebab itulah hak yang dikurniakan Allah kepada manusia bukan hak mutlak sebaliknya terbatas dengan beberapa syarat yang perlu dituruti.

Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna manusia tidak mendapat kebebasan asasi dalam konteks kehidupan di dunia, tetapi ia bertujuan menjaga akidah, keamanan dan kemajuan serta menjamin kesudahan lebih baik di akhirat kelak.

Walaupun agama mengiktiraf hak asasi manusia lama sebelum ia didokumenkan, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan dan menerima pakai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) sejak 10 Disember 1948 berasaskan empat tonggak, iaitu kebebasan daripada ketakutan, kemahuan, bersuara serta kepercayaan yang merangkumi perkara sivil, politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan.

Malaysia memperakui semua peruntukan dalam UDHR ini selagi tidak bertentangan dengan peruntukan kebebasan asasi dalam Perlembagaan Persekutuan negara seperti termaktub dalam seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Akta 597):

“Bagi maksud Akta ini, perhatian hendaklah diberikan kepada Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Beberapa cendekiawan Islam terkemuka sudah mengkaji dan mendokumenkan hak asasi yang berteraskan al-Quran dan sunnah dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Oleh Majlis Islam Sedunia yang menjadi rujukan dunia Islam dalam peruntukan undang-undang di negara masing-masing termasuklah soal kesamarataan antara lelaki dan wanita serta larangan terhadap diskriminasi yang tidak diizinkan.

Pada 1979, Konvensyen Berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) iaitu undang-undang yang wajar bagi melindungi hak asasi wanita dibawa ke Perhimpunan Umum PBB dan penggunaannya berkuat kuasa pada 3 September 1981.

Sementara penerimaannya di Malaysia adalah pada 5 Julai 1995 dengan beberapa penilaian terhadap peruntukan yang bercanggah dengan hukum syarak dan perlembagaan negara.

Pada zaman jahiliah, wanita adalah golongan ‘yang lain’ iaitu yang tidak setara dengan lelaki, malah dianggap sebagai objek menjadi pemuas nafsu semata-mata yang diciptakan sebagai hidangan penyegar di dunia.

Wanita juga dianggap pembawa sial, boleh dikongsi dan bukan hak milik peribadi selain boleh dijual beli.

Sebab itulah kelahiran bayi perempuan amat memalukan ibu bapa, lalu anak yang baru lahir ditanam hidup-hidup.

Mujur Rasulullah SAW diutuskan membawa cahaya yang menerangi kehidupan wanita, sehingga diberi kedudukan setaraf, mulia dan terhormat seperti lelaki, melainkan dalam hal membabitkan fitrah penciptaan lelaki dan wanita yang tidak boleh disamakan.

Hingga hari ini dunia melihat wanita dalam banyak hal sudah menandingi lelaki sama ada dalam bidang akademik, pengurusan, pentadbiran, ekonomi, politik dan sebagainya.

Jika Rasulullah SAW adalah orang yang pertama memperjuangkan hak wanita di dunia sejajar kehendak wahyu, ramai pula yang meremehkan wanita sehingga menjadi mangsa diskriminasi bahkan ada kalanya wanita sendiri yang meletakkan diri mereka serendah-rendahnya dengan memperjudikan akhlak, sahsiah serta mempersoalkan hukum-hakam ditetapkan ke atas mereka dengan alasan diskriminasi.

Sebagai makhluk ciptaan Allah yang fitrahnya lemah lembut, penuh keibuan dan emosi serta lebih banyak nafsu daripada akal, maka wajarlah wanita dipelihara dan dilindungi oleh lelaki, bukannya diperkosa, diperlekeh, dibunuh sesuka hati, dipermainkan tanpa rasa malu serta bersalah sebagai makhluk ciptaan yang gagah dan kuat.

Perkasa Adam adalah untuk membantu wanita, bukan untuk menyeksa mereka.

Tambahan pula kewujudan lelaki dan wanita bertujuan untuk melengkapi antara satu sama lain, jika tidak ia tidak bermakna sama sekali untuk mempunyai dua jantina berbeza dalam alam milik Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Akuilah kesucian Allah, Tuhan yang mencipta makhluk semuanya berpasangan sama ada daripada yang ditumbuhkan oleh bumi atau daripada diri mereka ataupun daripada apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya.” (Surah Yaasin, ayat 36)

Bukan wanita saja yang melengkapi lelaki, tetapi sebaliknya kedua-dua saling melengkapi antara satu sama lain.

Oleh itu, tiada beza penciptaan lelaki dan wanita dari segi hierarkinya melainkan fitrah penciptaan wanita yang menjadikan mereka bukan pelindung tetapi yang dilindungi, bukan ketua tetapi pengikut, bukan suami tetapi isteri dan bukan ayah tetapi ibu yang melahirkan anak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya antara sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.”

Justeru, hak yang diberikan ke atas semua makhluk Allah berserta batasnya adalah terpakai kepada wanita juga seperti hak untuk hidup, kebebasan, kesamarataan, keadilan, perlindungan, pendidikan, memiliki harta dan sebagainya dalam kehidupan.

Wawasan, gagasan dan seruan negara direalisasikan melalui pelbagai suara supaya wanita dihormati dan dipelihara dengan melindungi mereka, menyempurnakan tanggungjawab serta membahagiakan mereka, sama ada mereka seorang ibu, isteri, anak mahupun pekerja dan rakyat jelata.

Tidak sukar membahagiakan wanita walaupun kebahagiaan wanita adalah asas untuk membahagiakan negara.

Jika Allah tidak membezakan antara lelaki dan wanita dalam janji-Nya untuk memberi ganjaran (dosa dan pahala) dalam setiap amal dilakukan, mengapa pula sesama manusia wanita dipandang sebelah mata?

Dengan pengiktirafan Islam dan dunia ke atas wanita, maka tidak perlu lagi ada sebarang bentuk diskriminasi berlaku dan wanita juga perlu diingatkan supaya jangan mendiskriminasikan diri sendiri hanya kerana lahir sebagai seorang wanita.

Oleh Nik Salida Nik Saleh
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Malaysia (USIM)

Disunting Oleh: Lokman Mohd Hashim


 
%d bloggers like this: