Amal Jariah Mengembirakan Umat Islam Gaza

picture31Kita sedia maklum bahawa semua umat Islam diseluruh dunia adalah bersaudara kerana Islam adalah agama persaudaraan. Tali persaudaraannya diikat kuat oleh persamaan akidah. Dengan demikian apabila umat Islam di negara atau kawasan tertentu ditimpa malapetaka atau dizalimi, maka akan timbul perasaan atau keinginan untuk membantu meringankan penderitaan mereka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:

Maksudnya:

“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”.

Budaya persaudaraan yang berasaskan akidah ini telah berjaya menegakkan negara Islam Madinah. Sejarah mencatatkan hebatnya tahap persaudaraan di kalangan Ansar dan Muhajirin yang ditindas, hingga dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai kepada saudaranya dari golongan Muhajirin. Mereka yang memiliki dua buah rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin manakala mereka yang mempunyai dua bidang tanah, diwakafkan sebidang kepada Muhajirin.

Golongan berada di zaman itu memberikan sumbangan besar kepada perkembangan Islam dan ummah. Besarnya sumbangan sesetengah mereka, umpama Saidina Abu Bakar yang telah mendermakan seluruh hartanya untuk Islam dan ummah tiada bandingannya. Ketika Rasulullah SAW bertanya Saidina Abu Bakar, apakah yang beliau tinggalkan untuk keluarganya, beliau menjawab, tiada apa-apa melainkan Allah dan RasulNya sahaja. Demikianlah tingginya tahap pengorbanan dan kasih sayang yang dihayati oleh umat Islam terdahulu.

Kini saudara kita di Palestin benar-benar memerlukan pembelaan. Mereka kehilangan keluarga, rumahtangga, kemusnahan hartabenda, sekolah, hospital dan sebagainya. Semenanjung Gaza kini memerlukan berbilion ringgit untuk dibangunkan semula. Sebagai saudara seakidah dan atas sifat peri kemanusiaan, maka kita berkewajiban terus menerus membantu mereka. Persaudaraan sesama Islam akan terbukti apabila kita turut merasa susah, sedih dan bersedia membantu, bilamana saudara kita sakit, susah dan menderita.

Imam Muslim dan Ahmad telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Mafhumnya:

Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam”.

Kepada warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai taraf hidup dan latar belakang sosial yang membela saudara kita di Palestin, sama ada melalui protes, bantahan, derma atau bantuan sukarelawan, maka Minda Penerbit kali ini amat menghargainya dan mengharapkan agar pembelaan tersebut akan menjadi amal jariah yang akan dapat dikecapi pahalanya di akhirat nanti.  Sedarilah bahawa segala bantuan dan derma yang kita sumbangkan akan menjadi amal jariah yang berpanjangan. Mengapa tidak, dari sumbangan inilah insya’Allah akan tertegaknya sekolah, universiti, hospital, elektrik, paip air, rumah-rumah saudara seagama kita yang telah kehilangan segala-galanya.

amal-jariah-1Rasulullah S.A.W. ada mengingatkan kita dalam sebuah hadithnya, betapa besarnya manfaat yang diperolehi daripada sedekah atau derma yang kita berikan kepada golongan yang memerlukan sehingga pahalanya berterusan sekalipun kita telah meninggal dunia.

amal-jariah-2

Sabda baginda S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Mafhumnya:

“Apabila manusia meninggal dunia, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah yang sentiasa mengalir, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya”.

Demikian juga dalam surah al-Baqarah ayat 261, Allah S.W.T . melipat gandakan pahala ke atas orang yang menderma kepada saudaranya yang susah. “Bandingannya dengan sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Ada pun sifat yang mementingkan diri, tidak ambil peduli dengan penderitaan orang lain, maka Allah SWT memberikan ancaman dengan pembalasan seksa yang amat ngeri”.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Ali Imran ayat 180, Yang Bermaksud:

“Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui akan segala apa yang kamu kerjakan”.

Justeru itu, Minda Penerbit menyeru umat Islam memperbanyakkan amal jariah kerana:

Pertama:

  • Beramal jariah adalah tanda keimanan seseorang;

Kedua:

  • Beramal jariah merapatkan tali persaudaraan dan menggembirakan ummah;

Ketiga:

  • Beramal jariah menghapuskan dosa;

Keempat:

  • Beramal jariah tidak memiskinkan seseorang malah menambahkan rezeki;

Kelima:

  • Beramal jariah adalah mewarisi amalan para Rasul, Nabi dan orang-orang soleh.

“Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan”.

Akhir sekali, saya menyudahi siri kali ini dengan menyeru agar semua umat Islam bersatu untuk menenggakkan siar Islam yang diajari oleh Rasullullah SAW semoga kita menjadi umat yang bertakwa kepada Allah SWT dengan hati yang mulia kepadaNya.



 
%d bloggers like this: