RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRA’ MIKRAJ


Israk & Mikraj Cover Page

Sempena dengan sambutan Peristiwa Isra’ Mikraj yang jatuh pada setiap 27 Rejab setiap tahun, Minda Penerbit Siri ke 24 kali ini menengahkan tajuk “RAHSIA KEBERSIHAN JIWA DALAM ISRA’ MIKRAJ” sebagai satu panduan kepada muslimin muslimat sekalian semoga mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT didunia dan akhirat.

Menurut sebahagian ulama, Peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT.

Israk & Mikraj 1

Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1 yang bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani  pembedahan dada yang dilakukan  oleh Malaikat Jibril  untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja.

Israk & Mikraj 2

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa amalan luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin,  Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat lima waktu secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Israk & Mikraj 3

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain  menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT.

Israk & Mikraj 4

Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia.

Salah satu pengajaran penting dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian kalbu ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji.  Justeru dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk  berkomunikasi secara khusuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Israk & Mikraj 5

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati atau kalbu kita atau kalbu manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Sabda Rasulullah SAW, Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan bersih, tetapi kedua ibubapanyalah yang akan menentukan nasib agama anaknya”.

Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam kalbunya. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam kalbu manusia. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian kalbu telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak  asasi manusia.

Israk & Mikraj 6

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi kalbu kita supaya kalbu kita terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Minda Penerbit ingin mengingatkan bahawa ketahuilah kalbu kita adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila rata-rata manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Israk & Mikraj 7

Selari dengan sunnah Rasulullah SAW, maka dengan rasa tanggungjawab Minda Penerbit menyeru para pembaca sekalian, walaupun dalam keadaan sibuk sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar kalbu dan jiwa muslimin muslimat sekalian menjadi kembali bersih.

Israk & Mikraj 8

Mengakhiri penulisan ini, Minda Penerbit menyeru kepada semua muslimin dan muslimat supaya melipatgandakan penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, hají, melaksanakan ibadah sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Israk & Mikraj 9

Firman Allah SWT dalam surah al-‘Ankabut, ayat 45 yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Qur’an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Oleh: Lokman Mohd Hashim, Penerbit Mutiara Islam Online

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Julai 19, 2009.