MASJID IKHSANIAH ISKANDARIAH, MASJID TERTUA DIKUALA KANGSAR, PERAK.


1. Masjid Ikhsaniah Iskandariah

Masjid lama Kampung Kuala Dal terletak di Mukim Padang Rengas, daerah Kuala Kangsar perak. Masjid Lama Kampung Kuala Dal telah dibina oleh Sultan Iskandar Shah iaitu Sultan Perak ke 30 pada tahun 1936. Berdasarkan pahatan tulisan yang terdapat pada papan plag perasminan masjid, mengisahkan majlis perasmian telah diadakan pada hari Jumaat tanggal 10 Zulhijjah pada tahun 1356 Hijrah bersamaan dengan 11 Februari 1938 oleh Sultan Iskandar Syah.

Masjid ini telah dibina oleh Sultan Iskandar Syah pada masa itu bersempena menunaikan hajat baginda. Baginda Sultan telah berniat atau bernazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang daripada anakanda baginda telah sembuh dari gering. Lokasi Kampung Dal menjadi pilihan kerana baginda dan para pembesar serta kerabat Di Raja sering pergi berkelah di Lata Bubu iaitu kawasan perkelahan Di Raja yang berhampiran dengan kampung tersebut.

Di dalam perjalanan baginda sering melihat orang-orang kampung tersebut bersembahyang di madrasah yang telah usang. Maka lahirlah rasa belas kasihan baginda terhadap penduduk setempat, dengan itu masjid yang telah siap dibina itu dinamakan Masjid Ikhsaniah Iskandariah.

Masjid yang dibina dengan wang ihsan daripada Sultan Iskandar Syah itu menelan belanja sebanyak RM 8,000 dan telah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan secara lisan oleh seorang bangsawan iaitu Juragan Abdul Syukur bin Mohamad Ali.

Pembinaan masjid ini diketuai oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh orang-orang kampung tersebut secara bergotong-royong di dalam menyiapkan kerja-kerja mengayam dinding tepas atau kelarai dan ukiran kayu.

Tukang kayu mahir seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah adalah diantara Sembilan individu yang turut menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka semasa pembinaan masjid dijalankan. Masjid ini mempunyai ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan dikatakan daripada hasil ilham baginda Sultan Sendiri.

 Gambar ketika perasmian masjid oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah  pada 11 Februari 1938

Gambar ketika perasmian masjid oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah
pada 11 Februari 1938

Masjid ini dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras. Tingkat atas digunakan sebagai ruang bersolat. Terdapat ruang mihrab yang mengujur keluar mengadap kiblat. Tingkat bawah dijadikan ruang untuk aktiviti keagamaan masyarakat kampung seperti kelas mengaji Quran dan kenduri.

Bangunan ini disokong dengan lapan batang tiang daripada kayu ‘kempas’. Setiap tiang berlapikkan batu alas 50mm ( 1’6” ) yang dikonkritkan bersama lantai simen. Masjid yang berdindingkan panel-panel kelarai buluh dengan corak berlian atau rubus. Masyarakat tempatan menyebutkan corak ’tiga’ kerana terdapat tiga lingkaran kelarai. Dinding kelarai dikenali juga sebagai dinding tepas.

Setiap panel kelarai diperkukuhkan dengan palang kayu yang dihiasi corak ‘tampuk manggis’ daripada kayu dipersilangan palang. Pelan lantai berbentuk segiempat dan dinding dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut pembahagian tiang.

Di keempat-empat penjuru masjid terdapat seolah-olah empat menara terkeluar daripada dinding. Ruang- ruang yang terkeluar itu berbentuk segi empat tepat yang berukuran ( 3’ x 3’). Bumbung masjid ini berbentuk limas bungkus dengan bahan zink yang merupakan bahan yang esklusif pada masa itu.

Di tingkat atas dewan solat menggunakan tingkap labuh dengan dua daun pintu dan berpagar, untuk pengudaraan dan pencahayaan. Setiap tingkap berdaun dua dihiasi kerawang ukiran “tebuk terus tidak bersilat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang.

Semua ragam hias ini dibuat oleh penduduk tempatan. Penggunaan kayu silang atau corak jejala terdapat di bahagian atas dinding kelarai, manakala di atas tingkap terdapat ram kayu tetap (sisip angin) untuk pengudaraan. Keseluruhan bahagian siling adalah terdiri daripada papan. Di tingkat bawah, dinding panel kelarai diselang-selikan dengan tingkap dua daun.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras.

Bangunan masjid Kampung Dal telah berusia hampir 80 tahun. Bangunan ini telah terbiar dan tidak digunakan setelah masjid baru iaitu masjid al-Whidiah dibina bersebelahan dengannya pada sekitar 1980an. Kerosakan utama pada bangunan seperti struktur kayu bumbung reput dan patah, manakala tiang, gelegar dan papan lantai mengalami kerosakan seperti pereputan dan serangan anai-anai.

Panel dinding ini mengalami pereputan, bilah buluh pecah, cat luntur dan hampir semua panel ditumbuhi lumut dan kulat menyebabkan wajah atau rupa bangunan ini kelihatan begitu usang. Bukaan seperti pintu dan tingkap termasuk ukiran pada dinding juga telah patah, hilang dan reput .

Projek pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal bermula dari usaha penduduk kampung dan Ahli Jawatan Kuasa Masjid Al-Wahidiah yang ingin melihat masjid lama ini dapat dikekalkan dan diwariskan kepada generasi masa hadapan.
Terletak di Padang Rengas, Kuala Kangsar Perak, masjid ini mempunyai keistimewaan bukan sahaja dari segi bentuk bangunan dan seni bina malahan yang paling unik ialah bahan binaan yang menggunakan bahan-bahan semulajadi tempatan. Masjid ini dibina daripada buluh dengan anyaman kelarai yang cantik dan satu-satunya di Malaysia.
Pada Disember 2008, Jabatan Warisan Negara dibawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal. Projek pemuliharaan telah disiapkan sepenuhnya pada Ogos 2009. Pemuliharaan masjid ini merupakan satu usaha Jabatan Warisan Negara untuk melindungi dan memulihara khazanah warisan untuk tatapan generasi alaf globalisasi.
Pemuliharaan atau konservasi bermaksud kerja-kerja baik pulih dan perawatan ke atas bangunan bersejarah dari kerosakan dan kemusnahan. Tindakan kerja pemuliharaan adalah untuk memanjangkan hayat bangunan supaya nilai-nilai warisan sejarah bangunan dapat dikekalkan untuk bukti sejarah pada masa kini dan masa hadapan.

Tujuan pemuliharaan bangunan Masjid Lama Kampung Kuala Dal adalah untuk mengekalkan warisan sejarah dan seni bina negeri Perak. Keunikan bangunan yang diperbuat daripada bahan semulajadi iaitu kayu dan buluh menjadikan ia salah sebuah masjid yang unggul dan istimewa di Malaysia. Melalui pemuliharaan dan pengekalan masjid ini, warisan kebudayaan negeri Perak dapat dikekal dan diwariskan untuk generasi yang akan datang.

Masjid Lama Kampung Kuala Dal atau dikenali juga sebagai Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar DiRaja Kuala Kangsar.

Projek pemuliharaan ini begitu menarik dari segi pengalaman samada dari segi sejarah, fizikal dan emosi. Ia merupakan satu usaha yang dapat dilihat dan dijengok berhari-hari oleh penduduk kampung termasuklah orang-ramai yang melalui jalan Kuala Kangsar – Taiping. Perubahan bangunan begitu mengejutkan dan mengkagumkan.
Masjid Ikhsaniah Iskandariah, masjid lama Kuala Dal selepas permulihan dibuat pada 2009.

Masjid Ikhsaniah Iskandariah, masjid lama Kuala Dal selepas permulihan dibuat pada 2009.

Sumber: Akib Negara Cawangan Negeri Perak.

~ oleh Lokman Hashim, Editor - MutiaraIslam Online di Januari 20, 2013.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: