DEKAT DENGAN “ALLAH”


Dekat Dengan Allah

Kita sering mendengar kata-kata ‘dekat kepada Tuhan, ‘mendekati Tuhan’ dan sebagainya.  Kata ‘dekat’ adalah kata sifat. Semua kata sifat mempunyai makna relatif menurut keadaan orang yang mengucapkan dan mendengarkannya. Apabila seseorang mengatakan, “Saya dekat dengan si A”, mungkin yang dimaksudkan bahawa dia dan si A tinggal dalam satu tempat.

Begitu juga jika yang dimaksudkan itu bukan benda. Ucapan itu juga boleh membawa maksud intim atau sefahaman atau persahabatan yang erat meskipun tinggal berjauhan.

Mungkin seseorang merasa dekat dengan seseorang yang lain kerana berjiran atau satu tempat kerja atau seumpamanya. Tetapi dalam pada itu, seseorang itu tetap merasa berjauhan kerana berlainan agama atau berbeza pendapat.

Begitu juga dengan pengertian ‘dekat dengan Tuhan’. Ada dekat dengan pengertian yang umum dan ada pula dengan pengertian yang khusus. Dengan pengertian umum, sesiapa sahaja adalah dekat dengan Tuhan kerana Tuhan selalu dekat dengan sesiapa sahaja. Bahkan lebih dekat daripada urat leher manusia itu sendiri.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Qaf ayat ke 16 hingga 18 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Ingatlah dua malaikat pencatat amal perbuatan, satu duduk disebelah kanan dan satu lagi duduk disebelah kirinya. Tiada satu ucapan pun yang diucapkannya kecuali pasti ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa hadir.”

Dan dekat kepada Allah dalam pengertian khusus ialah selain kita beriman dengan Allah dan hari akhirat, kita harus mengingati, bersyukur dan beribadah kepada-Nya dan melakukan amal kebajikan serta menghindari segala kejahatan yang dilarang-Nya.

Tuhan yang menciptakan manusia adalah lebih dekat dengan manusia, lebih dekat lagi daripada urat leher manusia. Di samping itu, Tuhan memberikan tugas kepada dua malaikat yang pasti tahu benar akan apa sahaja yang kita lakukan dan mencatat segala perbuatan dan ucapan manusia sepanjang hidup mereka di dunia ini. Bahkan Tuhan amat mengetahui apa yang dibisikkan dan terlintas di dalam hati setiap manusia.

Apakah sebabnya Allah begitu keras dan teliti dalam mengawasi gerak geri jasmani dan rohani manusia? Ia adalah kerana manusia merupakan makhluk yang paling sempurna dan lengkap susunan jasmani dan rohaninya.

Memiliki akal dan hati serta nafsu. Untuk memenuhi keinginan atau nafsu, manusia boleh melakukan apa sahaja sama ada kebaikan ataupun kejahatan pada seseorang, masyarakat dan alam sekitar.

Allah mengetahui semua itu, berapa kebaikan yang yang dilakukan oleh manusia dan berapa pula kejahatan yang pernah dilakukan manusia semasa hayatnya. Setiap perbuatan baik dan jahat itu akan mendapat balasannya di hadapan allah di akhirat kelak, dihitung di dalam mahkamah Allah.

Segala perbuatan kita dicatit kerana ia untuk dijadikan sebagai dokumen yang akan menjadi saksi dan akan  dibacakan dan diperdengarkan supaya manusia yang sedang diadili tidak merasa dianiaya atau dirugikan.

Sebagai manusia, kita merupakan satu-satunya makhluk yang dilengkapi Allah dengan akal sehingga dapat membezakan baik dengan buruk. Dan adalah tanda yang nyata bahawa kita pasti akan dihidupkan kembali setelah hidup di dunia ini, untuk bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan kita.

Setiap kejadian ada hikmahnya. Maha Suci Allah, alangkah hebat, indah dan teraturnya alam ini, semuanya dengan peraturan yang begitu teliti sekali. Semua itu menunjukkan bahawa Allah itu Maha Bijaksana dan Maha Teliti.  Mustahil bagi Allah yang memberikan akal kepada manusia untuk membiarkan sahaja manusia melakukan segala kejahatan dengan akal dan ilmu pengetahuan manusia itu tanpa dicatat dan diawasi.

Bagaimanapun, masih ramai manusia yang tidak menyedari akan perkara ini pada hari ini.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di April 8, 2013.

Tinggalkan komen