Wanita Filipina Tertarik Dengan Solat

3

Ibadat solat menarik minat Melissa Perez kepada Islam.


BERBICARA soal agama, wanita kelahiran Filipina, Melissa Perez, selama ini hanya mengetahui bahawa di dunia ini, cuma satu agama sahaja yang wujud, iaitu agama Kristian.

Tidak seorang pun daripada ahli keluarganya tahu tentang kewujudan agama Islam. Sebabnya mereka tidak pernah terdedah, apa lagi diajarkan mengenai agama tersebut.

Malah akui Melissa, agama-agama lain tidak sehebat atau setanding dengan agama anutan yang diwarisi sejak turun temurun itu. Baginya, orang Islam itu adalah pembunuh kerana mereka sanggup menyembelih orang yang di sekeliling mereka apabila mereka marah. Itulah yang difahami Melissa menerusi cerita-cerita yang disampaikan oleh ibunya.

Ditambah pula, di tempat dia dibesarkan, jarang kelihatan orang Islam bergaul dengan orang Kristian. Malah kebiasaannya orang Kristian tidak ada yang berjiran mahupun berkawan dengan orang Islam.

Boleh dikatakan tidak wujud satu hubungan di antara dua agama ini, sebab itulah masing-masing mempunyai komuniti mereka tersendiri. Sehingga kini pun, kata Melissa, orang Islam asyik berperang dan bertelagah dengan kerajaan Filipina mendesak agar diberikan satu wilayah yang merdeka untuk mereka mentadbirnya sendiri.

Melissa dilahirkan dalam keluarga yang kuat kepatuhan dan pengamal setia tradisi Katholik. Hakikatnya keseluruhan keluarganya sejak generasi ke generasi malah jiran dan sahabatnya adalah mereka yang seagama.

Sungguhpun mereka percaya dengan satu tuhan, tetapi ‘Tuhan Yang Satu’ itu ada ketikanya dipanggil Nabi Isa dan pada masa yang lain juga di panggil Bapa. Ia agak mengelirukan Melissa.

Sedari muda, Melissa sudah belajar hidup berdikari. Kehidupannya pada masa itu, amat perit dan penuh pancaroba. Ditambah dengan perceraian ibu bapanya, Melissa dan ibu terpaksa menumpang di rumah saudara mara.

Keperitan hidup itulah menjadikan Melissa seorang gadis yang tabah sehinggakan pada usianya 18 tahun dia bersama ibunya sanggup bekerja di luar negara dengan matlamat memiliki rumah sendiri di Filipina, suatu hari nanti. Berkat usaha dan tidak kenal putus asa, akhirnya, pada usia 23 tahun impian dua beranak ini tercapai jua.

Menceritakan pengalaman bergelar perantau, Melissa mengakui sejak mencari rezeki di negara orang, dia mula terdedah dengan pelbagai budaya, tradisi, kepercayaan dan perbezaan cara hidup serta membina kenalan baru. Semuanya ternyata jauh berbeza dengan cara bagaimana dia dibesarkan.

Ketika di negeri orang inilah Melissa menjalani kehidupan yang serba bebas sehingga membawa kepada perlakuan maksiat dan melakukan dosa.

Pun begitu, pada usia 29 tahun, Melissa berhasrat memulakan hidup berkeluarga. Perkenalan dengan seorang lelaki dari Mesir menerusi Internet telah membina bibit-bibit cinta antara mereka.

Berborak menerusi laman sembang hanya berlarutan selama dua bulan sebelum Melissa mengambil keputusan terbang ke Mesir untuk bertemu dengan jejaka yang mencuri hatinya itu. Kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Melissa akhirnya menerima lamaran si jejaka.

Pada peringkat awal perkahwinan, dia agak bingung dengan ikatan kerana berbeza agama. Bagaimana harus dihadapi situasi ini?

“Namun apabila diyakinkan bahawa mereka boleh bersatu, saya terima pandangan suami. Bagaimanakah reaksi keluarga? Sekali lagi saya di dalam dilema, apa lagi bila mereka mengetahui yang saya berkahwin dengan pemuda Islam yang baru dikenali dua bulan.

“Saya ini jenis yang tidak akan berpatah balik apabila sudah membuat keputusan. Jadi, walau apa yang menghalang, saya tetap dengan keputusan yang dibuat. Saya percaya tuhan sentiasa bersama saya kerana selama ini kepada-Nya saya berserah.

“Saya berkahwin di Mesir dan kemudian kami berpindah ke Hong Kong untuk memulakan kehidupan baru. Pada awal penghijrahan, suami mengalami kejutan budaya memandangkan itulah pengalaman pertama keluar dari tanah kelahiran,” kongsi Melissa di laman web IslamOnline.net.

Oleh kerana sudah terbiasa menghadirkan diri ke gereja pada setiap Ahad, Melissa pernah mengajak suaminya ikut serta. Suaminya tidak keberatan malah pernah juga membantunya dengan aktiviti gereja.

Pernah suatu ketika, suami Melissa memberitahu yang dia hendak kembali mempraktikkan agama Islam yang selama ini menjadi pegangan dan kepercayaannya. Dia mula belajar dan mempraktikkan ajaran Islam. Dia mula sembahyang dan berpuasa.

Itulah pertama kali dalam hidupnya Melissa memerhatikan cara umat Islam mengagungkan tuhan mereka. Pada masa yang sama, suaminya mula mengikuti kelas-kelas pengajian Islam, memperbanyakan membaca berkaitan Islam dan ilmu yang diperoleh itu dipanjangkan kepada Melissa.

“Pada awalnya saya meluat mendengarnya kerana saya lebih agungkan Nabi Isa. Namun apabila saya mengetahui bahawa orang Islam juga mencintai Nabi Isa, saya mula belajar tentang Islam dan seterusnya memperoleh banyak maklumat mengenai ajaran Islam.

“Apa yang begitu menyentuh saya ialah melihat umat Islam solat terutamanya ketika sujud. Ia bagaikan menyedarkan saya bahawa itulah cara yang betul menunjukkan ketaatan kepada Allah iaitu dengan rukuk dan sujud. Itulah sewajarnya hak Allah.

“Saya teringin melakukan solat sedemikian rupa tetapi masih tidak yakin untuk bertukar kepada agama Islam. Ketika kami pulang ke Filipina, saya ada ajukan pertanyaan kepada suami bolehkah dia bersolat bersama tanpa perlu menjadi Muslim?,” katanya lagi.

Solat

Akui Melissa, setelah beberapa kali solat cara orang Islam, dia menyukainya cuma agak keberatan apabila mengetahui ia wajib dilaksanakan lima kali sehari selain melaksanakan amalan wajib yang lain. Bab bertudung juga menjadi satu hal yang membebankan Melissa. Apa lagi, dia tidak mengetahui langsung siapakah pula gerangannya Nabi Muhammad itu.

Melissa diberitahu oleh suaminya bahawa dia boleh belajar secara perlahan-lahan. Tidak perlu memaksa diri mempelajari semuanya dalam tempoh sehari semalam. Malah dia juga tidak bertudung selagi belum bersedia serta mengetahui hikmah di sebaliknya.

Walaupun suami Melissa tidak mendesaknya agar segera bersyahadah, namun dia sentiasa berpesan kepadanya jangan melengah-lengahkan perkara yang baik kerana kita tidak tahu bila nyawa diambil Tuhan.

“Pada suatu hari saya mendegar ceramah agama bertajuk ‘Matlamat Kehidupan’ oleh Sheikh Khalid Yasin. Satu persoalan yang dikemukakan penceramah iaitu mengapa kita tidak boleh mengakui Allah dan Muhammad adalah pesuruh-Nya. Adakah kita angkuh atau bongkak?” kata Melissa.

Sebaik mendengar ungkapan di atas, hati Melissa terbuka untuk bergelar Muslim dan tidak mahu dianggap seorang yang bersifat bongkak. Akhirnya, selepas tamat mendengar rakaman ceramah itu, Melissa mengucap dua kalimah syahadah.

Pembelajaran Melissa mengenai Islam berterusan sehingga sekarang. Hakikatnya, tidak ada penghujung dalam kita menuntut ilmu. Bak kata pepatah Arab, “Carilah ilmu dari dalam buaian hinggalah ke liang lahat”.

Membaca buku

Sebaik diri bergelar Muslim, Melissa ada membaca buku karangan Abdul Malik LeBlanc berjudul, The Bible Led Me To Islam. Buku itu memberinya inspirasi dan membuka minda bahawa Allah itu Esa dan Nabi Isa itu adalah salah seorang rasul Allah.

Malah buku kecil yang berjudul The Gift of Muhammad, sentiasa menjadi ilham dan penunjuk untuk mengenali Baginda SAW. Sepotong kata-kata Baginda yang berbunyi Jika engkau datang kepadaku berjalan, aku akan datang kepadanya berlari. (riwayat Bukhari) Menakjubkan bukan?

Bila menyentuh kewajipan menutup aurat terutamanya dalam pemakaian tudung, Melissa mengakui ia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi setelah 30 tahun selesa dengan pakaian moden dan mengikut trend. Paling merisaukan Melissa ialah tanggapan dan pandangan kenalan apabila perubahannya berpakaian.

Namun, apabila menyoal kembali Allah atau orang? Jawapannya tentu Allah. Sejak itu dia tekad bertudung bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah yang telah mengkabulkan segala yang saya pohon selama ini.

Alhamdulillah, beberapa bulan selepas melafazkan syahadah, kurniaan Allah tidak putus-putus apabila dapat berpeluang mengerjakan haji di Mekah. Berada di sana mengukuhkan lagi kepercayaannya kepada Allah dan Melissa tahu bahawa dia berada di landasan yang betul serta diredai Allah.

“Tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan kegembiraan di hati ini. Malah sebaik melangkahkan kaki ke masjid suci, Masjidil Haram dan menyaksikan Kaabah, air mata kegembiraan mengalir laju. Saya berasa cukup tenang saat itu.

“Hari demi hari, kehidupan saya terus berubah kepada lebih baik. Akhirnya saya temui ketenangan yang dicari selama ini,” jelasnya.


 
%d bloggers like this: